Monday 24 September 2012

Dahari Ali: Pejuang MALINDO



Dahari Ali:
Pejuang MALINDO
Allahyarham Dahari Ali atau Buyong Dahari  dilahirkan di Kampong Sengat, Simpang Pulai, Perak pada hari Selasa 6 Jun 1922 bersamaan dengan 10 Syawal 1340 Hijrah. Nama sebenarnya ialah Mohamed Dahari  bin Haji Mohd Ali, anak bongsu dari empat orang adik-beradik.
            Bapanya, Haji Mohd Ali bin Haji Mohd Yassin, seorang peruncit yang memiliki dua kedai runcit yang terletak  di Kampong Sengat dan di Sengat Estate, ladang getah kepunyaan Inggeris. Ibunya,  Hajjah Aliah binti Haji Mohd Noor, juga seorang peruncit yang berniaga bersama-sama suaminya. Ninda sebelah ibunya berasal dari Lubok  Aro  manakala nenek  moyang  yang lain pula berasal dari Padang  Mentinggi. Kedua-dua tempat tersebut terletak di Rao Pasaman, Sumatera Barat.
Dahari mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampong Kepayang hingga Darjah 7, kemudian  memasuki  Sekolah Anderson di Ipoh.  Dia bercita-cita untuk  melanjutkan pelajaran  di Raffles College, Singapura,   namun demikian sebelum menduduki peperiksaan itu, bapanya meninggal dunia  menyebabkan keputusan  Junior Cambridgenya  tidak memuaskan dan gagal memenuhi syarat kemasukan ke Raffles  College.
Bergiat dalam Politik
Lantaran itu Dahari menceburi arena politik pra merdeka, seawal dua puluhan dan dilantik sebagai Setiausaha Agung  Parti Kebangsaan  Melayu Malaya  (PKMM)  yang pertama. Bersama-sama Dr  Burhanuddin Al-Helmi,  Ibrahim Yaakob,  Ishak Haji Muhammad (Pak Sako),  Ahmad Boestamam, dan Ibrahim Karim yang digelar “The Unsung Heroes of Malayan Independence”, Dahari berjuang menentang penjajah untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Kegiatannya tidak hanya terbatas di tanah air sendiri tetapi melebar ke “tanah seberang”; Sumatera.  Justeru padabulan Mei 1946  dia  menaiki bot dari Singapura ke sana.
Di Sumatera,   Dahari  ditauliahkan sebagai Leftenan II, Tentera Republik Indonesia berpengkalan  di  Bukittinggi yang  berkhidmat  bersama anak-anak Malaya yang telah pun berada di sana.  Pada mulanya dia berkhidmat dengan Kapten Aga[1] dan kemudian, dengan Major Abdul Karim Rashid yang  bersara  berpangkat Major Jeneral  dalam Tentera Nasional Indonesia. 
Di antara sahabatnya  di Sumatera yang berasal dari Tanah Melayu ialah Zulkifli Ownie, anak Manong, Perak  yang bermastautin di Medan dan  kemudian  bersara  dari Tentera Nasional  Indonesia  dengan pangkat Kolonel. Padamasa  itu  ramai  anak Malaya memilih kerakyatan Indonesia  kerana  bencikan  Inggeris yang  menguasai Tanah Melayu,  antaranya  termasuklah Lt. Jeneral Abdullah Kamil dan Lt. Jeneral Shamsudin Noer.
 Manakala anak Indonesia yang turut sama berjuang dengan Dahari Ali di Sumatera termasuklah Saiful Bahri, pemuzik Minangkabau  yang pernah berkhidmat dengan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) satu ketika dahulu.
Memasuki UMNO
Dahari  masuk menjadi ahli  UMNO  setelah menerima borang keahlian  daripada   Hamzah  Alang yang memujuknya dengan  menyebut:  “Dahari, you  jadi ahli sajalah, di mana orang UMNO ada, you ada”.  Setelah menjadi ahli UMNO, dia  bersama  Dato’ Abdul Aziz  Ishak[2]  dan  beberapa orang  pemimpin negeri  menerajui UMNO Selangor.
Tepatjam 3.00 pagi  pada 20 Ogos 1959  Dahari Ali diistiharkan   menang  kerusi  Parlimen Kuala Selangor  oleh Pegawai  Suruhanjaya Piliharaya  ketika itu, Dato’ Tahir Abdul Rahim[3]. Selain sebagai Ahli Parlimen, Dahari pernah dilantik menganggotai Jawatankuasa Pelajaran Negeri Selangor, Ahli Jawatankuasa Marin Pelabuhan Kelang dan Pengerusi Jawatankuasa Ahli-ahli Parlimen Perikatan mengenai Kesihatan.
Selanjutnya,  bermula bulan Mac hingga Jun 1960, Dahari Alidilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Penyata  Rahman  Talib  bagi menyemak semula dasar pelajaran kebangsaan. Jawatankuasa ini membentuk lima buah Jawatankuasa lain iaitu  professional,  kewangan, pentadbiran, pembekalan dan latihan  guru & pengajaran agama.  Apa yang mengembirakan Dahari ialah bapa saudaranya, Dato’ Zainal Abidin Ali turut menjadi ahli jawatankuasa tersebut.
Sepanjangmenjadi Ahli Dewan Rakyat,  Dahari  mewakili Perikatan menghadiri persidangan penyelesaian  pertikaian  pencerobohan  China ke atas Tibet yang  diadakan di New Delhi, India pada bulan April 1960.   Pada tahun 1961, beliau  mengetuai rombongan Malaya ke Nigeria untuk menghadiri perayaan kemerdekaan negara itu dan melawat Ghana dan  Seirra Leonne.
Keluar  UMNO
Dahariturut  keluar  UMNO  apabila  Abdul Aziz  Ishak dipecat oleh Tunku  Abdul Rahman Putra Al-Haj daripada UMNO.  Hal ini terjadi  kerana  dia  merupakan  sahabat  sejati   Aziz Ishak  yang  pernah  sama-sama  berkerja  semasa  di Utusan Melayu  Singapura.  Sebaik sahaja meninggalkan UMNO,   Aziz Ishak merangka perlembagaan parti baru yang  bernama Parti Perhimpunan Rakyat atau National Convention Party dan persediaan bagi pelancaran parti itu di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 14 Julai 1963.
            Di samping  berpolitik, Dahari terlibat juga  dalam  bidang  kewartawanan. Dia pernah berjinak-jinak dengan  akhbar Suara Rakyat serta  menjadi wakil Utusan Melayu di Ipoh sebelum  berkerja  dengan Utusan Melayu  di Singapura. Kemudian  ditukarkan ke  Kuala Lumpur   setelah  berselisih faham  dengan Yusof Ishak[4], Ketua Pengarang Utusan Melayu, mengenai  liputan berita pertabalan Ratu Elizabeth.
Pada tahun 1958,  Dahari  berpeluang mendalami  ilmu kewartawanan  di Australia serta berkesempatan  berkhidmat dengan beberapa akhbar di Perth, Melbourne dan Sydney. Kursus ini berjalan  selama enam bulan dan  dibiayai  dengan biasiswa Colombo Plan.
Ketika di Kuala Lumpur pula,  Dahari   berkerja  dengan  akhbar Melayu yang barumuncul  pada masa itu seperti  Berita Harian  dan kemudian  apabila  memasuki akhbar  The Straits Times,  dia pernah dilantik sebagai  Reporter , Chief  Reporter  dan  Chief News Editor.  Jawatan terakhir sebelum dia bersara pada tahun 1982 daripada akhbar The New Straits Times ialah  Assistant to Editor-in-Chief.
Sesungguhnya pada 13 Januari 1986  bersama 2  Jamdiawal 1406,   Dahari Ali  pulang menemui Allah S.W.T  setelah bertahun-tahun  mencurahkan  bakti kepada nusa yakni Tanah Melayu dan Sumatera; bolehlah disifatkan bahawa beliau patut dinobatkan sebagai Pejuang Malindo (Malaysia-Indonesia)

Sumber:  Haji Asrul Bin Dahari, 42 Jalan Setiawangsa 3, Taman Setiawangsa, 54200 Kuala Lumpur



[1] Kapten Abdul Ghani bin Dato’ Abu Samah,  abang  bekas  Menteri  Kabinet,  Tan Sri Hamzah  Abu  Samah

[2]  Bekas  Menteri Pertanian  semasa Kabinet Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, anak kelahiran Terong, Perak yang  juga adik kepada mantan Presiden Singapura yang pertama iaitu Yusof Ishak.

[3]Pernah menerajui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor

[4] Presiden pertama Singapura

Sunday 26 August 2012

AHMAD MELAKA B DATO' KAYA ANDAMAN: Guru Pelawat Sekolah Melayu Perak



 Cerita : Mohamad Fauzi Abdul Hamid
 Foto   :  Amiruddin Alauddin



Nama sebenar Ahmad Melaka adalah Mohd Nor b Dato' Kaya Andaman. Dato' Kaya Andaman merupakan seorang bangsawan dari daerah Sungai  Renyah, Rao, Pasaman, Sumatera Barat.

Mengikut salasilah keturunannya,  Allahyarham setaraf raja sebab dibenarkan memakai pakaian kuning kebesaran raja-raja Melayu.

Sejak kecil, Mohd Nor telah berpindah dari Tanah Rao, Sumatera Barat ke Melaka mengikut ibunya yang bermadu. Ketika di Melaka, mereka tinggal di rumah  Rathal, bapa saudara Mohd Nor. Bapa saudaranya tersohor dengan gelaran Datuk Dagang  kerana hampir setiap pedagang dari Sumatera akan berhimpun di rumah beliau ketika mereka datang berniaga di Melaka.

Apabila dewasa, Mohd Nor  kembali semula ke  Perak dan  bekerja dengan bapa angkatnya bernama  Abdul Karim  atau Raja Aman Shah yang pernah bekerja di lombong bijih Long Jaafar di Larut.  Pada tahun 1870, Mohd Nor dikatakan turut bersama-sama  Abdul Karim membuka  Selama, Perak. Malahan Mohd Nor juga pernah membantu Abdul Karim dalam “Perang Larut” di samping turut terlibat berperang dengan Dato’ Seri Adika Raja menentang pencerobohan askar Siam di Hulu Perak.

Gelaran “Ahmad Melaka” diperolehinya ketika Mohd Nor kembali semula ke Perak kerana rakan taulannya menyangka Mohd Nor  orang Melaka, apatah lagi berkahwin pula dengan anak jati Melaka, Wan Fatimah bt Sheikh Hassan Faridzuan, berbangsa Arab Hadramaut yang  juga keturunan Dato' Kapitan Harum.

Di Perak,  Kerajaan telah melantik Ahmad Melaka sebagai guru sekolah Melayu Selama pada 15 Mac 1885. Kemudian beliau dilantik sebagai guru pelawat di Parit Buntar daerah Krian, Telok Anson (kini: Teluk Intan), Batu Gajah dan akhirnya di Tapah dalam daerah Batang Padang sehingga bersara.

Ahmad Melaka mempunyai sebelas orang anak; enam lelaki dan lima perempuan. Anaknya, Hj Abdul Hamid Arrawi merupakan seorang tokoh agama dan pengarang kitab yang tersohor di Batu Gajah, Perak.

Pada malam Jumaat  tanggal 2 Dzulkaedah 1336 (1915), Ahmad Melaka menghembuskan nafas terakhirnya di Kg. Gunung Mesah, Gopeng, Perak dan jenazahnya disemadikan di tanah perkuburan kampung berkenaan bersebelahan makam Hj Abd Wahab, Naib Kadi Gopeng.
.

Wednesday 8 February 2012

HJ. ABD. HAMID AHMAD MELAKA AR-RAWI: Guru Agama dan Pengarang Kitab Kuning



Oleh 
Mohamad Fauzi Abdul Hamid



Hj. Abd. Hamid dilahirkan di Selama, Perak pada 1 Mac 1888. Ayahanda beliau bernama Ahmad Melaka Ar-Rawi. Allahyarham adalah cucu Dato' Kaya Andaman yang pernah memerintah daerah Sungai Renyah, Rao, Sumatera Barat.

Nindanya itu tergolong dalam keturunan “Maharaja Lela yang memancung tiada bertanya dan tiada terlarang daripada memakai pakaian kuning kebesaran Raja-raja Melayu.”

Pendidikan Hj Abd Hamid setakat sekolah Melayu di Telok Anson (kini Teluk Intan) dan Batu Gajah. Di Telok Anson beliau belajar bersama Raja Abdul Aziz iaitu putera Raja Musa yang pernah menjadi Raja Muda Perak. Setelah tamat sekolah Melayu, beliau dilantik sebagai guru dan pernah mengajar di sekitar antara tahun 1902-1911 dl beberapa buah sekolah termasuk sekolah Melayu Ipoh, Batu Gajah, Pusing, Kuala Dipang dan Tapah Road.  Sepanjang kerjaya sebagai pendidik, beliau juga pernah menjadi Guru Besar di sekolah Melayu Batu Gajah dan Telok Anson.

Semasa bertugas di Batu Gajah, beliau menyambung belajar  ilmu Islam  dan tatabahasa daripada Haji Muhammad b.Hj. Abd.Rahman iaitu Kadi Batu Gajah ketika itu. Pada bulan September 1911 beliau berhenti sebagai guru sekolah  kerana menumpu perhatian terhadap pengajaran ilmu agama dengan menjadi guru al-Quran dan agama.

Hj Abd Hamid memulakan kerjaya sebagai guru agama di Madrasah Alsiniah, Tanjung Madat, Madrasah  Al-Nuriyah  dan  Jone Landor Estate,  di Chenderiang, Perak atas permintaan Pengurus Estate tersebut bagi mengajar pekerja-pekerja ladang. Selain itu beliau juga mengajar di beberapa buah masjid sekitar.

Pada tahun 1917 beliau telah dilantik sebagai Guru Pelawat Quran Negeri Perak dan pernah bertugas di Batu Gajah, Taiping dan Kuala Kangsar. Atas kecemerlangannya menjalankan tugas, beliau telah mendapat wang kurnia daripada Sultan Perak iaitu Sultan Iskandar Shah.  Beliau telah menggunakan wang kurnia untuk menunaikan fadu haji di Makkah.

Sekembali dari tanah suci iaitu pada tahun 1927 beliau telah dilantik sebagai Kadi di Selama, Perak.Tahun  Tetapi pada tahun 1930 beliau telah berhenti menjadi Kadi atas sebab peribadi. Selama empat tahun sebagai Kadi di Selama. banyak madrasah telah didirikan dan ramai orang telah berguru dengannya.

Allahyarham bukan hanya dikenali sebagai guru agama di negeri Perak  tetapi melebar hingga negeri-negeri lain termasuklah  di Betawi, Bandung, Surabaya, Jeddah, Makkah, Taif, Mausan dan beberapa tempat lagi.

Di samping berdakwah dan mengajar agama, Hj Abdul Hamid banyak mengarang kitab yang pada zaman dahulu dikenali sebagai kitab kuning. Antara karya beliau yang dapat dikesan sebanyak lapan tajuk iaitu Kitab Shamsul Mudaras (ilmu tajwid),  Kitab Tahmid Al-Musalli, Kamus Al-Hamidiah, Farhatul Al-Mariah ( ilmu Tajwid), .Alhamdu Harfi Al-Fatihah (tafsir surah Al-Fatihah), Majmuk Al-Mani, Shamsul Almukatibi (ilmu Tajwid) dan .Al-Hidayah (ilmu Tauhid). Buku-buku ini tersimpan selamat di Perpustakaan Tun Seri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rujukan dan kajian.

Sesungguhnya Hj Abdul Hamid adalah seorang insan yang disegani  dalam kalangan masyarakat dan istana Perak kerana ketinggian ilmu agama serta sikap rendah diri serta tawaduknya  terhadap Allah SWT. Namun sebelum Negara mencapai kemerdekaan, beliau telah berpulang ke sisi Allah Azawajalla di Batu Gajah, Perak iaitu  pada 5 Jun 1957 setelah beberapa tahun menderita kerana sakit tua.

Tuesday 7 February 2012

Pemikiran Yusof Rawa, dari Lebuh Aceh ke seluruh Nusantara



CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

Forum Nusantara Siri 3, Legasi Kepimpinan dan Pemikiran Yusof Rawa: Dari Lebuh Acheh ke Seluruh Nusantara. 

Moderator:
Hj Mohd Hashim (Ibnu Hasyim)
Pengamal Media dan Penggiat Politik

Panelis:
YB Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Subky Latif
Penulis & tokoh kewartawanan
Prof. Madya Dr. Fadhlullah bin Jamil.
Ahli Akademik/Penyelidik/Penceramah bebas

Tarikh : 09hb Februari 2012 (Khamis)
Masa : 7.30 Malam
Tempat : Auditorium Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),
Bandar Perda, Bukit Mertajam m a k i n g i d e a s w o r k
Orang ramai dijemput hadir.
Masuk adalah percuma!!
Sila hubungi:
hariszuan@gmail.com
Tel & SMS 013 7790709


Allahyarham Tuan Haji Yusuf Rawa (8 Mei 1922 - 28 April 2000) , adalah guru agama dan guru politik saya. Saya meminati beliau sejak saya berumur belasan tahun lagi. Satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan, saya pernah mengikuti ceramah politiknya bersama kawan-kawan sekampung, di kampung Balik Pulau dan terpaksa berjalan kaki merentasi bukit Teluk Kumbar Pulau Pinang di tengah malam kerana ketiadaan bas lepas habis ceramah.
Kami waktu itu menyokong politik beliau dengan penuh semangat keagamaan. Saya mengikuti pemikiran politik beliau sepenuhnya, dengan membaca majalah dwi bulanan 'Al-Islah' terbitan beliau sejak awal diterbitkan hingga tutup.. tiada lagi, apabila beliau dilantik menjadi duta Malaysia ke Iran. (Sila lihat http://umrefjournal.um.edu.my/filebank/articles/2995/07%20Bil%206%20MajalahIslah_Faisal&Hamidah.pdf)
Ulasan 'semasa' beliau yang menarik waktu itu ialah 'Teropong dari Acheen Street (sekarang Lebuh Aceh)'. Memang tepat dengan tajuk forum ini, antaranya '..Dari Lebuh Acheh ke Seluruh Nusantara'.
Pada saya, kehebatan beliau dapat dilihat dari 3 sudut.
Pertama: Kepimpinan.
Kepimpinan Tuan Haji Yusuf Rawa, boleh dilihat dari wataknya waktu kecil lagi.Yusof Rawa bersekolah Melayu Jalan Carnarvon, Sekolah menengah di Government English School dan kemudian ke Penang Free School di masukkkan dalam kumpuan pelajar terbaik.sehingga lulus peringkat Junior Cambridge sebelum ke Makkah. Ertinya beliau termasuk pelajar terpintar di sekolah yang banyak melahirkan pemimpin-pemimpin negara, seperti Tunku Abdul Rahman Perdata Menteri Pertama Malaysia dan lain-lain.
Kepimpinannya makin terserlah bila beliau mampu menggerakkan PAS peringkat awal sewaktu jadi pesurhjaya PAS Pulau Pinang ke 2, menggantikan Ahmad Azam yang diperintahkan ke Terengganu. Beliau pernah mengalahkan Dr Mahathir (sebelum jadi PM) dalam PRU di Kedah. Beliau juga adalah anak Pulau Pinang yang pertama menjawat jawatan Menteri dalam kabinet Malaysia.
Beliau juga, satu-satunya pemimpin PAS yang pernah memegang dua jawatan terpenting dalam parti iaitu Presiden (masa itu disebut Yang Di Pertua) dan juga Mursyidul Am. Pemikiran politiknya jelas terserlah apabila beliau dilantik sebagai Yang Di Pertua PAS menggantikan Dato' Dr Mohamad Asri Hj Muda yang melepaskan jawatan.
Saya masih ingat bagaimana meluapnya semangat mahukan kepimpinan ulama di kalangan generasi muda ahli-ahli PAS dalam Muktamar PAS 23 Oktober 1982 di Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur. Cubaan menukar kepimpinan lama dengan tokoh-tokoh agama atau disebut ulama. Akhirnya dinaikkan Tuan Hj Yusuf Rawa sebagai pemimpin yang boleh diterima oleh kedua belah pihak. Pemimpin penenang suasana yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang dikehendaki oleh perwakilan PAS waktu itu. Di situah antara kehebatan beliau.
Beliau yang mahir dalam bahasa Inggeris dan Arab pernah diberi kepercayaan oleh Tunku Abdul Rahman (PM) awal 1970an menganggotai delegasi negara melawat umat Islam di Taiwan. Apabila PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun 1973, beliau dilantik sebagai wakil Malaysia ke PBB untuk membahaskan isu-isu antarabangsa. Juga pernah menjadi Konsul Kehormat Iraq di Pulau Pinang. 

Pernah tinggal selama setahun di New York untuk mewakili negara di PBB. Sekembalinya dari New York beliau menyertai pilihanraya tahun 1974 dan menang tanpa bertanding. Pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama didalam kabinet gabungan PAS/Perikata (Dengan nama BN) serta pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Iran, Afghanistan dan Turki pada pertengahan tahun 1970-an.
Perubahan yang dibawa dalam PAS, antaranya memperkenalkan kepimpinan ulama, sikap keterbukaan dalam PAS dengan memulai hubungan PAS dengan orang Cina dan lain-lain.
Kedua: Sebagai ulama.
Semasa saya menjadi YDP PAS Kawasan Balik Pulau dulu, kami pernah mengundang beliau mengadakan kuliah bulanan tetap di markas PAS Kampung Perlis Balik Pulau. Antaranya ialah mengajar mata pelajaran tafsir Qur'an. Beliau yang memperolehi cemerlang Diploma Thaqasur Al-Deeni dari Maadul Falah, Makkah, pernah menghasil dan menerbitkan Tafsir Qur'an Juz Amma yang pertama dalam bahasa Malaysia. Ilmu-ilmu agama dan pemikiran Islam beliau, juga dapat dilihat dalam majalah 'Al-Islah' terbitan beliau, yang pada masa itu amat ketandusan majalah-majalah dan buku agama.
Ketiga: Jana Ekonomi.
Antara jasa besar beliau dalam bidang penjanaan ekonomi di Pulau Pinang ialah mengasas dan menubuhkan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang. Beliau dilantik sebagai Bendahari Kehormat yang pertama dalam pertubuhan tersebut. Dewan yang menjadi tunggak kebanggaan orang Melayu Pulau Pinang hingga sekarang.
Beliau yang juga anak kelahiran Lebuh Acheh, dari kalangan peniaga dan pengusaha Pulau Pinang, di mana orang tuanya Abdullah Mohamad Noordin ar-Rawa banyak menerbitkan kitab-kitab agama tulisan jawi. Hj Yusuf Rawa juga pernah terlibat dalam penerbitan surat khabar 'Warta Negara' di Pulau Pinang, di samping 'Al-Islah' miliknya sendiri.

Melihat kepada ketokohan beliau, maka wajarlah penganjur majlis ini Institut Pulau Pinang (Penang Institute, dahulunya dikenali sebagai SERI) menonjolkan kepimpinan dan pemikiran beliau sesuai dengan matlamat penganjur iaitu..
"..mengetengahkan pandangan alam dan budaya fikir cendekia, sasterawan, budayawan dan institusi-institusi keilmuan yang ada kaitannya dengan Pulau Pinang dan hubungannya dengan kebudayaan Nusantara secara keseluruhannya." Dan.."..mengembalikan fungsi Pulau Pinang sebagai hub intelektual Nusantara".
Semoga berjaya, al-hamdulillah, insya Allah!
Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

7 Feb 2012
Kuala Lumpur.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...