Sunday, 30 October 2011

Tok Tua Sakti Pembuka Tapah



Oleh Zabidin Hj Ismail

Pengenalan

Tok Tua Sakti @ Tok Simpang Tiga[1] atau nama sebenarnya  ialah Abd Rahman b. Raja Setia[2]  berasal dari Rao[3], Sumatera Barat,  Indonesia  dan merupakan pengasas Kampung Datuk, Tapah.  Kampung ini merupakan kampung yang terawal dan tertua  di pekan Tapah.
            Tapah terletak di pinggir Sungai Batang Padang.  Sungai tersebut dahulunya besar  menjadi laluan dagang  kapal-kapal kerana dipercayai pada zaman  dahulu Tapah merupakan sebuah  pelabuhan.  Sehubungan itu Tok Tua Sakti datang ke Tapah sebagai pedagang.
Tok Tua Sakti datang ke Tapah bersama-sama dua orang adiknya iaitu Tok Bayas dan Tok Sebarau. Mereka tiba di Tapah dari Sumatera merentasi Selat Melaka ke muara Sungai Perak di Bagan Datoh hingga ke Teluk Intan  dengan menggunakan lancang (kapal layar) dan dari Teluk Intan menggunakan sampan mudik ke Kinta dan Sg Bidor lalu memasuki Sungai Batang Padang.
Tok Tua Sakti dan adiknya dipercayai meneroka kampung Datuk pada kurun ke 16 selepas negeri Perak wujud pada tahun 1528.  Pada peringkat awal mereka  bermukim di situ kerana lokasinya agak strategik – berbukit yang terletak di tebing sebelah kanan Sungai  Batang Padang. Nama Tapah belum muncul ketika mereka menemui Kampung Datuk.
Kampung Datuk mendapat nama daripada gelaran tiga “tok” tersebut iaitu Tok Tua Sakti, Tok Bayas dan Tok Sebarau. Mereka juga yang memainkan peranan penting membuka Pekan Tapah yang terletak bertentangan dengan Kampung Datuk iaitu seberang Sungai Batang Padang.
Pekan Tapah mula dibina sebagai ibu daerah pada tahun 1888 setelah British campur  tangan dalam pentadbiran Perak melalui Perjanjian Pangkor  pada 20 Januari 1874. Ketika itu Pekan Tapah sudah mempunyai penduduk seramai 1800 orang.

Tapah mendapat nama

Ada tiga versi cerita Tapah mendapat nama;

Pertama;
Sejarah Tapah berasal dari nama sejenis ikan iaitu ikan tapah. Pada zaman Sultan Mukaddam Shah Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah, Sultan Negeri Perak yang ke-enam, permainan sabung ayam amat terkenal di kalangan rakyat jelata dan permainan ini menjadi tontonan orang ramai dan berjudi.
Semua golongan tidak kira golongan rakyat jelata, bangsawan sehinggalah sultan bermain sabung ayam.  Ini termasuklah Tok Tua Sakti iaitu salah seorang peneroka awal Pekan Tapah. Beliau menyabung ayam sehingga kalah teruk dan tergadai kampung halaman serta harta bendanya hingga jatuh miskin.
Setelah beliau kalah, Tok Tua Sakti amat menyesal dan bertaubat. Kemudian pada malam berikutnya, beliau bermimpi. Di dalam mimpinya, beliau di suruh ke kuala Sungai Batang Padang dan terdapat seekor ikan tapah sebesar manusia akan terdampar di situ. Di dalam perut ikan berkenaan, terdapat beberapa kepingan emas yang boleh membantu Tok Tua Sakti untuk menebus kembali kampungnya[4].
Setelah berjaya mendapatkan emas berkenaan dengan membelah perut ikan tapah dengan sembilu buluh dan menjahitnya  dengan menggunakan ijok kabung sebagai benang manakala sundang lalang sebagai jarumnya.
Sejak kejadian itu, kaum keluarga Tok Tua Sakti  disumpah dan tidak boleh memakan atau menganiaya ikan tapah selama-lamanya kerana ikan tapah telah berjasa dan menyelamatkan beliau dan kampungnya. Berasaskan kepada peristiwa tersebut,  penduduk telah menamakan kawasan ini sebagai Tapah[5].

Kedua;
Penduduk sekitar  Sungai Batang Padang menanam jenazah di tanah perkuburan di Kampung Datuk. Zaman dahulu mereka membawa jenazah menggunakan sampan kerana tanah perkuburan itu berhampiran tebing Sungai Batang Padang.
            Apabila hujan lebat dan air Sungai Batang Padang menaik sehingga menenggelamkan perkuburan itu, kelihatan banyak ikan tapah seberat 60 hingga 70 kati menyondol tanah kubur untuk mencari mayat yang baru ditanam. Peristiwa ini menimbulkan keanehan dalam kalangan penduduk setempat lalu menamakan kawasan ini sebagai Tapah[6].
Ketiga;
Selain temasya sabung ayam  banyak lagi cerita  yang berlaku  di antara Tok Tua Sakti dengan ikan tapah. Antaranya ialah Tok Tua Sakti pernah bermudik di kuala sungai simpang tiga lalu bertembung dengan ikan tapah yang menghalang perjalanann perahunya.
Pelbagai cara telah dilakukan menghalau ikan itu termasuk menangkapnya  tetapi perjalanannya tetap dihalang oleh ikan tapah.  Akhirnya  Tok Tua Sakti menggunakan kuasa kesaktiannya lalu ikan tapah tersebut tenggelam  perlahan-lahan dan diikuti  turunya hujan panas[7].

Ketrampilan Tok Tua Sakti

Beliau dikatakan seorang yang lemah lembut dan sering memakai jubah hitam[8].  British menganggap tokoh ini sebagai ketua masyarakat di Tapah kerana berfikiran  matang, berakhlak serta mementingkan ilmu manakala Sultan Perak ke-14 (1744-1750) yakni Sultan Muhammad Shah  menganugerahkan gelaran Toh Tan Dewa Sakti,  Orang Besar 32 Perak[9] atas ketrampilan Tok Tua Sakti yang dianggap ketika itu sebagai Orang Besar Jajahan Batang Padang.
Tok Tua Sakti mempunyai ilmu kasyaf  yang tinggi  dapat mengetahui bencana atau malapetaka  yang akan melanda pekan Tapah. Kejadian seperti wabak taun, banjir serta lain-lain banyak diketahuinya  terlebih dahulu kemudian dikhabarkan kepada masyarakat Tapah  supaya berhati-hati serta berwaspada. Ekoran itu penduduk Tapah sangat menghormati dan memuliakannya [10].

“Kapit”

Tok Tua Sakti  dikatakan mempunyai  “kapit”   merupakan seekor harimau tempang yang  kerap mendampingi serta menjaga keturunan beliau. Dipercayai lagi, harimau tersebut pernah dilihat di sekitar makam Tok Bayas di Kampong Ampang sehingga ke Bukit Changkat Rembian. Malah ada juga mendakwa  harimau tersebut meronda-ronda di kawasan orang asli Kuala Woh.
Selain itu, buaya keramat serta penyu putih dipercayai juga milik Tok Tua  Sakti yang akan timbul di Sungai Batang Padang jika sesuatu  yang tidak diingini akan  berlaku di Tapah [11].
           Ada satu lagi cerita kehebatan Tok Tua Sakti yang mampu memecah batu keras yang tersadai melintang sungai Batang Padang di Kg Batu Melintang.  Batu besar itu menghalang pergerakan perahu penduduk menghilir ke Tapah.
            Oleh yang demikian mereka mengadu kepada Tok Tua Sakti  supaya batu besar dapat dialih bagi memudahkan perjalanan perahu. Anehnya, Tok Tua Sakti hanya mengambil masa dari waktu isyak hingga ke subuh menakek batu itu menjadi terusan sekaligus membolehkan perahu mudik dan menongkah tanpa halangan lagi.

Berpegang kepada prinsip

Tok Tua Sakti sanggup membunuh adiknya, Tok Sebarau semata-mata tidak mahu melihat adiknya bergelumang noda. Kejadian ini berlaku disebabkan Tok Sebarau “dipikat” oleh orang asli Kuala Woh. Tok Sebarau seorang yang alim dan pembersih. Dia berniaga garam, tembakau dan pinang di Kuala Woh berdekatan dengan kampong orang asli.
            Oleh kerana mengamalkan kebersihan, pangkin tempat barang jualannya sering disamak setiap kali selepas orang asli datang membeli barang jualannya. Perbuatan Tok Sebarau menyamak pangkin itu telah menyinggung hati orang asli.
            Suatu hari orang asli itu menaburkan cawatnya yang dikoyak-koyak dari pangkin Tok Sebarau hingga ke kampong orang asli itu. Tok Sebarau “terkena” ilmu lalu mengikut cawat yang ditabur itu sehingga tiba ke rumah orang asli lalu tinggal bersama-samanya. Dia lupa perniagaan dan kampungnya di Tapah.
            Menyedari kejadian ini, Tok Tua Sakti dan Tok Bayas pergi ke kampong orang asli itu dan mengajak Tok  Sebarau pulang tetapi Tok Sebarau tidak mahu balik. Pelbagai helah diusahakan tetapi tidak berjaya. Akhirnya mereka meminta tunjukkan jalan balik kerana hari sudah senja. Mahu tidak mahu Tok Sebarau pun bersetuju. Dalam perjalanan itu, Tok Tua Sakti menikam adiknya, Tok Sebarau sehinga mati.
            Mayatnya dimandi dan disembahyang serta dikebumikan di suatu tempat bernama Bukit Sebarau berdekatan dengan Batu 6 Jalan Pahang, Tapah. Kubur Tok Sebarau masih ada lagi di bukit itu manakala anak sungai tempat memandi mayat Tok Sebarau suatu ketika dahulu airnya berwarna merah[13]. Bagaimanapun sekarang tidak lagi kerana tercemar dengan pembinaan kolam ikan air tawar.
Tok Tua Sakti dikatakan meninggal dunia ketika berusia 130 tahun. Keturunannya masih ada lagi dan menetap di Kampong Datuk, Kampong Lubuk Katak dan Kampung Bermin.

Penutup

Tok Tua Sakti seorang tokoh yang banyak berjasa dalam pembinaan insaniah masyarakat  serta pembangunan setempat. Ini terbukti banyak tanah kepunyaannya diwakafkan untuk tujuan keagamaan termasuklah pembinaan Sekolah Agama Rakyat Ar Rahmaniah di Kampong Datuk, Tapah.
Namun demikian riawayat hidup Tok Tua Sakti tidak dapat ditonjolkan dengan sempurna kerana kekurangan bahan berbentuk fakta melainkan berkisar dengan mitos dan legenda yang kurang wibawa.


[1]  Mantan guru, Kamarudin, 77, No.428 Sg. Selinsing, Jalan Temoh, Tapah
[2]  Haji Alias bin Mat, 60 tahun, Kg Seri Azam (dahulu: Kg Bakar Sampah) Jalan Pahang, Tapah, Perak
[3]  Menurut Datuk Shawaludin Mat Din 65 tahun dakwa bahawa beliau pernah berbual dengan Badilah seorang pekedai runcit di Kg. Batu 6, Jalan Pahang pada tahun 50-an yang merupakan keturunan Tok Tua Sakti. Badilah pulang ke Rao, Sumatera pada tahun 1958 dan meninggal dunia di sana (wawancara menerusi telefon pada 9.10.2011 jam 9.00 pafi)
[4] Kisah ini menyamai dengan cerita Pak Kaduk di Lambor yang hidup sezaman dengan Sultan Perak Pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah ibn Al Marhum Sultan Mahmud Shah (1528-1549) Bukti cerita Pak Kaduk ialah kerongsang emas daripada perut ikan Tapah masih disimpan oleh keturunannya manakala cerita Tok Tua Sakti tidak pula dibuktikan dengan emas yang dijumpai itu.
[5]  Majlis Daerah Tapah
[6]  Wawancara dengan Datuk Shawaluddin
[7] Mantan guru, Kamarudin, 77 tahun
[8]  Hj Hassan Jumaat, 84 tahun, No 13-B Jalan 34 Taman Bukit Pagar Tapah
  

Monday, 5 September 2011

DATO' SERI MOHAMED KHALIL HAJI HUSSEIN: Yang DiPertua Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO)



 oleh Zabidin Haji Ismail

Dato’ Seri Mohamed Khalil bin Haji Hussein telah dilahirkan di Kampung Pulai, Gopeng, Perak pada 28 Jun, 1932. Beliau telah mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Gopeng (1938- 1941), Sekolah Jepun, Gopeng (1942 -1944), Government English School, Gopeng, (September, 1945-1948) dan Sekolah Anderson, Ipoh (1949- 1954). Kemudian beliau memasuki Universiti Malaya di Singapura  pada bulan Oktober, 1954 sehingga memperolehi  ijazah B.A. pada tahun 1957 dan ijazah B.A. (Honours)  pada tahun 1958. 

Setelah tamat belajar di universiti, beliau memasuki perkhidmatan kerajaan sebagai pegawai Malayan Civil Service (sekarang Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik ) dalam bulan Julai 1958. Jawatan pertama beliau ialah  sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri, Malaysia,  Kuala Lumpur. Beliau berkhidmat di situ sehingga. tahun 1959. Perkhidmatan beliau seterusnya ialah  sebagai Penolong Setiausaha, Kementerian Pelajaran (1959), Penolong Pegawai Daerah, Ipoh (1959-1960), Penolong Pegawai Daerah,  Parit (1960 -1961), Setiausaha Kerja, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Sempadan di Alor Star (1961-1963), dan Setiausaha Kerja,  Majlis Pertahanan Negara   di Kementerian Pertahanan (1963-1965).


Semasa berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja, Majlis Pertahanan Negara  beliau telah dihantar  menghadiri kursus pentadbiran tinggi di Carleton University, Ottawa, Canada dalam tahun 1965. Sekembalinya daripada menghadiri kursus tersebut beliau telah ditugaskan sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Urusetia  di Kementerian Pertahanan juga (1965-1967).
Beliau kemudiannya ditugaskan sebagai   Setiausaha Rendah, Urusetia dan Pentadbiran, di Kementerian yang sama juga (1967-1969). Semasa  berkhidmat  sebagai Setiausaha Rendah tersebut beliau telah dipilih untuk mengikuti kursus  pertahanan bagi pegawai-pegawai  kanan tentera dan awam dari United Kingdom, negara-negara Komanwel dan Amerika Syarikat di Imperial Defence College, London  selama setahun dalam  tahun 1968.


Ketua Pengarah Imigresen


Pada bulan Disember, 1969 beliau telah  dilantik sebagai Controller-General of Immigration Malaysia (sekarang Ketua Pengarah Imigresen). Beliau berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Imigresen sehingga  tahun 1976 apabila beliau ditukarkan untuk memegang  jawatan Ketua Setiausaha , Kementerian Kerjaraya dan Kemudahan Awam . 


Selaku Ketua Setiausaha beliau juga telah dilantik sebagai ahli Lembaga, Lembaga Letrik Negara (1976-1979) dan Pengerusi, Lembaga Perlesenan Pengangkutan Jalan (1976-1978).  

            Pada awal bulan Ogos 1979 beliau telah ditukarkan ke negeri Perak untuk memegang  jawatan Setiuasaha Kerajaan Perak. Sebagai Setiausaha Kerajaan Perak beliau juga adalah ahli ex-officio, Exco Negeri Perak. Beliau telah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Perak sehingga bulan Disember 1983  apabila beliau ditukarkan ke Kementerian Pertanian untuk memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha 1 , Kementerian Pertanian. Beliau kemudian telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian itu.


Bersara wajib

                                                                                                           
Pada tanggal 28 Jun 1987 beliau bersara daripada perkhidmatan kerajaan apabila mencapai umur 55 tahun. 

Dato’ Seri Mohamed Khalil juga melibatkan diri dalam beberapa buah badan sukarela. Antara lain,  sebagai Timbalan Presiden, Persatuan Kebajikan Anak-Anak Melayu Perak, di Selangor  (1974-1976), President , Old Andersonians’ Club (1981 -1983), President, Perak Amateur Athletic Association (1980-1983), President, Anderson School  Old Boys’ Association (ASOBA)   (2000-2007) dan Timbalan Presiden, Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (2000-2009).

Sekarang beliau memegang pelbagai jawatan dalam badan-badan sukarela  iaitu Timbalan Presiden, Persatuan Pesara Kerajaan Malayia, Timbalan Presiden, Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia, Ahli Lembaga  Pemegang  Amanah   Yayasan Kebajikan Negara dan Yang Dipertua, Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO).

Beliau memiliki 5 orang anak dan 6 orang cucu dan isteri,  Datin Seri Nurul’ainiah binti Ahmad Tajudin.

            Sebagai mengenang jasa beliau dalam perkhidmatan Kerajaan dan badan-badan sukarela, Kerajaan telah menganugerahkan  bintang Kesatria Mangku Negara    (K.M.N.)  dalam tahun 1966 dan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak  (S.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato’ Seri pada bulan September 1981.

Friday, 15 July 2011

Pawang Ana Tokoh Penglipur Lara Negara


Oleh Zabidin Hj Ismail

                                                                                     Pengenalan

Pawang Ana adalah tokoh penglipur lara tersohor dalam sejarah kesusasteraan Melayu tradisional tanah air kerana kelima-lima cerita lipur lara tuturanya diletakkan ke dalam Karya Agung oleh Yayasan Karyawan. Ini melambangkan bahawa Pawang Ana adalah tokoh penting dalam sejarah sastera lisan negara ini tetapi riwayat hidupnya amat kurang dibicarakan oleh sarjana mahupun pengkritik sastera.

Kajian yang dilakukan mendapati bahawa tidak ada sebuah pun buku ditulis mengenai diri Pawang Ana baik daripada sumber Melayu (Malaysia) mahupun Barat (England dan Belanda). Ada banyak alasan kenapa tokoh ini kurang diperkatakan berbanding dengan cerita-cerita tuturannya.

Pertama; Pawang Ana sendiri tidak mahu dikenali. Nama Pawang Ana itu pun bukan nama asal melainkan nama samaran. Sudah menjadi tabiat perantau dari seberang yang lari daripada cengkaman Belanda; kemudian tiba di Tanah Melayu mereka berdepan pula dengan Inggeris – sekutu Belanda – mahu tidak mahu mereka terpaksa menukar imej, watak, etnik dan nama kerana bimbang termasuk dalam perangkap penjajah sebab mereka datang ke Tanah Melayu untuk menyelamatkan diri dari buruan Belanda.

Kedua; Inggeris sendiri bersifat bias terhadap pribumi dengan kurang menonjolkan kehebatan orang tempatan dalam catatan penulisan lantaran itu riwayat hidup Pawang Ana tidak dicatat sepenuhnya.

Ketiga; banyak manuskrip lama ataupun catatan sejarah yang tinggi nilainya telah dibawa oleh penjajah ke negara meraka. Malahan terdapat pula beberapa buah kapal yang penuh dengan muatan khazanah Tanah Melayu dilarikan ke Eropah dikatakan tenggelam seperti Floor De Lama dan the Fame terbakar semasa dalam pelayaran.

Ketiga-tiga faktor yang dinyatakan tadi telah menyebabkan biografi Pawang Ana sukar untuk ditulis semula secara tepat dan lengkap. Walau bagaimanapun, catatan atau nota Richard Olof Winstedt, seorang Pegawai Inggeris yang pernah berkhidmat di Perak sedikt sebanyak dapat membantu menelusuri riwayat hidup tokoh ini. Winstedt meskipun tidak menulis secara lengkap mengenai Pawang Ana tetapi catatan ringkasnya dapat membantu di samping sumber primer yang dikutip menerusi kaji lapangan.

Siapa Pawang Ana?

Arwah berasal dari Rao, Sumatera Barat dan berhijrah ke Kampong Pulai, Gopeng , Perak apabila Rao tewas dalam peperangan menentang Belanda. Adalah dipercayai Pawang Ana datang ke Tanah Melayu mengikut gelombang penghijrahan beramai-ramai orang-orang Rao ke Perak setelah tamat Perang Paderi (1816-1833) . 

Perang Paderi pada peringkat awal adalah gerakan dakwah oleh golongan pendakwah Sumatera Barat yang mendapat pendidikan dari Timur Tengah ( Mesir, Makkah dan Madinah) dan apabila kembali ke kampong halaman bertindak memerangi segala amalan yang bercanggah dengan Islam seperti berlaga ayam dan adat resam yang bertentangan dengan syarak yang masih diamalkan oleh sebilang besar orang Melayu terutama di Minangkabau, Sumatera Barat.

Kemudian, apabila Belanda menyerang Sumatera, Perang Paderi bertukar menjadi perang menentang Belanda. Tetapi pengamal-pengamal adat dan mereka yang tidak sehaluan dengan golongan pendakwah itu, telah memihak dan bergabung pula dengan Belanda lalu menentang pribumi dan pendakwah.

Ini menyebabkan Belanda berjaya menguasai Sumatera Barat termasuk Minangkabau dan Rao. Ketewasan orang Sumatera Barat ditangan Belanda bukan kerana Belanda kuat tetapi pengkhianatan yang berlaku dalam kalangan mereka. Ini menyebabkan pahlawan-pahlawan Perang Paderi seperti Tuanku Rao dan Imam Bonjol berjaya ditangkap Belanda atas bantuan pribumi.

Tuanku Rao diseksa di dalam sebuah kapal Belanda berhari-hari dan kemudian mayanya dibuang ke laut berdekatan Air Bangis manakala Imam Bonjol dibuang daerah ke pulau Menado dan meninggal dunia di situ. Manakala Tuanku Tembusai sempat melarikan diri ke Negeri Sembilan dan meninggal di Rasah, Seremban.

Akibat ketewasan perang dan tidak mahu dikristiankan oleh Belanda, mereka beramai-ramai meninggalkan kampung halaman; berbulan-bulan melintasi hutan belantara dari Rao ke Medan, kemudian ke pesisir Selat Melaka lalu menyeberangi selat untuk ke Tanah Melayu. Sebilangan besar mereka mendarat di Kelang, Pulau Pinang dan Kedah.

Dalam arus pertama kedatangan beramai-ramai orang Rao ke Perak pada sekitar 1850-an lokasi awal yang mereka temui ialah Gopeng (ketika temui kawasan ini belum lagi bernama Gopeng sebaliknya dikenali sebagai Kg. Rao. Pekan Gopeng sekarang dahulunya dipanggil Kg. Rao).

Dukun dan Pendekar Perang

Pawang Ana bukan sahaja dikenali sebagai penglipur lara tetapi juga dukun yang handal. Justeru itu, penulis sejarah, Zakaria Hitam pernah menyebut bahawa Pawang Ana adalah seorang bomoh;

“Seorang pawang yang bernama Ana, menjadi terkenal hari ini kerana ceritanya....
(Tradisi penulisan manuskrip Melayu. 1997: Perpustakaan Negara Malaysia).

Kenyataan Zakaria disokong oleh Siti Hawa Hj. Salleh dlm Malay Literature of the 19th Century yang berbunyi begini:

“......the publication of the folklores told by the shaman, Pawang Ana in Temoh....

Chuan Siu Li dalam Ikhtisar sejarah kesusasteraan Melayu baru, 1830-1945 juga menyebut Pawang Ana sebagai pawang yang telah menuturkan sastera rakyat. Katanya:

“...Winstedt ada seoran Penghulu di Perak, Raja Haji Yahya bin Haji Muhammad Ali namanya, yang dapat menuliskan sastera rakyat atau cerita lisan itu datang dari mulut seorang pawang, Pawang Ana namanya.
(1996)

Di samping sebagai bomoh atau dukun, Pawang Ana juga digambarkan sebagai pendekar atau hulubalang. Ini dapat dijelaskan melalui petikan daripada beberapa buah buku. Umpamanya, buku Proceedings of the British Academy: Volume 65:1981 menyebut bahawa Pawang Ana;...this old Sumatran warrior recited Awang Sulong and other Malay folktales while Winstedt took them down. 

Mohd Taib Osman juga mencatatkan bahawa Pawang Ana merupakan pendekar atau hulubalang di dalam tesisnya bertajuk Malay folk beliefs: an integration of disparate elements, Indiana University, 1967.

Unsur kependekaran memang ada dalam diri Pawang Ana. Sebagai contoh kesanggupannya mencari mayat JWW Birch di Pasir Salak. R.O Winstedt dalam bukunya; Start from aliff: count from one: an autobiographical memoire (1969) telah menerangkan sedikit mengenai Pawang Ana yang menjumpai mayat Birch di sungai Perak berdekatan Pasir Salak. Winstedt menyebut:
It was at Tapah that I began to collect Malay folktales from Pawang Ana, a Malay who had recovered the body of Mr Birch, the first Resident of Perak, from the river after his murder.

Kenyataan R.O Winstedt ini turut disokong oleh Clifford Edmud Bosworth dalam buku berjudul A Century of British orientalists 1902-2001 (British Academy: 2001) yang menyatakan begini:

It was he who was responsible for introducing to Winstedt Pawang Ana, who had recovered the body of Perak’s first British Residen, JWW Birch, after he had been murdered by Malays in 1875....

Peranan Pawang Ana pertama kali muncul di persada sejarah Perak bermula pada tahun 1875 setelah berlaku pembunuhan Residen British yang pertama di Perak, JWW Birch di Pasir Salak. Kehandalannya terbukti apabila dia menjumpai mayat JWW Birch. 

Setelah tiga hari dan tiga malam British bersusah payah mencari mayat Birch kerana telah dihanyutkan air sungai Perak ke hilir. Barangkali kegagalan Inggeris menjumpai mayat tersebut telah mendorong mereka meminta bantuan daripada Pawang Ana dan berjaya menjumpai itu kira-kira 183 meter dari tempat kejadian. 

Kemudian, mayat itu ditanam di Teluk Memali yang juga dikenali sebagai Bandar Baru iaitu pusat pentadbiran British di kawasan Hilir Perak. Walau bagaimana pun, selepas itu, keluarga mendiang JWW Birch dari England datang ke Teluk Memali dan membawa mayat tersebut ke negara mereka.

Berpindah ke Temoh

Pawang Ana dipercayai pindah ke Temoh kerana Gopeng pernah dilanda penyakit taun atau Malaria. Apabila Kampong Batu Masjid, Temoh dibuka oleh Lebai Tenggam bersama beberapa orang pengikutnya, Hj Baduwakil,Hj Sirat, Hj Ismail Jambi, Hj Salleh dan Hj Mohd Yasin dengan cara meneroka, menebas-tebang hutan belantara – nama Pawang Ana muncul kembali setelah 20 tahun “lenyap” sesudah dia menyumpai mayat JWW Birch.

Kg, Batu Masjid dibuka pada tahun 1895. Menurut Abdul Salam Hj Ismail (anak saudara Lebai Tenggam) Pawang Ana adalah orang yang menamakan kawasan baru yang diterokai itu sebagai Batu Masjid. 

Sejarah lisan menyebut tanah asal Batu Masjid ialah terletak di suatu kawasan yang bersempadan Tanah Seribu dengan Keramat Tin. Ia berada pada latitude 4.13” N dan longitute 101.200” E dan ditemui oleh Lebai Tenggam dan pengikutnya kerana kawasan itu tanah pamah tetapi anehnya terdapat sebuah bukit batu yang menyerupai masjid tersergam di tengah-tengah hutan belantara. 

Ketika ditemui bukit batu ini kelihatan calar dan retak di sana-sini. Di celah-celah keretakan itu pula hidup segar pepohon yang akarnya berjuntai. Pokok-pokok ini pula tempat kera-kera hutan bergayut dan berlompatan ke sana ke mari dengan riangnya. Kelihatan saiznya sebesar banglo dan di kakinya pula terdapat sebuah gua yang boleh dimasuki tetapi agak gelap dan mengerunkan.

Berasaskan apa yang dinampak dan ilmu pengetahuan yang dimilikinya, Pawang Ana lantas menamakan kawasan tersebut sebagai Batu Masjid dan kemudiannya kawasan sekitar diterangi dan dijadikan kebun serta penempatan; lama kelamaan termasyurlah ia sebagai Kampong Batu Masjid. Mengikut cerita orang tua-tua, ada seorang penduduk kampung berkenaan dilahirkan di kawasan itu dan digelar orang Pak Batu walhal nama sebenarnya Mat Yet dan sudah berpuluh tahun meninggal dunia. Rasionalnya gelaran itu diberikan sedemikian rupa kerana masyarakat setempat ingin mengingatkan kampung asal mereka kerana beberapa tahun selepas pembukaan Batu Masjid, kawasannya telah melebar dan tapak asalnya secara perlahan-lahan ditinggalkan begitu sahaja.

Kawasan asal Batu Masjid ini kini boleh dikunjungi melalui jalan estet dari halaman rumah Hassan Tenang di Tanah Seribu atau melalui Kg Jawa menghala ke Banir. Ketika jumpai di kawasan ini mempunyai dua anak sungai yang dikenali sebagai Sungai Satu dan Sungai Dua. Kedua-dua sungai ini datangnya dari Sungai Cheroh dari Bukit Temoh berdekatan Tapah yang menurun ke Sungai Durian di Kg Batu Tiga sebelum menjalar ke Batu Masjid. Kedua-dua sungai itu bercantum di Kg Terendam seterusnya mengalir ke Sungai Chenderiang di Kuala Banir. Sungai Chenderiang pula menjalar ke Bukit Pekan, Kampar seterusnya memasuki Sungai Kinta.
(Zabidin Hj Ismail, 2007:25-26)

Ketika Pawang Ana menamakan Batu Masjid usianya dianggarkan sekitar 55 ke 60 tahun. Menurut cerita lisan, Pawang Ana menetap di Temoh sebagai orang kampung yang dhaif lagi miskin dan menjadi rujukan apabila masyarakat setempat menghadapi masalah kesihatan. R.O Winstedt dalam bukunya; Malayan Memories (1916) menggambarkan kehdidupan Pawang Ana seperti berikut:

“Adventure had gone out of his life; his home was poor; his clothes cotton, and his wife old and ugly.

Kehidupan Pawang Ana digambarkan sebagai penduduk kampung yang lazimnya demikian rupa semasa zaman mereka. Zaman abad ke-19 di mana-manapun di Tanah Melayu penduduknya miskin kecuali Inggeris dan orientalis Barat.

Penutur cerita lisan

Pada 29 Oktober 1907, R.O. Winstedt dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah, Tapah . Dia meminati cerita lisan Melayu yang dituturkan di kampung-kampung. Di Temoh kegiatan tuturan cerita lisan ini didominasi oleh Pawang Ana dan menantunya Mir Hassan. 

Misalnya pada tahun 1886, Raja Idris (kemudian menjadi Sultan Perak) telah membawa Mir Hassan ke Singapura untuk menyelesaikan cerita lipur lara berjudul Hikayat Seri Rama atas permintaan William E Maxwell. (W.E Maxwell semasa bekerja di Larut telah memulakan catatan cerita-cerita Mir Hassan).

Selanjutnya, Penghulu Chenderiang, Raja Haji Yahya bin Muhammad Ali adalah orang bertanggung jawab memperkenalkan R.O Winstedt kepada Pawang Ana dan Mir Hassan. Penglibatan R.O Winstedt dan dibantu oleh Raja Haji Yahya merakam serta menulis cerita-cerita tuturan Pawang Ana, suatu usaha yang tidak ternilai dalam sejarah bangsa kita.

Menurut John Bastin dan R. Roolvink, setiap Sabtu petang mereka berkumpul di Rumah Rehat Temoh hingga petang Ahad . 

Winstedt formed friendship with two remarkable Malays who provided him with a mine of information about Malay lore. ...Beginning on Saturday afternoon and ending on Sunday evenings, this old Sumatran warrior recited Awang Sulong and other Malay folk-tales while Winstedt took them down.

Di mana Rumah Rehat Temoh? Penulis puas mencari tapak rumah rehat ini tetapi tidak terjumpa malahan penduduk Temoh sendiri pun “tercenggang” bila pula Temoh ada rumah rehat. Bagaimanapun, penulis membuat kesimpulan bahawa rumah rehat yang dikatak oleh R.O Winstedt itu bukanlah rest house seperti sekarang tetapi merupakan rumah kediaman Inggeris.

Apabila R.O menyebut di pinggir rumah rehat itu terdapat sebuah tasik yang tenang airnya dan berkilau apabila disinari cahaya bulan ketika Pawang Ana bercerita kepada Winstedt dan Raja Haji Yahya. Gambaran ini, penulis terangkan kepada ibu, Hjh Habshah Hj Ismail (kini berusia 74 tahun) dia lantas teringat bukit SMTD (Straits Malayan Tin Dreging) Temoh berhampiran Kg, Batu Masjid.

Menurut Habshah di bukit SMTD suatu ketika dahulu memang terdapat beberapa buah rumah Inggeris yang berpagar dan dijaga oleh anjing garang. Penduduk kampung berdekatan dilarang menghampiri kawasan itu. Rest House yang dikatakan R.O Winstedt barangkali rumah SMTD. Kalau benar lokasi yang dimaksudkan, sayang sekali kawasan dan rumah sudah lenyap akibat aktiviti perlombongan bijih.

Sungguhpun begitu, jelas kepada kita bahawa lokasi penceritaan Pawang Ana kepada R.O Winstedt dijalankan di Temoh yang menurut Winstedt dalam bukunya Start from alif: count from one: an autobiographical memoire (1969) menyebut:

“One Sunday I was listening to Pawang Ana and transcribing his version of Jack and the Beanstalk, when an American tourist dashed up the steps, followed at a respectful distance by three......Not far from Temoh was mining village of.....”

Cerita tuturan Pawang Ana

1. Hikayat Awang Sulong Merah Muda, suntingan A.J. Sturrock, terbitan Singapura pada tahun 1908 dan versi lain dalam Journal Strait Branch Royal Asiatic Society (JSBRAS), 1909, hlm. 31-95.

2. Hikayat Malim Deman, suntingan A.J. Sturrock, diterbitkan di Singapura, pada tahun 1908. Edisi kedua tahun 1954 dan ketiga tahun 1960.

3. Hikayat Anggun Che Tunggal, diterbitkan di Singapura, tahun 1914 dan edisi kedua tahun 1960.

4. Hikayat Raja Muda, diterbitkan di Singapura, tahun 1914 dan edisi kedua tahun 1960.

5. Hikayat Malim Dewa diterbitkan di Singapura, tahun 1908.

Pawang Ana ketika menuturkan cerita-cerita lipur lara dipercayai menggunakan dialek Rao kerana terdapat istilah atau perkataan Rao yang masih tertulis dalam buku yang terbitkan. Beberapa kutipan dapat dijadikan contoh;

Perkataan bahasa Rao dalam Cerita Lipur Lara Pawang Ana

Hikayat Malim Deman ( Telutuk;  enayang; kopok; peroman;kalih;melongoh; merendang      jagung      (mengoreng); Korinchi; berketimpong; berkukok; bercerancang
Hikayat Anggun Cik Tunggal: (Teja (cahaya di kaki langit); meneluntang; ceropong; melulurnya; merambas; diolekkan)


Kebanyakan syair dan gurindam yang terdapat dalam cerita lipur lara tuturan Pawang Ana itu mempunyai unsur-unsur bahasa Rao walaupun telah disunting oleh R.O Winstedt dan AJ Strurrock serta diubah-suai oleh Raja Haji Yahya mengikut bahasa persuratan Melayu. Tetapi pengubah-suaian tersebut telah menghilangkan keaslian cerita dan menimbulkan kritikan daripada sarjana kesusasteraan Melayu seperti Dr Siti Hawa Hj Salleh yang berpendapat begini:

The biggest mistake by Winstedt in the publication of the folklores told by the shaman, Pawang Ana in Temoh, Perak was to “correct” or change the style of story telling of Pawang Ana to the style of written language...”
(Malay Literature of the 19th Century: 83)

Kesimpulan

Pawang Ana telah berjasa kepada negara, seharusnya dia menerima penghormatan yang sepatutnya daripada Kerajaan atau mana-mana pihak supaya jasanya dapat dikenang oleh genarasi mendatang. Sekurang-kurangnya SMK Chenderiang yang terletak kira 2km dari pekan Temoh bolehlah dinamakan SMK Pawang Ana – suatu penghormatan kepada Seniman Rakyat yang kian dilupakan!

Rujukan

Bastin J., and Roolvink, R., Malayan and Indonesian Studies:Essay presented to Sir Richard Winstedt on his Eighty birthday. Singapore

Clifford Edmund Boswort, 2001. A Century of British Orientalists 1902-2001. London: British Academy

Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan, 2000. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

Perak Government Gazzette, No. 41, Taiping (keluaran 29 November 1907) Jilid. XX, 

Proceedings of the British Academy: Volume 65, 1981: London: British Academy

R.O. Winstedt, 1916, Malayan Memories, Singapore: Kelly and Walsh Ltd.

R.O Winstedt, 1969, Start From Alif Count From One: An Autobiographical Memoire, Kuala Lumpur: Oxford University Press

Zabidin Hj Ismail, 2007. Batu Masjid Permata Kami Setelah Seratus Tahun Berlalu. Temoh: PIBG SK Batu Masjid

Thursday, 30 June 2011

TUN GHAZALI SHAFEI: Negarawan Ulung



Bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Muhammad Ghazali Shafie  adalah seorang yang dikenali sangat tegas dalam segala kerja yang dibuatnya sehinggakan beliau digelar 'King Ghaz'.
Bagi mereka yang mengenalinya termasuk para wartawan yang pernah menemuramah beliau, Muhammad Ghazali sentiasa mengharapkan agar mereka mempunyai pengetahuan lengkap mengenai sesuatu isu atau perkara yang ingin ditanya pada beliau.

Ini menyebabkan ramai wartawan cukup berhati-hati apabila berdepan dengannya ketika membuat liputan.
 Allahyarham berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dikenali di peringkat antarabangsa ketika menjadi Menteri Luar selain berkhidmat dalam beberapa pertubuhan dan misi antarabangsa.
Muhammad Ghazali terselamat dalam suatu kemalangan pesawat ringan di Kampung Janda Baik pada 10 Jan 1982 yang mengorbankan pengawal peribadi dan pembantu juruterbangnya - peristiwa yang mengejutkan negara pada masa itu.
Muhammad Ghazali Shafie dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 22 Mac 1922 iaitu negeri kelahiran ibunya yang bernama Masusah binti Hj Mohd. Amin. Datuknya Hj Mohd Amin adalah Orang Kaya Setia Wangsa iaitu Orang Besar Berlapan – orang besar bergelar Pahang. Hj. Mohd Amin berkeluarga dengan Tok Gajah yang berketurunan Rao. Bapanya bernama Shafie bin Deli. Datuk sebelah bapanya berasal dari Deli, Sumatera dan berhijrah ke Padang Lebar, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Bapanya bekerja dengan Kereta Api Tanah Melayu (KTM) dan kemudian bertukar kerja sebagai Pemeriksa Jentik-jentik (Mosqyuito Destruction Committee atau MDC) bagi pencegahan malaria dan menetap di Kuala Lipis selepas berkahwin dengan ibunya.
Beliau mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah Melayu dan Inggeris di sekitar Raub, Kuala Lipis dan Bentong sebelum melanjutkan pelajaran di Clifford School, Kuala Lipis pada 1939 hingga 1940.
 Pada 1941, beliau melanjutkan pendidikan di Raffles College Singapura sebelum ke London di mana beliau menerima Ijazah LLB (Kepujian) di University College of Wales dan kemudian mendapat ijazah dalam bidang pengajian antarabangsa di London School of Economics pada 1954.
 Dari 1941 hingga 1946, beliau berkhidmat dalam beberapa pasukan pertahanan termasuk Pasukan Sukarelawan Malaya dan Pasukan Gerakan Menentang Jepun.
Muhammad Ghazali yang pernah bekerja sebagai seorang kerani di Selangor dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke India pada 1957 dan kemudian menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri pada 1959 dan menjadi menteri di kementerian yang sama dari Julai 1981 sehingga Julai 1984 sebelum meletakkan jawatan pada bulan yang sama.
 Salah satu tugas penting yang dipegangnya dalam sejarah negara ialah menganggotai Suruhanjaya Cobbold mengenai pembentukan Malaysia.
 Satu lagi sumbangan besar beliau kepada negara kerana terlibat mendraf Rukun Negara, satu prinsip bagi mencetus dan mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini berikutan peristiwa hitam 13 Mei, 1969 di samping merumuskan Dasar Ekonomi baru (DEB).
 Perkhidmatannya dalam kabinet agak lama bermula pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan kemudiannya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan Penerangan (1971-1973) beliau telah membawa perubahan besar terhadap Radio  dan Televisyen Malaysia.
 Kira-kira 16 bulan kemudian beliau diberikan kepercayaan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan, kemudian ditukarkan ke jawatan Menteri Luar (1981-1984). Beliau dikenali sebagai seorang yang mampu melakukan dan menggunakan apa sahaja untuk menjayakan matlamat negara. Ketika zaman beliau, negara ini berjaya mencapai banyak kejayaan membanggakan yang membuatkan Malaysia dihormati di dunia antarabangsa.
Beliau berusaha keras untuk memastikan Malaysia terlibat secara serius dalam Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) pada tahun 1960-an serta menjadi jaguh dalam memperjuangkan dasar anti aparteid yang diamalkan oleh Afrika Selatan. Beliau juga merupakan tenaga utama dalam pasukan yang dikuasai oleh rakyat Malaysia di bawah Tunku sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dalam menjadikan pertubuhan itu satu kenyataan dengan menubuhkan struktur organisasi dan piagamnya.
Sebagai Menteri Luar beliau berjaya menganjurkan Persidangan Asia Pasifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Persoalan Palestin di Kuala Lumpur pada tahun 1983. Lantaran itu Allahyarham lebih dikenali dengan sumbangan besarnya dalam menjayakan dasar luar dan diplomasi bukan sahaja dalam bentuk kenyataan tetapi juga dalam pemikiran strategik.
Dalam ucapan perpisahan sebagai Menteri Luar pada tahun 1999 kepada pegawai Wisma Putera, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyatakan hanya satu baris ayat yang diberikan oleh Ghazali apabila diminta nasihat tentang dasar luar negara: “Ia perlu dipercayai.”
Allahyarham adalah umpama orang yang bertanggungjawab menjadikan Kementerian Luar dan pegawainya seperti yang ada sekarang dalam melaksana dan memberi sumbangan besar kepada negara. Dalam erti kata lain beliau umpama guru kepada diplomat terawal negara termasuklah kepada sesetengah diplomat ASEAN. Malah mereka adalah graduan dalam “Sekolah Diplomasi dan hubungan Antarabangsa Ghazali Shafie.”
Ghazali sentiasa mahukan nama Malaysia memainkan peranan penting dan berlainan di peringkat antarabangsa. Itulah yang dilakukan beliau dengan menaikkan nama Malaysia dan ASEAN melalui kuasa intelek dan strategiknya.
Dalam koleksi ucapannya yang dikeluarkan dalam buku terbaharu, Number One Wisma Putera, beliau telah menggariskan supaya diplomat perlu bijak, sentiasa membuat analisis, sentiasa tepat dan terkini dan perlu sentiasa berani.
Setelah meletak jawatan daripada kabinet pada Julai 1984, Allahyarham menumpukan perhatian pada bidang lain yang menyaksikan beliau menjawat jawatan penting dalam sektor swasta dan pertubuhan antarabangsa.
 Antaranya sebagai Pengerusi Paremba, Pengerusi Landmarks Holdings Bhd, Pengerusi Lembaga Penasihat Rolls-Royce Asia Tenggara, dan juga Pengerusi Westmont Bank Manila, Filipina, serta Pengerusi Intermega Energy NL, Australia.
 Dalam bidang politik tanah air, beliau pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahli Parlimen Kuala Lipis, Ketua Umno Bahagian Kuala Lipis, Ahli Jawatankuasa Veteran Umno, tetapi pernah tewas untuk jawatan Naib Presiden parti pada 1972 dan 1975.
Namun beliau memenangi jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan pada 1981.
Sumbangannya juga agak besar dalam beberapa bidang tertentu termasuk menjadi ahli pengasas dan presiden pertama Galeri Seni Negara pada 1959, Ahli Majlis Pengelola Universiti Malaya, Ahli Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Pengerusi Majlis Pengelola Institut Teknologi Mara, Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia dan ahli pengasas Malayan Forum, United Kingdom
Sumbangannya dalam bidang sukan juga amat besar melalui beberapa jawatan penting yang disandangnya termasuk Presiden Kehormat Seumur Hidup Kelab Penerbangan Diraja Selangor serta Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sejak 1962 hingga 1988, sehingga beliau diberikan Anugerah Tokoh Sukan pada tahun 2002.
 Kepakarannya dalam bidang perhubungan antarabangsa amat terserlah serta dihormati dan ini dapat dilihat melalui jawatan-jawatan yang disandang termasuk Pengerusi Persidangan Asia mengenai persoalan Palestin pada 1983, ahli Suruhanjaya Selatan dan juga Pengerusi Suruhanjaya yang ditubuhkan bagi membuat cadangan mengenai rombakan dan pengukuhan mekanisme Asean.
 Satu lagi penghormatan ialah terpilih sebagai ahli dalam pasukan eminent person Komanwel untuk Afrika Selatan bagi memberi sokongan kepada proses rundingan pelbagai parti pada 1981, ahli Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihanraya Umum Afrika Selatan, ahli Kumpulan Pemerhati Pilihanraya Sri Lanka, dan Pilihanraya Bosnia Herzegovina serta Pengerusi Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihanraya Bangladesh.
 Allahyarham yang pernah menjadi penasihat khas kepada Perdana Menteri mengenai hal ehwal luar serta pernah bertugas sebagai perunding World Bank Economic Development Institute.
 Allahyarham juga telah menerima beberapa anugerah kehormat kerajaan asing termasuk dari Singapura, Perancis, Republik of Korea, Iran, Filipina, Jepun, Tunisia, Thailand, Austria dan Korea Utara.
Allahyarham pernah menulis beberapa buah buku, antaranya Memoir Ghazali Shafie dalam Penubuhan Malaysia yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1998 merupakan sebuah buku yang wajib dibaca.
Beliau meninggal dunia di rumahnya, Subang Jaya pada 24 Januari 2010 jam 7.45 malam.

Rujukan:
Deva Mohd Ridzam: “40 tahun rekod khidmat cemerlang Ghazali Shafie”, Utusan Malaysia:  
         1 Februari 2010: 11


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...