Sunday 26 August 2012

AHMAD MELAKA B DATO' KAYA ANDAMAN: Guru Pelawat Sekolah Melayu Perak



 Cerita : Mohamad Fauzi Abdul Hamid
 Foto   :  Amiruddin Alauddin



Nama sebenar Ahmad Melaka adalah Mohd Nor b Dato' Kaya Andaman. Dato' Kaya Andaman merupakan seorang bangsawan dari daerah Sungai  Renyah, Rao, Pasaman, Sumatera Barat.

Mengikut salasilah keturunannya,  Allahyarham setaraf raja sebab dibenarkan memakai pakaian kuning kebesaran raja-raja Melayu.

Sejak kecil, Mohd Nor telah berpindah dari Tanah Rao, Sumatera Barat ke Melaka mengikut ibunya yang bermadu. Ketika di Melaka, mereka tinggal di rumah  Rathal, bapa saudara Mohd Nor. Bapa saudaranya tersohor dengan gelaran Datuk Dagang  kerana hampir setiap pedagang dari Sumatera akan berhimpun di rumah beliau ketika mereka datang berniaga di Melaka.

Apabila dewasa, Mohd Nor  kembali semula ke  Perak dan  bekerja dengan bapa angkatnya bernama  Abdul Karim  atau Raja Aman Shah yang pernah bekerja di lombong bijih Long Jaafar di Larut.  Pada tahun 1870, Mohd Nor dikatakan turut bersama-sama  Abdul Karim membuka  Selama, Perak. Malahan Mohd Nor juga pernah membantu Abdul Karim dalam “Perang Larut” di samping turut terlibat berperang dengan Dato’ Seri Adika Raja menentang pencerobohan askar Siam di Hulu Perak.

Gelaran “Ahmad Melaka” diperolehinya ketika Mohd Nor kembali semula ke Perak kerana rakan taulannya menyangka Mohd Nor  orang Melaka, apatah lagi berkahwin pula dengan anak jati Melaka, Wan Fatimah bt Sheikh Hassan Faridzuan, berbangsa Arab Hadramaut yang  juga keturunan Dato' Kapitan Harum.

Di Perak,  Kerajaan telah melantik Ahmad Melaka sebagai guru sekolah Melayu Selama pada 15 Mac 1885. Kemudian beliau dilantik sebagai guru pelawat di Parit Buntar daerah Krian, Telok Anson (kini: Teluk Intan), Batu Gajah dan akhirnya di Tapah dalam daerah Batang Padang sehingga bersara.

Ahmad Melaka mempunyai sebelas orang anak; enam lelaki dan lima perempuan. Anaknya, Hj Abdul Hamid Arrawi merupakan seorang tokoh agama dan pengarang kitab yang tersohor di Batu Gajah, Perak.

Pada malam Jumaat  tanggal 2 Dzulkaedah 1336 (1915), Ahmad Melaka menghembuskan nafas terakhirnya di Kg. Gunung Mesah, Gopeng, Perak dan jenazahnya disemadikan di tanah perkuburan kampung berkenaan bersebelahan makam Hj Abd Wahab, Naib Kadi Gopeng.
.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...