Saturday 16 March 2013

Mohamed Bin Hamzah: dari Pentadbir ke Ahli Korporat


Oleh Zabidin Hj Ismail

Dato’ Mohamed bin Hamzah dilahirkan pada 28 Februari 1941 di Kampong Jalan Kachu, Tapah, Perak yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pekan Tapah. Dia dibesarkan oleh ibunya, Hajjah Kalsom binti Haji Abdul Jalil kerana ayahnya meninggal dunia ketika Mohamed berusia setahun. Manakala Hajjah Kalsom meninggal dunia pada bulan April 2010 ketika berumur 96 tahun. Di kampung tempat mereka tinggal, Hajjah Kalsom semasa hayatnya dikenali dengan panggilan mesra “uci kolosom” dalam loghat Rao pekat keranakeluarga arwah berasal dari Langgung, Rao, Pasaman, Sumatera Barat.

Mohamed mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Tapah (sekarang: Sekolah Kebangsaan Toh Tan Dewa Sakti) sehingga darjah lima. Kemudian dia terpilih melanjutkan pelajaran ke Government English School (GES) Tapah (sekarang: Sekolah Menengah Kebangsaan Buyung Adil) di Special Malay Class sehingga Tingkatan Lima. Mohamed seorang pelajar yang aktif dan berkarisma, justeru di GES dia memegang pelbagai jawatan termasuk Head Prefect – jawatan paling tinggi yang boleh disandang oleh seseorang murid cemerlang.

Grade Satu

            Pada tahun 1959, Mohamed menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan muncul dengan grade satu sekali gus terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh. Sekali lagi Mohamed mempamerkan kecemerlangan, lulus HigherSchool Certificate (HSC) dengan empat principle yang melayakkannya menyambung pelajaran di  UM pada tahun 1962. Tiga tahun kemudian Mohamed meraih ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dan terus menyertai Perkhidmatan Tadbir Am dan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) mulai tahun 1965 hingga 1991 dengan menjawat pelabagai jawatan penting, antaranya ialah Penolong Pegawai Daerah Hilir Perak dan Kinta (1965-1969), Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (1969-1970), Institut Tadbiran Awam (INTAN) Petaling Jaya (1970-1977).


            Semasa bertugas di INTAN, Mohamed terpilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pentadbiran perniagaan di bawah biasiswa Colombo Plan  di University of Edinburgh, United Kingdom selama dua tahun (1973-1975) dengan memperoleh Master in Business Administration. Setelah tamat belajar dia kembali bertugas di INTAN tetapi kemudiannyadipinjamkan ke Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA)sebagai Pengarah Bahagian Tenaga Manusia selama dua tahun (1978-1980).

Pulang Ke Lubuk

            Nasib Mohamed agak baik kerana selepas merantau sektika di  Pahang beliau dipanggil pulang ke negerinya dengan menjawat jawatan Pegawai Kemajuan Perak (sekarang: Pengarah Pembangunan Negeri) selama empat tahun (1980-1984) dan seterusnya sebagai Pengarah Tanah dan Galian Perak(1984-1989) sehinggalah dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) di Kementerian Pengangkutan Malaysia mulai tahun 1989 hingga 1991.


            Pada tahun 1991 Mohamed bersara pilihan ketika berusia 50 tahun kerana ditawarkan jawatan Ketua Pegawai Operasi (Chief Operating Officer) di Syarikat IGB Corporation Berhad, Ipoh iaitu salah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Malaysia. Pada tahun 1994 beliau berhenti dari IGB Corporation untuk memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Clearwater Sanctuary Golf Resort Batu Gajah dan Maraputra Sdn Bhd.

            Di samping terlibat sepenuh masa dalam bidang korporat di Ipoh, Dato’ Mohamed turut menyumbangkan tenaga dan fikiran dalam banyak agensi dan GLC Kerajaan Negeri dan Pusat dengan memegang jawatan Pengerusi Rubberex Corporation (M) Berhad), Clearwater Sanctuary Golf Resort,  Timbalan Pengerusi Port Klang dan Ahli Lembaga Pengarah bagi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perak, Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak, Yayasan Perak, Klang Container Terminal dan Pelabuhan Pulau Pinang.

Jawatan Sukarela

            Keaktifan  Dato’ Mohamed bukan hanya dalam bidang korporat tetapi melebar ke badan-badan sukarela dan bukan Kerajaan (NGO) dengan menjawat penting seperti Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Perak, Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Kinta, Presiden PersatuanMemanah  Negeri  Perak,  Pengerusi KoperasiMelayuPerkasa  Perak Berhad dan Naib Presiden JARO serta bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan kebajikan dan koperasi di negeri Perak.

            Dalam kesibukan menerajui badan-badan korporat dan sukarela, Dato’ Mohamed sempat juga memenuhi kegemaran masa lapangnya seperti bermain golf, berkebun dan memancing. Sebagai anak penoreh getah yang mengerti erti betapa peritnya kehidupan di kampung masa lampau yang tiada bekalan air terawat dan elektrik, Dato’ Mohamed amat bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dilimpah rahmat dan nikmat dengan kehidupan bahagia serta selesa di bumi bertuah, Malaysia tercinta ini.






Saturday 16 February 2013

TUN ISMAIL MOHAMED ALI: Tokoh Pembangunan Ekonomi Bumiputera

oleh Zabidin Haji Ismail

Tun Ismail Mohamed  Ali merupakan Gabenor  Bank Negara paling lama  berkhidmat di Bank  Negara iaitu selama  18  tahun dari   tahun  1962 hingga 1980.  Sepanjang tempoh itu tanda-tangannya tertera di  atas wang kertas yang  dikeluarkan oleh  negara. Beliau merupakan anak watan  pertama yang memegang jawatan Gabenor  Bank  Negara  yang  sebelumnya diisi oleh ekspatriat dari  luar  negara.

Ismail Mohamed Ali dilahirkan pada 16  September 1918 di Kelang,  Selangor. Beliau merupakan  anak  sulung daripada sebuah keluarga  terhormat yang  antara lain adik-beradiknya termasuklah   Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali (isteri Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad), Ahmad Razali Mohd Ali (bekas  Menteri  Besar Selangor),  dan Muhammad Hashim Mohamed Ali (bekas  Panglima Angkatan  Tentera Malaysia). 



 Berasal dari ranah Rao, Sumatera Barat


Keluarga bapanya berasal dari Koto Rajo, Rao, Sumatera Barat. Selain di Rao, terdapat sebahagian besar keluarga bapanya menetap di Kg Paya Prupuk, Tanjung Pura, Langkat, 60 km dari Medan, Sumatera Utara. Penulis pernah menemui beberapa orang keluarga bapa Tun Ismail di Langkat yang berhijrah dari Koto Rajo. Kebanyakan penduduk Kg. Paya Prupuk terdiri dari orang Melayu berketurunan Rao. Gaya kehidupan mereka menyamai masyarakat Rao di Malaysia baik dari segi busana, makanan dan adat resam. Di kampung ini penulis menemui juga keluarga Almarhum Yusof Rawa[1].

Siti Ezaleila  Mustafa menyebutkan bahawa;

”Tun Ismail Ali dianggap tokoh menjadi lambang  bagi  kejayaan  ekonomi dan  kewangan  negara. Dengan menjadi Gabenor Bank  Negara (1962 hingga 1980), beliau terlibat secara  langsung dalam pembangunan  ekonomi negara yang  menyaksikan perubahan  daripada  negara Dunia  Ketiga yang  terkebelakang   menjadi  antara negara  yang  utama dalam  industri dan  ekonomi  Asia. Kehadirannya dalam pentadbiran ekonomi negara sering dikaitkan dengan  ketelusan kewangan, akauntabiliti, integriti dan pentadbiran yang baik.”[2]

Sebelum menjawat portfolio Gabenor Bank  Negara, Tun pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri  Selangor pada tahun 1948. Kemudian sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Ekonomi, Perbendaharaan, pegawai ekonomi di  Pulau Pinang dan Jabatan Perdagangan di  Kementerian Perdagangan dan  Industri. Di antara tahun 1957  hingga 1960, Tun dilantik sebagai  Menteri di  Kedutaan  Malaya di  Washington DC, Amerika Syarikat. Serentak dengan itu, Tun merupakan Pengarah  Eksekutif International Bank for Reconstruction  and Development di Amerika Syarikat.

Apabila kembali ke Malaya pada tahun  1960, Tun dilantik sebagai  Timbalan  Gabenor Bank  Negara sebelum dinaikkan  pangkat dua tahun  kemudian sebagai Gabenor Bank  Negara dan memegang jawatan  itu selama  18  tahun dari  tahun 1962 hingga  1980.

Selepas bersara daripada Bank Negara, Tun dilantik  menjadi Pengerusi   Permodalan Nasional  Berhad (PNB) dan apabila bersara daripada PNB, Tun dilantik pula sebagai  penasihat organisasi ekonomi bumiputera itu sehinggalah  Tun kembali ke  rahmatullah ketika berusia 80  tahun pada  6 Julai  1998. Tun meninggalkan nama  yang harum sebagai  pentadbir kewangan  negara  yang  terulung.

Kursi Tun Ismail di Universiti Malaya

Sebagai penghargaan negara atas sumbangan besarnya, Kursi Tun  Ismail Ali  dalam  ekonomi  kewangan telah diwujudkan di  Universiti Malaya. Kursi itu ditaja oleh Bank Negara yang  memperuntukkan RM12 juta  kepada universiti tersebut  dengan  tujuan  untuk  meningkatkan  kecemerlangan akademik dalam bidang  yang diceburi langsung oleh Tun  iaitu monetary  dan  ekonomi  kewangan.   

















[1]  Penulis berkunjung ke Kg Paya Prupuk, Tanjong Pura, Langkat pada tahun 2010
[2]  Lihat Tokoh  Pentadbiran. Bandar Baru Bangi: Medium Publications hlm. 24

Monday 11 February 2013

MOHAMED ROSELAN JOHAR: Wira Perang Dunia Kedua 1941-1945


oleh Zabidin Hj Ismail

Mohamed Roselan Johar dilahirkan pada 1 Jun 1923 di Kampong Batu Tiga, Temoh, Perak. Pernah menerima pendidikan di GES, Tapah (kini: Sekolah Menengah Buyung Adil) yang terletak kira-kira lima kilometer dari kampong Batu Tiga Temoh.  Gurunya ketika itu ialah Kapten Abdul Hamid Khan[1] dan Dayal Singh.
 
Pindah ke Pahang

Tidak lama bersekolah di GES, dia telah dibawa oleh bapa tirinya, Saidin, ke tempat kerjanya di Bentong, Pahang dan kemudian ke Kuala Lipis. Semasa di Kuala Lipis bapa tirinya cuba memasukkannya ke Clifford School, Kuala Lipis tetapi tidak mendapat tempat. Guru Besar sekolah itu seorang Inggeris bernama D.B.J. Ambler telah mengambilnya  bekerja sebagai store keeper di Pejabat  Volunteer, Kuala Lipis kerana beliau adalah seorang Captain dalam Pahang Volunteer.  Masa itu ialah tahun 1941 dan Mohamed Roselan diterima berkhidmat sebagai seorang Volunteer dalam Machine Gun Section (MGS) di Sungai Lembing, Pahang. Kemudian dia bersama MGS dihantar  ke Kelantan dan ditempatkan  di tepi laut dekat  dengan bandar Kota Bharu.

Ketika Jepun mendarat di Kota Bharu pada 8 Disember, 1941 MG Stelah  terlibat dalam menentang pendaratan tentera Jepun itu. Tetapi apabila tentera Jepun berjaya mendarat di Kota Bharu, MGS diperintahkan berundur ke Kuala Lipis dan kemudian ke Kuala Lumpur. Selepas dua hari di Kuala Lumpur, MGS diperintahkan pula  ke Singapura. Sewaktu di Singapura beliau berjumpa semula dengan Captain DBJ Ambler.  Kapten itu telah membawa Mohamed Roselan tinggal bersama-samanya.

Apabila British menyerah kalah kepada Jepun di Singapura, kira-kira jam 12 malam 15 Februari, 1942 askar-askar British diberitahubahawa mereka akan dijadikan orang tawanan Jepun. Captain Ambler membuat keputusan lari meninggalkan Singapuradan mengajak Mohamed Roselanpergi mengikutnya. Mereka bergegas keluar dari Singapura dengan menaiki sebuah tongkang.Ada 21 orang dalam tongkang tersebut termasuk seorang India dan dua ekor anjing. Mereka melarikan diri ke Sumatera.
Medan, Indonesia

Mereka akhirnya sampai di Medan, Sumatera Utara. Dari bandar Medan mereka menaiki lori menuju Padang, di Sumatera Barat melintasi kabupaten Pasaman, Rao dan Bukittinggi. Mereka “tersadai” di Padang selama empat hari.  Ketika hari terakhir di Padang, kebetulan sebuah kapal dagang dari Australia singgah di pelabuhan Padang untuk Ceylon (sekarang: Sri Lanka). Mereka menumpang kapal itu dan sampai di Ceylon setelah berlepas dua hari dari Padang. Dari Ceylon mereka menaiki kapal lain menuju  Bombay (sekarang: Mumbai).   
  
Sebaik sahaja mendarat di Bombay, Captain Ambler terus menyertai 2nd Battalion Royal Berkshire Regiment yang dipenuhi askar British. Captain Ambler turut membawa Mohamed Roslen masuk berkhidmat dalam Regiment tersebut dan diberi No. 6301300. Captain Ambler  mendaftarkan namanya sebagai Mohamed Roselan bin Salleh. Tugasnya ialah menjaga setor.  Kemudian, Mohamed Roselan berpindah ke Madras mengikut Captain Ambler tetapi tidak lama di Madras,  Captain Ambler dipanggil balik  ke England untuk menjadi guru. Sebaliknya Mohamed Roselan terus berkhidmat  di Madras  selama tujuh bulan dan kemudian dipindahkan ke sebuah istana kosong bersama-sama  askar-askar lain di  Calcutta.

Semasa Mohamed Roselan berada di India, ada dua orang lagi Melayu berkhidmat dengan tentera British iaitu Captain  Ibrahim bin Ismail[2] dan seorang lagi bernama Captain Raja  yang Mohamed Roselan tidak ingat namanya.  

Mereka telah dipelawa masuk Force 136. Pihak tentera British juga mengambil 40 orang Melayu yang balik dari Makkah serta yang  berada di Mesir  memasuki Force 136.  Namun  begitu 25 orang Melayu daripada mereka membuat keputusan tidak menyertai Force 136 sebaliknya pulang ke Makkah semula. Bakinya yangtinggal termasuk Mohamed Roselan telah segera dihantar ke Colombo, Ceylon dan di tempatkan dalam sebuah kebun getah untuk latihan tentera.

Kapten Ibrahim datang ke Colombo untuk menyertai Force 136 sebagai ketua. Dua orang lagi pegawai Melayu itu balik ke New Delhi, India. Manakala Captain Ambler dilantik sebagai Ketua Pasukan di England dan diarah  datang ke Colombo 2-3  bulan sekali.

Selepas latihan, Mohamed Roselan dihantar balik ke Tanah Melayu dengan menaiki kapal selam. Apabila sampai di Lumut mereka mendapat  maklumat bahawa tentera Jepun sudah tahu tentang  kedatangan mereka. Oleh itu kapal selam itu berpatah balik ke Ceylon

Mohamed Roselan, sekali lagi dihantar naik kapal selam menuju Lumut.  Bersamanya ialah dua orang askar British iaitu seorang wireless operator  dan seorang lagi  berpangkat Captain. Apabila sampai di Lumut beliau sekali mendapat maklumat bahawa mereka tidak boleh mendarat kerana tentera Jepun sudah tahu dan menunggu kedatangan mereka.Oleh itu sekali lagi kapal selam itu berpatah balik ke Ceylon kerana tidak dapat mendaratkan orang yang dihantar.
Selanjutnya, Mohamed Roselan dihantar pula ke Calcutta belajar dan berlatih menggunakan payung terjun. Selepas latihan dia dihantar balik ke Ceylon. Tidak berapa lama kemudian ramai orang Melayu menyertai Force  136  dan terus dihantar ke Calcutta untuk  mendapatkan latihan  menggunakan  payung terjun. Selepas tamat latihan, meraka dihantar balik ke Tanah Melayu dengan menaiki pesawat tentera dan mendarat turun dengan payung terjun di Grik, Perak dandi Kuala Lipis, Pahang.
Payung Terjun

Captain Ibrahim dengan tiga orang lagi askar Force 136 telah dihantar ke Terengganu dengan kapal selam dan mendarat di Pulau Redang.  Tentera Jepun kemudian mendapat tahu mengenai pendaratan ini dan terus segera menangkap mereka. Nasib baik mereka berjaya menperdayakan pihak tentera Jepun bahawa mereka mesti diberi kebenaran menghantar signal ke  Ceylon untuk menunjukkan mereka tidak ditangkap oleh pihak Jepun dan mereka pula mendakwa orang yang dibenarkan mendapat maklumat yang diluluskan oleh pihak British  bagi diketahui oleh pihak Jepun. Adalah difahamkan,  pegawai tentera Jepun yang mengendalikan kemelut itu dikatakan masih tidak percaya bagaimana dia  telah dipedayakan.    

Mohamed Roselan kemudian menerima perintah untuk dihantar ke Tanah Melayu dengan menaiki  kapal terbang tentera dan mendarat dengan payung terjun di Ulu Lipis, Pahang. Kesemuanya ada  lapan orang yang  dihantar termasuk beliau iaitu tiga orang British, seorang wireless operator, seorang berpangkat Captain dan seorang berpangkat Major.  Di situ mereka telah menemui beberapa orang Melayu Pahang  yang hendak berkhidmat dalam Force 136. Antaranya ialah Allahyarham Tun Ghazali Shafie  dan   Allahyarham Kolonel Yeop Mahidin. Ghazali Shafie akan masuk hutan berjumpa mereka dalam masa 2-3 hari sekali. Apabila Jepun menyerah diri dalam bulan Ogos, 1945 Force 136 telah dibubarkan danketuapasukannya bernama Lt. Col. Hedley,  telah dihantar ke Terengganu menjadi Pegawai Daerah.  

Pada tahun 1963 Mohamed Roselan diterima masuk pasukan Home Guard dan kemudian pada bulan Oktober tahun yang sama memohon pula untuk memasuki Askar Wataniah.  Kebetulan tiga orang panel temuduga itu terdiri dari Dato’ Seri Khalil Hj Husein yang pada masa itu sedang berkhidmat di Kementerian Pertahanan,  seorang Brigedier bangsa  Inggeris dan Allahyarham Kolonel Yeop Mahidin yang juga akan mengetuai pasukan Tentera  Wataniah  tersebut.   Dato’ Seri Khalil  menyebut bahawa beliau banyak  maklumat tentang pengalaman Mohamed Roselan  kerana keluarganya sekampung dengan Khalil di Kg. Lawan Kuda, Gopeng, Perak menyebabkan Mohamed Roselan berjaya dalam temuduga tersebut. 

Sesungguhnya Mohamed Roselan adalah wira perang dunia ke-2 yang kental dan cekal menjalani kehidupan tentera yang penuh dengan ranjau berduri sehingga bersara tahun 1941. Kini walaupun berusia 89 tahun (2012) tetapidia masih sihat dan menetap di rumah anaknya di Taman Ehsan, Kepong, Selangor.
           
__________
Sumber:    Dato’ Seri Mohamed  Khalil Haji Hussein, No 7, Jalan Ampang Ulu 3, 55000 Kuala Lumpur
Foto Ehsan:  Haji Asrul Dahari



[1]   Allahyarham adalah  bekas Ahli Parlimen Batang  Padang  (kini: Tapah)  serta pernah  berkhidmat  sebagai  Menteri  Pelajaran   dalam   Kabinet  Tunku Abdul Rahman  Putra Al-Haj  (Perdana Menteri Malaysia yang pertama) dan  bergelar Tan Sri.

[2]Mantan Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia dan bergelar Tun
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...