Friday, 27 May 2011

TUPIN: Pembuka Kampong Daching, Negeri Sembilan





Pada akhir kurun ke 19 (dianggarkan antara 1870 – 1890), di Pulau Sumatera berlaku satu kesulitan sama ada pergaduhan sesama sendiri atau satu peperangan menyebabkan seorang gadis di awal belasan tahun bernama Tupin telah dibawa oleh bapa saudaranya (bapa saudara sebelah ibu yang dipanggilnya mamak dalam bahasa Minangkabau) bernama Pulasan datang rhijrah ke kawasan ini.

Selepas beberapa lama kemudian (tidak dipastikan jarak masa antara samada bulan atau tahun), seorang lagi anak saudaranya bernama Supek, telah dijemput dan dibawa tinggal bersama mereka. Nama-nama yang mereka gunakan di sini bukanlah nama asal mereka semasa di kampung halaman dahulu. Walaubagaimana pun nama sebenar mereka tidak diketahui.

Ketika berusia lewat belasan tahun, Tupin pernah kembali semula ke kampung halaman asalnya dan dikatakan telah singgah di Pagar Ruyung diatas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Di Lenggeng NS, Tupin dan bapa saudaranya itu mula-mula tinggal di satu tempat yang sekarang dipanggil Kampung Jelebu dan kemudian berpindah ke satu lokasi lain yang berdekatan bernama Kg. Sungai Machang Hilir. Tidak diketahui samada kampung-kampung ini dibuka oleh mereka sendiri atau sememangnya telah ada terdapat penempatan awal di situ.

Di sebelah Kg Sg Machang Hilir tersebut, menuju ke Kg Jelebu ada terdapat 3 buah kampung yang dikenali sebagai Kg Rawa Hilir, Kg Rawa Tengah dan Kg Rawa Hulu. Kampung-kampung ini dinamakan bersempena nama keturunan mereka dari daerah Rao di Pulau Sumatera. Di sinilah mereka membuat penempatan awal dan berkeluarga. Pulasan telah berkahwin dengan seorang wanita dari Rembau bernama Maliah, Tupin berkahwin dengan Ali dan Supek juga telah berkahwin dengan seorang lelaki dari satu tempat yang dipanggil Pinang Baik (Kg sg. Tua, Selayang) dan terus menetap di sana.

Pada hari ini masih lagi terdapat cucu dan cicit Pulasan yang tinggal di perkampungan tersebut. Kesemua anak Pulasan seramai 10-12 orang telah meninggal dunia. Pulasan yang meninggal dunia selepas dikatakan menjadi buta disebabkan mengalami sakit mata yang teruk masih lagi belum dikenalpasti lokasi kuburnya.

TUPIN MEMBUKA KG. DACHING


Suatu hari selepas waktu zohor, Tupin pergi ke hutan dan didapati tidak kembali ke rumahnya. Semua sanak saudara menjadi bimbang, samada beliau telah menjadi mangsa binatang buas di hutan. Hari ke hari mereka mencari kesan-kesan laluan beliau dengan bantuan sekumpulan orang asli tempatan bagi menjejaki kemanakah haluan yang telah ditujuinya.

Setelah mencari selama lingkungan sepuluh hari sepuluh malam, tiba-tiba seorang dari kaum asli tersebut ternampak kesan kewujudan beliau di satu tempat. Mereka pun terus berteriak di atas penemuan tersebut menggunakan loghat bahasa orang asli tempatan. Tupin dan anaknya, Yusuf, yang masih di dalam dokongan itu, telah ditemui berpondok di satu lokasi di hutan dan di lokasi inilah akhirnya mereka membuka perkampungan baru. Perkampungan baru ini terus dinamakan Kampung Daching bersempena bunyi bahasa orang asli tersebut semasa menemui Tupin. Ia terletak lebih kurang 15 km dari kampung pertama mereka di Kg. Jelebu.

MEMBINA RUMAH GODANG

Tidak diketahui siapakah Tupin sebenarnya semasa di kampung halamannya tetapi jelas kelihatan, dia bukanlah orang biasa yang memadai dengan kehidupan biasa. Sifatnya yang sangat cekal serta berpendirian teguh membezakan dia dari orang lain.

Dia mempunyai cita-cita yang tinggi di dalam kehidupannya. Dimulai dengan membina sebuah rumah menghadap permandangan gunung-ganang sayup-sayup mata memandang. Mereka menebang hutan yang tebal untuk dijadikan tiang-tiang dan dinding rumah. Rumah ini selain berkeluasan besar dan selesa, ia juga dibina dengan menggunakan sistem pasak yang dipelajari semasa di kampung halaman.

Rumah yang kelihatan berbeza dari rumah-rumah lain di sini telah menjadi mercu tanda di kampung ini. Kini telahpun berusia melebihi 100 tahun, walaupun telah kelihatan usang masih lagi tidak di mamah anai-anai. Keluasan rumah ini sekarang hanya tinggal di bahagian anjungnya sahaja kerana bahagian ruang utama dan dapur telah dirobohkan. Walaupun tidak dinyatakan secara rasmi, orang-orang di kampung ini dan sekitar memanggilnya sebagai Rumah Gadang.

Berpindahlah Tupin, suami serta anaknya menetap sehingga akhir hayatnya. Selepas kematian Tupin, rumah ini didiami oleh anak perempuannya dan sekarang ini didiami oleh cicit perempuannya. Bersebelahan kira dan kanan rumah ini sekarang didirikan rumah kedua-dua cucu perempuan beliau.

SURAU SULUK

Ilmu keagamaan masih belum lekang di hati mereka. Selepas siapnya rumah kediaman mereka, Tupin dan suaminya membina pula sebuah surau, bersebelahan dengan rumah tersebut. Mereka menjemput seorang guru agama dari daerah Bonjol, Sumatera bernama Tuan Hj. Sheikh Said. Tuan Hj Sheikh Said telah menjadi rujukan utama kepada apa saja permasaalahan agama pada ketika itu.

Disamping pelajaran agama yang asas, sheikh Said juga mengajarkan pengajaran tasauf dari Tarekat Naqsabandiah. Dalam amalan tarekat ini, mereka sering melakukan amalan Sulok atau tinggal berasingan di surau dalam masa beberapa lama melakukan muhasabah diri dan penyucian jiwa melalui zikir yang berterusan. Oleh kerana jemaah yang terlalu ramai, jemaah perempuan mengadakan sulok di rumah gadang manakala lelaki ditempatkan di surau.

Amalan Sulok ini kerap di amalkan di surau ini sehingga surau ini terus dinamakan sebagai Surau Sulok sehingga kini.

MENGAMALKAN KEHIDUPAN BERADAT dan BERSUKU

Sebagaimana amalan yang diamalkan di kampung halaman, sejak awal lagi Kg Daching telah mengamalkan kehidupan bersuku. Walaubagaimanapun orang-orang di Kg Daching dan Lenggeng yang berasal dari Sumatera tidak menggunakan nama suku yang sama seperti di Negeri Sembilan. Suku-suku yang diwarisi oleh mereka mengikut suku-suku asal sebelum nenek moyang mereka tiba di Tanah Melayu.

Walaubagaimanapun Tupin adalah bersuku Melayu, begitu juga anak-anak cucu disebelah perempuan. Suku-suku lain termasuklah suku Jambak, suku Tanjung dan sebagainya. Amalan suku ini hanyalah bagi mengenali susur galur waris dan keturunan.

Adat-adat peradaban juga di amalkan. Ia menjadi penting apabila diadakan satu majlis perkahwinan atau apa-apa majlis keramaian. ‘Adat’ ini (boleh juga dikatakan sebagai peraturan), diperturunkan dari pusat pemerintahan N. Sembilan di Seri Menanti melalui wakil-wakil di daerah Pantai, N.Sembilan. Semasa di awal penubuhan Kg. Daching, Tupin sering pergi ke Daerah Pantai, 30 km dari Kg Jelebu, untuk ‘mengambil adat’ (menerima mengisytiharan adat).

Adat-adat yang diisytiharkan akan diamalkan di dalam masyarakat kampung. Ketua adat di Kampung ini iaitu juga dipanggil ‘Tok Ampek’ (Tok Empat) akan memberitahu peraturan-peraturan apabila diperlukan. Tok Empat di Kg. Daching adalah dari keturunan Tupin seperti berikut :

Tupin (wakil Pertama)
|
Tok empat Yusuf(Jusuik) (Anak lelaki Tupin yang Sulung)
|
Tok Empat Baharum(Anak lelaki salah seorang anak perempuan Tupin. Tetapi jawatan ini telah diwakilkan kepada bapanya Alias (Lieh) kerana pada masa itu, Baharom masih muda)
|
(sekarang)
Tok Empat Mulup (Anak lelaki kepada anak perempuan Tupin)

Begitulah aturcara adat di Kampung Dacing. Setiap Tok Empat hanya menguruskan adat bagi masyarakat sekitar kampung ini sahaja. Kampung lain yang berdekatan mempunyai ketua adat yang berlainan, yang dipanggil dengan nama panggilan yang berlainan.

PERKEMBANGAN BAHASA PERTUTURAN


Perkembangan bahasa di Kg Dacing dan daerah Lenggeng adalah satu perkara yang boleh dibincangkan. Pada dasarnya jika dilihat pada waktu sekarang ini, bahasa kebanyakan penduduk di daerah lenggeng (tempat kediaman Pulasan) mirip kepada bahasa yang digunakan oleh orang-orang Negeri Sembilan seperti di Rembau dan Kuala Pilah

Di Kg. Dacing pula, 100% penduduk menggunakan bahasa Minangkabau termasuk juga dari keturunan anak-anak Tupin. Anak-anak dan cucu Supek pula berbahasa Minangkabau apabila berhubung dengan orang-orang di Kg. Daching.

Bagaimana dengan Pulasan, Tupin dan Supek pula. Pulasan, masih belum diketahui apakah bahasa yang digunakan semasa artikel ini ditulis manakala Supek pula berbahasa Rao. Tupin pula biasa dilihat bercakap bahasa Rao semasa berbual dengan kawan-kawan atau saudara-maranya yang tinggal di daerah-daerah lain. Ada juga yang mengatakan dia berbahasa minangkabau semasa di rumah.

Bagi masyarakat lenggeng yang berbahasa N.Sembilan. Berikut adalah teori peribadi saya. Oleh kerana Pulasan berkahwin dengan seorang wanita bernama Maliah dari Rembau. Jika Pulasan berbahasa Rao bercampur dengan Maliah berbahasa Rembau, bahasa Rao dan Rembau ada mempunyai banyak persamaan dari segi intonasi perkataan tetapi ada sedikit perbezaan dari segi irama ayat. Pertembungan dua bahasa ini bercampur dengan pengaruh persekitaran, hasilnya menjadi bahasa N.Sembilan yang digunakan oleh mereka sekarang.

Bagi keluarga keturunan Tupin di Kg. Dacing yang berbahasa Minangkabau pula, saya ingin menyatakan satu fakta yang jelas ialah, Bahasa Minangkabau yang digunakan adalah berbeza sedikit dari segi irama ayat dan sebutan perkataan berbanding dengan bahasa Minangkabau yang digunakan umum di Sumatera dan masyarakat Kg. Dacing yang lain.

Dari fakta di atas, saya mendapat dua teori. Pertama, jika Tupin berbahasa Minangkabau di rumah, ini adalah disebabkan oleh pengaruh bahasa yang dipertuturkan di sekitar Pagar Ruyung di daerah Minangkabau. Teori kedua, terdapat pengaruh bahasa Minangkabau jika Tupin berkahwin dengan lelaki dari Minangkabau, Pertembungan diantara bahasa keturunannya di Rao dan bahasa Minangkabau, menghasilkan bahasa Minangkabau-Rao yang digunakan oleh keturunan Tupin di Kg. Dacing sekarang.

Bermulanya kedatangan Tupin ke sini, menyebabkan ramai lagi orang-orang Minangkabau di daerah persekitaran juga telah banyak berhijrah ke sini diakhir kurun ke 19. Diantaranya termasuklah dari Pasir Laweh, Kumpulan, Paya Kumbuah dan sebagainya menjadikan Kg. Dacing sebuah kampung yang di huni oleh masyarakat Minangkabau sepenuhnya. Banyak daripada mereka masih menggunakan bahasa Minangkabau yang asal.

TEMPAT YANG DILAWATI DAN PEMIMPIN YANG DIGEMARINYA

Semasa hayatnya, Tupin sering melawat ke tempat-tempat lain di sekitar Tanah Melayu semada menemui saudara-maranya atau sahabat handai. Di antara tempat-tempat yang biasa di lawatinya termasuklah di Pinang Baik (Kg. Sg Tua, Selayang), Janda Baik,Pahang, satu tempat di Perak tetapi tidak dipastikan namanya. Ada juga tempat-tempat yang tidak diketahui lokasinya. Beliau juga sering menyebut tentang Kampung Raja tetapi tidak dapat dipastikan lokasinya.

Di awal kurun ke 20, beliau mengerjakan haji ke Mekah bersama suami dan anaknya bernama Husin yang masih kecil pada waktu itu.

Semasa hayatnya, beliau juga pernah di datangi seorang wakil untuk menyuruhnya pulang semula ke tempat asalnya tetapi beliau menolak jemputan tersebut.

BARANG-BARANG PENINGGALAN ARWAH

Tupin semasa hayatnya telah menjadi satu ikon bagi penduduk di sekitar. Beliau merupakan seorang yang aktif dalam masyarakat. Beliau telah meninggalkan banyak ladang-ladang yang diwariskan kepada anak-anak beliau.

Beliau ada juga meninggalkan beberapa barang-barang samada di dapati di sini atau dibawa dari di Sumatera. Barang-barang tersebut termasuklah sebuah peti logam, periuk tembaga, dulang tembaga, sebuah gong, katil besi tinggi, dua bilah lembing, perhiasan sanggul campuran tembaga, rantai lebar campuran tembaga, satu medal tahun 1938 bergambar queen dan hiasan pelamin untuk kenduri perkahwinan.

Barangan tersebuat walaupun biasa dilihat oleh anak-anak dan cucunya, kini sudah banyak yang hilang. Hanya ada beberapa barangan yang masih tersimpan.

KEMATIAN TUPIN

Tupin telah meninggal dunia pada pada 21hb April, 1945. Di atas batu nesannya tertulis nama beliau sebagai Tupin bt. Menang. Semasa kematiannya dianggarkan beliau berumur awal 80an. Beliau telah dikebumikan di hadapan Surau Sulok seperti mana yang di kehendakinya.

Sebelum itu suaminya telahpun meninggal terlebih awal dari itu. Selepas kematian Tupin, terputuslah semua hubungan bagi anak-anak dan cucu-cucunya dengan sahabat dan saudara maranya di negeri lain dan di Pulau Sumatera.

5 comments:

  1. Assalamualaikom.. ni cerito tentang asal usul keluargo den ni...

    ReplyDelete
    Replies
    1. assalamualaikum,...samolah awak ar yon...

      Delete
  2. Assalamualaikum..
    saya mula tertarik kepada catatan Surau Suluk ini apabila saya menguruskan jenazah allahyarham ayah saya. Kaum Keluarga memutuskan untuk mengadakan solat jenazah disurau ini yang merupakan tempat asal allahyarham di lahirkan...rupanya, moyang saya haji Ali dan Tupin mempunyai sumbangan besar untuk kampung daching ini..

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah saya juga generasi keempat dari keturunan tupin dan hj ali..

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete