Saturday 19 January 2013

Mohd. Harith Haji Zainal Abidin: Pengadil Bola Sepak dan Motivator Pertanian

oleh Zabidin Hj Ismail
Haji Mohd Harith Hj Zainal Abidin dilahirkan pada 30 Oktober 1941 di Kampong Lawan Kuda, Gopeng, Perak. Bapanya, Hj. Zainal Abidin Mutalib, bekas Guru Besar yang pernah berkhidmat di Tronoh, Batu Gajah, Pusing dan Gopeng (1959-1969) manakala ibunya bernama Hjh Rokiah Jasit seorang suri rumah. Salasilah keluarga Hj Mohd Harith berasal dari Kampong Sungai Renyah, Rao, Pasaman, Sumatera Barat dan tali hubungan keluarga masih tersimpul rapi, lantaran itulah beliau acap kali pulang ke kampung leluhurnya.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tronoh dan Government English School Tronoh (1948-1954) sebelum meneruskan pelajaran ke Sekolah Menengah Iskandar Shah, Parit dan Anglo Chinese School, Ipoh (1955-1962). Memperoleh Malaysian Certificate of Education (MCE) dan kemudian mengikuti kursus dalam bidang pertanian di Institut Pertanian, Serdang sehingga menerima Sijil Pertanian Malaysia.

Oleh kerana minatnya begitu mendalam dalam bidang sukan dan pertanian mendorong Hj Mohd Harith bergiat cergas terutama di arena sukan bola sepak, badminton dan angkat berat. Dalam sukan bola sepak Hj Mohd Harith terpilih sebagai pemain daerah mulai tahun 1958serta menjadi pengadil sehingga ke tahap kebangsaan. Di samping terlibat sebagai pemain, Hj Mohd Harith pernah menubuhkan Pasukan Bola Sepak Melayu Gopeng.  

Pengadil Bola Sepak

Beliau juga pernah mengikuti kursus jurulatih sukan bola sepak ketika mewakili Kelab Sukan Melayu Ipoh yang dikendalikan oleh jurulatih berbangsa Jerman iaitu David Macleren di Ipoh. Hj Mohd Harith memulakan kerjaya pengadilan bola sepak pada tahun 1964 sebagai Pengadil Kelas 2 kemudian pada tahun 1966 menjadi Pengadil Kelas 1 akhirnya pada 1 Oktober 1974 beliau ditauliahkan sebagai Pengadil Kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang ketika itu diterajui Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Presiden FAM. Selepas menerima pentauliahan tersebut, beliau mula aktif mengadili perlawanan-perlawanan penting di pelbagai kejohanan bola sepak seperti Piala Razak, Piala Presiden, Piala FAM (Finale Cup 1980), Piala Emas Raja-Raja Melayu yang membawa beliau ke seluruh negara termasuk mengadili pertandingan atau perlawanan yang diadakan di Brunei dan Singapura. Dia turut mengadili Pertandingan 2nd Ovaltine International Cup di antara Singapura menentang Malaysia pada tahun 1981 serta pernah ke Adelaide Australia (1995), diundang khas mengadili perlawanan bolasepak di sana.

Sepanjang menjadi pengadil, beliau tidak dapat melupakan satu peristiwa yang menakutkan ketika mengadili perlawanan bola sepak separuh akhirPiala FAM di antara JKR Kedah dengan PKNS yang mencetuskan kekecohan besar di Stadium Darul Aman ketika PKNS sedang mengatasi JKR Kedah satu gol kosong. Tiba-tiba pergaduhan di antara pemain terjadi kira-kira satu minit lagi permainan akan tamat. Perlawanan dihentikan. Stadium yang dipenuhi 25 ribu penonton itu tidak dapat dikawal. Sebilangan penonton mula masuk ke padang. Kelihatan di sana sini unggun api di atas tempat duduk stadium kerana surat khabar dibakar. Walau bagaimanapun, keadaan dapat dikawal oleh pihak pasukan keselamatan dan permainan diteruskan yang kesudahannya PKNS memenangi perlawanan tersebut.

Siri penglibatan Hj Mohd Harith dalam pengadilan bola sepak telah “dibayar” dengan sehelai “warkah cemerlang” daripada Sultan Ahmad Shah, Presiden FAM kerana terlibat mengadili banyak perlawanan bola sepak sehingga tahun 1988.

Motivator Pertanian 

Selain menyukai sukan, Hj Mohd Harith juga meminati pertanian apatah lagi kerjaya masa lampaunya ialah sebagai Pegawai Perkembangan Pertanian (1992-1996)dan minat terhadap pertanian diteruskan meskipun selepas bersara daripada Jabatan Pertanian. Pengalaman yang diperolehi ketika bekerja kini dicurahkan pula kepada masyarakat terutama orang Rao Gopeng dengan memberikan dorongan dan tunjuk ajar dalam memajukan tanaman dan pertanian kawasan setempat. Banyak metod dan pendekatan yang digunakan oleh Hj Mohd Harith dalam memberikan motivasi pertanian kepada penduduk-penduduk Gopeng.

Selain berceramah serta tinjuan rumah ke rumah, sembang warung pun dilakukan oleh beliau dalam menyampaikan ilmu pertanian yang boleh dikongsi bersama. Malahan Hj Mohd Harith pernah mempamerkan sebatang durian kahwin ciptaannya yang dikatakan memiliki buah yang berkualiti tinggi; seulas buahnya umpama “kucing tidur” dan dinamakan sebagai “Durian Rao” telah menjadi tanaman penduduk Rao Gopeng.

Hal ini dibuat, sebenarnya merupakan tektik Hj Mohd Harith untuk menarik orang ramai agar terlibat dalam tanaman dusun durian disebabkan kawasan kampung-kampung di Gopeng merupakan tanah yang sesuai bagi tanaman durian kerana terletak berdekatan banjaran Titiwangsa dan dibelahi dengan beberapa batang sungai. Iklim serdahana panas serta menerima hujan secukupnya antara faktor pembiakan tanaman durian di Gopeng.

 Kegiatan sosio-politik

Hj Mohd Harith seorang yang aktif. Bak kata orang Rao; indo tolok diom; ado sang korojo nyonyo” yang menyaksikan bahawa kini beliau terbabit pula dengan pelbagai jawatankuasa kegiatan kemasyarakatan dan politik, antaranya ialah Ahli Jawatankuasa Induk Hoki Malaya Perak, Ahli Majlis Masyarakat Sivil Kampar, Ahli Jawatankuasa Pesara Cawangan Kinta, Ahli Majlis DaerahKampar (2005-2007) serta pernah menjadi Ketua Cawangan UMNO Pekan Gopeng selama 12 tahun. Di samping itu, dia juga pernah juga menjadi Ketua UMNO Cawangan Kg. Pulai selama 18 tahun, Jawatankuasa UMNO Bahagian Kinta (2 tahun), Jawatankuasa UMNO Bahagian Gopeng (9 Tahun) serta sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Gopeng selama 2 penggal semasa Tan Sri Abdul Aziz Shamsudin menerajui tampok UMNO Bahagian tersebut. Selain itu beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa JARO yang bertanggungjawab menambah keahlian persatuan tersebut.

Sesungguhnya Hj Mohd Harith adalah seorang pemimpin masyarakat yang dikenali ramai di Gopeng dan mudah didekati serta cepat pula mesra; acap kali memberi pertolongan tetapi tidak pula menagih pertolongan orang. Pendek kata, dia selalu memberi; sedikit pula menerima.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...