Oleh Zabidin Hj Ismail
Dato’ Mohamed bin Hamzah dilahirkan pada 28 Februari 1941
di Kampong Jalan Kachu, Tapah, Perak yang terletak kira-kira dua kilometer dari
Pekan Tapah. Dia dibesarkan oleh ibunya, Hajjah Kalsom binti Haji Abdul Jalil
kerana ayahnya meninggal dunia ketika Mohamed berusia setahun. Manakala Hajjah
Kalsom meninggal dunia pada bulan April 2010 ketika berumur 96 tahun. Di
kampung tempat mereka tinggal, Hajjah Kalsom semasa hayatnya dikenali dengan
panggilan mesra “uci kolosom” dalam loghat Rao pekat keranakeluarga arwah
berasal dari Langgung, Rao, Pasaman, Sumatera Barat.
Mohamed mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Tapah (sekarang:
Sekolah Kebangsaan Toh Tan Dewa Sakti) sehingga darjah lima. Kemudian dia
terpilih melanjutkan pelajaran ke Government English School (GES) Tapah
(sekarang: Sekolah Menengah Kebangsaan Buyung Adil) di Special Malay Class sehingga Tingkatan Lima. Mohamed seorang
pelajar yang aktif dan berkarisma, justeru di GES dia memegang pelbagai jawatan
termasuk Head Prefect – jawatan
paling tinggi yang boleh disandang oleh seseorang murid cemerlang.
Grade Satu
Pada
tahun 1959, Mohamed menduduki peperiksaan Senior
Cambridge dan muncul dengan grade
satu sekali gus terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam di
Sekolah Menengah Anderson, Ipoh. Sekali lagi Mohamed mempamerkan kecemerlangan,
lulus HigherSchool Certificate (HSC)
dengan empat principle yang
melayakkannya menyambung pelajaran di UM
pada tahun 1962. Tiga tahun kemudian Mohamed meraih ijazah Sarjana Muda Ekonomi
dengan Kepujian dan terus menyertai Perkhidmatan Tadbir Am dan Perkhidmatan
Tadbir dan Diplomatik (PTD) mulai tahun 1965 hingga 1991 dengan menjawat
pelabagai jawatan penting, antaranya ialah Penolong Pegawai Daerah Hilir Perak
dan Kinta (1965-1969), Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (1969-1970),
Institut Tadbiran Awam (INTAN) Petaling Jaya (1970-1977).
Semasa bertugas di INTAN,
Mohamed terpilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pentadbiran
perniagaan di bawah biasiswa Colombo Plan di
University of Edinburgh, United Kingdom selama dua tahun (1973-1975) dengan
memperoleh Master in Business Administration.
Setelah tamat belajar dia kembali bertugas di INTAN tetapi
kemudiannyadipinjamkan ke Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA)sebagai
Pengarah Bahagian Tenaga Manusia selama dua tahun (1978-1980).
Pulang Ke Lubuk
Nasib Mohamed agak baik kerana selepas merantau sektika
di Pahang beliau dipanggil pulang ke
negerinya dengan menjawat jawatan Pegawai Kemajuan Perak (sekarang: Pengarah
Pembangunan Negeri) selama empat tahun (1980-1984) dan seterusnya sebagai
Pengarah Tanah dan Galian Perak(1984-1989) sehinggalah dinaikkan pangkat ke
jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) di Kementerian Pengangkutan Malaysia
mulai tahun 1989 hingga 1991.
Pada tahun 1991 Mohamed
bersara pilihan ketika berusia 50 tahun kerana ditawarkan jawatan Ketua Pegawai
Operasi (Chief Operating Officer) di
Syarikat IGB Corporation Berhad, Ipoh iaitu salah sebuah syarikat yang
tersenarai di Bursa Saham Malaysia. Pada tahun 1994 beliau berhenti dari IGB
Corporation untuk memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Clearwater Sanctuary
Golf Resort Batu Gajah dan Maraputra Sdn Bhd.
Di samping terlibat
sepenuh masa dalam bidang korporat di Ipoh, Dato’ Mohamed turut menyumbangkan
tenaga dan fikiran dalam banyak agensi dan GLC Kerajaan Negeri dan Pusat dengan
memegang jawatan Pengerusi Rubberex Corporation (M) Berhad), Clearwater
Sanctuary Golf Resort, Timbalan
Pengerusi Port Klang dan Ahli Lembaga Pengarah bagi Perbadanan Kemajuan Ekonomi
Perak, Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak, Yayasan Perak, Klang Container
Terminal dan Pelabuhan Pulau Pinang.
Jawatan Sukarela
Keaktifan Dato’ Mohamed bukan hanya dalam bidang korporat
tetapi melebar ke badan-badan sukarela dan bukan Kerajaan (NGO) dengan menjawat
penting seperti Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Perak, Pengerusi
Persatuan Pesara Kerajaan Kinta, Presiden PersatuanMemanah Negeri
Perak, Pengerusi
KoperasiMelayuPerkasa Perak Berhad dan
Naib Presiden JARO serta bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan kebajikan dan
koperasi di negeri Perak.
Dalam kesibukan menerajui
badan-badan korporat dan sukarela, Dato’ Mohamed sempat juga memenuhi kegemaran
masa lapangnya seperti bermain golf, berkebun dan memancing. Sebagai anak
penoreh getah yang mengerti erti betapa peritnya kehidupan di kampung masa lampau
yang tiada bekalan air terawat dan elektrik, Dato’ Mohamed amat bersyukur ke
hadrat Allah S.W.T kerana dilimpah rahmat dan nikmat dengan kehidupan bahagia
serta selesa di bumi bertuah, Malaysia tercinta ini.