Sunday, 8 May 2011

KEMALA: Sasterawan Negara ke- 11

SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA KE 11 - KEMALA
oleh Djazlam Zainal pada pada 06hb Mei 2011 pukul 6.03 ptg

Dato' Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah juga dikenali dengan nama Kemala. Selain pernah juga menggunakan nama A.K., Ahmad Jiwa, Dur Kasih, Nur Hiryati dan Nirwana.. Dalam dunia akademia, beliau lebih senang dikenali sebagai Dr. Ahmad Kamal Abdullah. Begitu juga apabila beliau menulis ilmiah, desertasi mahupun esei. Sebagai penyair, beliau menggunakan nama Kemala.

Dilahirkan pada 30 Januari 1941 di Gombak, Selangor, Malaysia. Mendapat pendidikan awal di sekitar Kuala Lumpur. Pernah belajar di Institut Dharma ( Inggeris ) pada tahun 1956. Menjadi guru pelatih di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak ( 1958-1962 ) Lulus Sijil Persekolahan ( 1962 ) dan Sijil Tinggi Persekolahan ( 1974 ) secara persendirian. Mengikuti pengajian luar kampus ( 1975-1980 ) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda yang diikuti Sarjana Sastra ( 1985 ) dan Ijazah Doktor Falsafah ( 2000 ) dengan desertasinya berjodol Simbolisme Dalam Puisi Islam di Malaysia 1970-1990.
 
Pengalaman mengajar ( sebagai guru ) pada tahun 1962-1968 sangat mempengaruhi jiwanya sebagai pendidik. Biarpun kemudian beliau berpindah ke Dewan Bahasa dan Pustaka, menyelaras majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Majalah Perisa, sifat pendidik beliau sangat terasa. Sebagai Pegawai Perancang Bahasa Tingkatan Kanan, juga seorang penyair kawakan, beliau tetap merendah diri dan budiman terhadap karyawan muda.

Kegiatan penulisan Kemala sejak di bangku sekolah dasar. Cerpennya Pengembaraan Ahmad pernah memenangi hadiah di majalah Hiburan. Ketika di Maktab, beliau memestaskan Sri Lembayung. Namun puisilah bakat beliau yang sebenar. Sejak tahun 1960an lagi, puisinya terkandung dalam antologi bersama Laungan ( 1966 ) Telok Gong dan Suara Tujuh ( 1969 ) Antologi ini merupakan perjuangan hidup masyarakat bawahan kaum tani dan buruh.

Mulai tahun 1970an, Kemala tampil dengan keperibadiannya sendiri. Bersama Latiff Mohidin, Dharmawijaya, Zurinah Hassan, Baha Zain dan Muhamad Haji Salleh, nama beliau berada di puncak teratas. Keprolifikan Kemala berakhir dengan lahirnya kumpulan puisi Timbang Terima ( 1970 ) Meditasi ( 1972 ) Kaktus-Kaktus ( 1976 ) Ayn ( 1983 ) ERA ( 1985 ) Pelabuhan Putih ( 1989 ) Titir Zikir ( 1995 ) MIM ( 1999 ) Ziarah Tanah Kudup ( 2006 ) Syurga ke Sembilan ( 2009 ) yang mendapat sorotan luas sebagai penyair Melayu berjiwa Saadi, Rumi atau Khalil Gibran. Puisi kerohaniannya nalar seakan Abdul Hadi WM dan Taufiq Ismail sehingga tak cukup wangkang untuk memunggah karyanya ke bahasa asing seperti Inggeris, Rusia, Perancis, Jerman, Itali, Romania, Slovakia, Arab, Nepal, Serbo, Tamil, Cina, Thailand dan sebagainya.

Pada 21-25 Ogos 1986, beliau ke Struga Poetry Reading, Struga Macadonia. April 1990 ke Asean Voice in English di University Hong Kong, International Conggres og Conparative Literature Association, Tokyo ( 1991 ) International Writing Program di Iowa University, Amerika Syarikat.

Pencapaian dan hadiah yang dimenanginya lumayan banyak. Malam Perhitungan ( drama ) memenangi hadiah Majlis Drama Malaysia ( 1971 ) Puisinya, Laut dan Meditasi ( Hadiah Karya Sastra, 1972 ) Maknawi Itu, Kasihku ( 1975 ) Pada Setiap Kali kau Tiba, Ogos, Bahawa Cinta Itu Kasihku ( 1976 ) Lelabah, Laut dan Cekerawala ( 1982/83 ) Dalam organisasi pula, sebagai Ketua Satu Persatuan penulis Nasional Malaysia ( PENA - 1983-1984 ) Setiausaha Satu Gabungan Penulis National Malaysia ( GAPENA - 1972-1974 ) Menerima SEA Write Award di Bangkok pada 1986.

Kembali memperkatakan Kemala sebagai penyair kawakan tetapi sangat merendah diri, saya sebagai salah seorang anak didiknya seperti kebanyakannya yang lain, beliau adalah permata di perlembahan. Beliau yang mula saya kenali ketika mendeklamasikan puisinya dalam tali pita ( kaset ) Pembacaan Puisi-Puisi Dari Malaysia ( DBP, 1981 ) membaca dua puisinya iaitu Laut dan Meditasi-Pregmen. Dan kemudian beberapa kali berpapasan di kantornya dengan rikuh memberi semangat dan tunjuk ajar. Malah puisi-puisi saya dalam Kilir-Kilir Makna, ( GEMA, Kota Bharu, 1991 ) adalah bekas suntingan dan lalapan beliau ketika dalam Seminar Sastra Bandingan di Musium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor ( 2001 )

Sebagai pembimbing, Kemala tidak pernah tersorot ke belakang. Beliau sentiasa ada di mana-mana. Jejaka pemalu dan pendiam ini, menurut Siti Zainon ( Alam Puisi, DBP, Kuala Lumpur, 1994:68 ) Kemala sangat akrap dengan penyair muda. Ketika beliau dianugerahkan Dato' oleh baginda Sultan Selangor, kita begitu terkesima, mahu memanggilnya Dato'. Gelaran paling berarti tetapi bagi kami panggilan cikgu, bapak, bung atau sebagainya menandakan penghormatan dan kesayangan kami. Panggilan Dato' dikhuatiri menjarakkan silaturahmi. Namun kalau kita tidak memanggilnya Dato', bukan berarti ia menghilangkan rasa kehormatan tetapi masih menyimpan simpul kemesraan di bilik kantor atau di pentas-pentas baca puisi. Kini, kebanggaan kami, Kemala @ Dato' Kemala telah dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara. Jagat dan bumi bergetar beramin doa. Jantung dan jiwa bergetap rikuh beristigfar. Ya, Allah, ini puncak penghormatan Mu, manusia berjiwa seni yang halus mulus bernama Kemala. Sesungguhnya, di jiwa kami anak-anak yang pernah menerima asuhan puisi dan kasih sayangmu, Kemala, sejuta kesyukuran, bertafakur, dalam diam. Anugerah dan penghormatan itu juga adalah dugaan keimanan. Ingatlah, kolam jernih akan memantulkan wajah tenteram juga temeram dalam kocak dan kilaunya...

Dan Laut adalah puisi paling dalam untuk kenangan ini.

Akulah laut
gadis cantik tidur di peraduannya
titik-titik riak di tubuhku
lukisan detik dan tarian angin
bersatu di gemersik ingin
saujana ketenangan ini

akulah laut
pemuda tangkas asuhan waktu
gelodak ombak menjadi kata
deru menjangkau ufuk
musik terdampar ke benteng karang
lalu kenal diri

siang pilihan
menyimpulkan seloka camar
berlalu sejarah

kudukung sejarahmu
akulah laut pertama
pemupuk cinta abadi

malam pertaruhan
badai perkasa memeluk hadirmu
rahsia dan maha keghaiban

terpancar oleh penemu makna
demi ruang dan waktu
akulah laut pemilik lagu

kasih sayang nenek tua, mata nakal cucu
bertemu di sini
angin jauh mencari harmoni
bergetar bibir di dalam tafsir
di sini: di hati ini kekasihku
meruap harga diri

Rujukan

1. Ensaiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu ( DBP, 1999 )
2. Pilihan Puisi Baru Malaysia-Indonesia ( Muhammad Haji Salleh, DBP, 1980 )
3. Kemala Meditasi Dampak 70 ( Insandi, 2011 )
4. Alam Puisi ( Siti Zainon Ismail, DBP, 1994 )

No comments:

Post a Comment