Monday, 24 September 2012

Dahari Ali: Pejuang MALINDO



Dahari Ali:
Pejuang MALINDO
Allahyarham Dahari Ali atau Buyong Dahari  dilahirkan di Kampong Sengat, Simpang Pulai, Perak pada hari Selasa 6 Jun 1922 bersamaan dengan 10 Syawal 1340 Hijrah. Nama sebenarnya ialah Mohamed Dahari  bin Haji Mohd Ali, anak bongsu dari empat orang adik-beradik.
            Bapanya, Haji Mohd Ali bin Haji Mohd Yassin, seorang peruncit yang memiliki dua kedai runcit yang terletak  di Kampong Sengat dan di Sengat Estate, ladang getah kepunyaan Inggeris. Ibunya,  Hajjah Aliah binti Haji Mohd Noor, juga seorang peruncit yang berniaga bersama-sama suaminya. Ninda sebelah ibunya berasal dari Lubok  Aro  manakala nenek  moyang  yang lain pula berasal dari Padang  Mentinggi. Kedua-dua tempat tersebut terletak di Rao Pasaman, Sumatera Barat.
Dahari mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampong Kepayang hingga Darjah 7, kemudian  memasuki  Sekolah Anderson di Ipoh.  Dia bercita-cita untuk  melanjutkan pelajaran  di Raffles College, Singapura,   namun demikian sebelum menduduki peperiksaan itu, bapanya meninggal dunia  menyebabkan keputusan  Junior Cambridgenya  tidak memuaskan dan gagal memenuhi syarat kemasukan ke Raffles  College.
Bergiat dalam Politik
Lantaran itu Dahari menceburi arena politik pra merdeka, seawal dua puluhan dan dilantik sebagai Setiausaha Agung  Parti Kebangsaan  Melayu Malaya  (PKMM)  yang pertama. Bersama-sama Dr  Burhanuddin Al-Helmi,  Ibrahim Yaakob,  Ishak Haji Muhammad (Pak Sako),  Ahmad Boestamam, dan Ibrahim Karim yang digelar “The Unsung Heroes of Malayan Independence”, Dahari berjuang menentang penjajah untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Kegiatannya tidak hanya terbatas di tanah air sendiri tetapi melebar ke “tanah seberang”; Sumatera.  Justeru padabulan Mei 1946  dia  menaiki bot dari Singapura ke sana.
Di Sumatera,   Dahari  ditauliahkan sebagai Leftenan II, Tentera Republik Indonesia berpengkalan  di  Bukittinggi yang  berkhidmat  bersama anak-anak Malaya yang telah pun berada di sana.  Pada mulanya dia berkhidmat dengan Kapten Aga[1] dan kemudian, dengan Major Abdul Karim Rashid yang  bersara  berpangkat Major Jeneral  dalam Tentera Nasional Indonesia. 
Di antara sahabatnya  di Sumatera yang berasal dari Tanah Melayu ialah Zulkifli Ownie, anak Manong, Perak  yang bermastautin di Medan dan  kemudian  bersara  dari Tentera Nasional  Indonesia  dengan pangkat Kolonel. Padamasa  itu  ramai  anak Malaya memilih kerakyatan Indonesia  kerana  bencikan  Inggeris yang  menguasai Tanah Melayu,  antaranya  termasuklah Lt. Jeneral Abdullah Kamil dan Lt. Jeneral Shamsudin Noer.
 Manakala anak Indonesia yang turut sama berjuang dengan Dahari Ali di Sumatera termasuklah Saiful Bahri, pemuzik Minangkabau  yang pernah berkhidmat dengan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) satu ketika dahulu.
Memasuki UMNO
Dahari  masuk menjadi ahli  UMNO  setelah menerima borang keahlian  daripada   Hamzah  Alang yang memujuknya dengan  menyebut:  “Dahari, you  jadi ahli sajalah, di mana orang UMNO ada, you ada”.  Setelah menjadi ahli UMNO, dia  bersama  Dato’ Abdul Aziz  Ishak[2]  dan  beberapa orang  pemimpin negeri  menerajui UMNO Selangor.
Tepatjam 3.00 pagi  pada 20 Ogos 1959  Dahari Ali diistiharkan   menang  kerusi  Parlimen Kuala Selangor  oleh Pegawai  Suruhanjaya Piliharaya  ketika itu, Dato’ Tahir Abdul Rahim[3]. Selain sebagai Ahli Parlimen, Dahari pernah dilantik menganggotai Jawatankuasa Pelajaran Negeri Selangor, Ahli Jawatankuasa Marin Pelabuhan Kelang dan Pengerusi Jawatankuasa Ahli-ahli Parlimen Perikatan mengenai Kesihatan.
Selanjutnya,  bermula bulan Mac hingga Jun 1960, Dahari Alidilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Penyata  Rahman  Talib  bagi menyemak semula dasar pelajaran kebangsaan. Jawatankuasa ini membentuk lima buah Jawatankuasa lain iaitu  professional,  kewangan, pentadbiran, pembekalan dan latihan  guru & pengajaran agama.  Apa yang mengembirakan Dahari ialah bapa saudaranya, Dato’ Zainal Abidin Ali turut menjadi ahli jawatankuasa tersebut.
Sepanjangmenjadi Ahli Dewan Rakyat,  Dahari  mewakili Perikatan menghadiri persidangan penyelesaian  pertikaian  pencerobohan  China ke atas Tibet yang  diadakan di New Delhi, India pada bulan April 1960.   Pada tahun 1961, beliau  mengetuai rombongan Malaya ke Nigeria untuk menghadiri perayaan kemerdekaan negara itu dan melawat Ghana dan  Seirra Leonne.
Keluar  UMNO
Dahariturut  keluar  UMNO  apabila  Abdul Aziz  Ishak dipecat oleh Tunku  Abdul Rahman Putra Al-Haj daripada UMNO.  Hal ini terjadi  kerana  dia  merupakan  sahabat  sejati   Aziz Ishak  yang  pernah  sama-sama  berkerja  semasa  di Utusan Melayu  Singapura.  Sebaik sahaja meninggalkan UMNO,   Aziz Ishak merangka perlembagaan parti baru yang  bernama Parti Perhimpunan Rakyat atau National Convention Party dan persediaan bagi pelancaran parti itu di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 14 Julai 1963.
            Di samping  berpolitik, Dahari terlibat juga  dalam  bidang  kewartawanan. Dia pernah berjinak-jinak dengan  akhbar Suara Rakyat serta  menjadi wakil Utusan Melayu di Ipoh sebelum  berkerja  dengan Utusan Melayu  di Singapura. Kemudian  ditukarkan ke  Kuala Lumpur   setelah  berselisih faham  dengan Yusof Ishak[4], Ketua Pengarang Utusan Melayu, mengenai  liputan berita pertabalan Ratu Elizabeth.
Pada tahun 1958,  Dahari  berpeluang mendalami  ilmu kewartawanan  di Australia serta berkesempatan  berkhidmat dengan beberapa akhbar di Perth, Melbourne dan Sydney. Kursus ini berjalan  selama enam bulan dan  dibiayai  dengan biasiswa Colombo Plan.
Ketika di Kuala Lumpur pula,  Dahari   berkerja  dengan  akhbar Melayu yang barumuncul  pada masa itu seperti  Berita Harian  dan kemudian  apabila  memasuki akhbar  The Straits Times,  dia pernah dilantik sebagai  Reporter , Chief  Reporter  dan  Chief News Editor.  Jawatan terakhir sebelum dia bersara pada tahun 1982 daripada akhbar The New Straits Times ialah  Assistant to Editor-in-Chief.
Sesungguhnya pada 13 Januari 1986  bersama 2  Jamdiawal 1406,   Dahari Ali  pulang menemui Allah S.W.T  setelah bertahun-tahun  mencurahkan  bakti kepada nusa yakni Tanah Melayu dan Sumatera; bolehlah disifatkan bahawa beliau patut dinobatkan sebagai Pejuang Malindo (Malaysia-Indonesia)

Sumber:  Haji Asrul Bin Dahari, 42 Jalan Setiawangsa 3, Taman Setiawangsa, 54200 Kuala Lumpur



[1] Kapten Abdul Ghani bin Dato’ Abu Samah,  abang  bekas  Menteri  Kabinet,  Tan Sri Hamzah  Abu  Samah

[2]  Bekas  Menteri Pertanian  semasa Kabinet Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, anak kelahiran Terong, Perak yang  juga adik kepada mantan Presiden Singapura yang pertama iaitu Yusof Ishak.

[3]Pernah menerajui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor

[4] Presiden pertama Singapura

No comments:

Post a Comment