Thursday 30 June 2011

TUN GHAZALI SHAFEI: Negarawan Ulung



Bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Muhammad Ghazali Shafie  adalah seorang yang dikenali sangat tegas dalam segala kerja yang dibuatnya sehinggakan beliau digelar 'King Ghaz'.
Bagi mereka yang mengenalinya termasuk para wartawan yang pernah menemuramah beliau, Muhammad Ghazali sentiasa mengharapkan agar mereka mempunyai pengetahuan lengkap mengenai sesuatu isu atau perkara yang ingin ditanya pada beliau.

Ini menyebabkan ramai wartawan cukup berhati-hati apabila berdepan dengannya ketika membuat liputan.
 Allahyarham berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dikenali di peringkat antarabangsa ketika menjadi Menteri Luar selain berkhidmat dalam beberapa pertubuhan dan misi antarabangsa.
Muhammad Ghazali terselamat dalam suatu kemalangan pesawat ringan di Kampung Janda Baik pada 10 Jan 1982 yang mengorbankan pengawal peribadi dan pembantu juruterbangnya - peristiwa yang mengejutkan negara pada masa itu.
Muhammad Ghazali Shafie dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 22 Mac 1922 iaitu negeri kelahiran ibunya yang bernama Masusah binti Hj Mohd. Amin. Datuknya Hj Mohd Amin adalah Orang Kaya Setia Wangsa iaitu Orang Besar Berlapan – orang besar bergelar Pahang. Hj. Mohd Amin berkeluarga dengan Tok Gajah yang berketurunan Rao. Bapanya bernama Shafie bin Deli. Datuk sebelah bapanya berasal dari Deli, Sumatera dan berhijrah ke Padang Lebar, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Bapanya bekerja dengan Kereta Api Tanah Melayu (KTM) dan kemudian bertukar kerja sebagai Pemeriksa Jentik-jentik (Mosqyuito Destruction Committee atau MDC) bagi pencegahan malaria dan menetap di Kuala Lipis selepas berkahwin dengan ibunya.
Beliau mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah Melayu dan Inggeris di sekitar Raub, Kuala Lipis dan Bentong sebelum melanjutkan pelajaran di Clifford School, Kuala Lipis pada 1939 hingga 1940.
 Pada 1941, beliau melanjutkan pendidikan di Raffles College Singapura sebelum ke London di mana beliau menerima Ijazah LLB (Kepujian) di University College of Wales dan kemudian mendapat ijazah dalam bidang pengajian antarabangsa di London School of Economics pada 1954.
 Dari 1941 hingga 1946, beliau berkhidmat dalam beberapa pasukan pertahanan termasuk Pasukan Sukarelawan Malaya dan Pasukan Gerakan Menentang Jepun.
Muhammad Ghazali yang pernah bekerja sebagai seorang kerani di Selangor dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke India pada 1957 dan kemudian menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri pada 1959 dan menjadi menteri di kementerian yang sama dari Julai 1981 sehingga Julai 1984 sebelum meletakkan jawatan pada bulan yang sama.
 Salah satu tugas penting yang dipegangnya dalam sejarah negara ialah menganggotai Suruhanjaya Cobbold mengenai pembentukan Malaysia.
 Satu lagi sumbangan besar beliau kepada negara kerana terlibat mendraf Rukun Negara, satu prinsip bagi mencetus dan mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini berikutan peristiwa hitam 13 Mei, 1969 di samping merumuskan Dasar Ekonomi baru (DEB).
 Perkhidmatannya dalam kabinet agak lama bermula pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan kemudiannya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan Penerangan (1971-1973) beliau telah membawa perubahan besar terhadap Radio  dan Televisyen Malaysia.
 Kira-kira 16 bulan kemudian beliau diberikan kepercayaan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan, kemudian ditukarkan ke jawatan Menteri Luar (1981-1984). Beliau dikenali sebagai seorang yang mampu melakukan dan menggunakan apa sahaja untuk menjayakan matlamat negara. Ketika zaman beliau, negara ini berjaya mencapai banyak kejayaan membanggakan yang membuatkan Malaysia dihormati di dunia antarabangsa.
Beliau berusaha keras untuk memastikan Malaysia terlibat secara serius dalam Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) pada tahun 1960-an serta menjadi jaguh dalam memperjuangkan dasar anti aparteid yang diamalkan oleh Afrika Selatan. Beliau juga merupakan tenaga utama dalam pasukan yang dikuasai oleh rakyat Malaysia di bawah Tunku sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dalam menjadikan pertubuhan itu satu kenyataan dengan menubuhkan struktur organisasi dan piagamnya.
Sebagai Menteri Luar beliau berjaya menganjurkan Persidangan Asia Pasifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Persoalan Palestin di Kuala Lumpur pada tahun 1983. Lantaran itu Allahyarham lebih dikenali dengan sumbangan besarnya dalam menjayakan dasar luar dan diplomasi bukan sahaja dalam bentuk kenyataan tetapi juga dalam pemikiran strategik.
Dalam ucapan perpisahan sebagai Menteri Luar pada tahun 1999 kepada pegawai Wisma Putera, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyatakan hanya satu baris ayat yang diberikan oleh Ghazali apabila diminta nasihat tentang dasar luar negara: “Ia perlu dipercayai.”
Allahyarham adalah umpama orang yang bertanggungjawab menjadikan Kementerian Luar dan pegawainya seperti yang ada sekarang dalam melaksana dan memberi sumbangan besar kepada negara. Dalam erti kata lain beliau umpama guru kepada diplomat terawal negara termasuklah kepada sesetengah diplomat ASEAN. Malah mereka adalah graduan dalam “Sekolah Diplomasi dan hubungan Antarabangsa Ghazali Shafie.”
Ghazali sentiasa mahukan nama Malaysia memainkan peranan penting dan berlainan di peringkat antarabangsa. Itulah yang dilakukan beliau dengan menaikkan nama Malaysia dan ASEAN melalui kuasa intelek dan strategiknya.
Dalam koleksi ucapannya yang dikeluarkan dalam buku terbaharu, Number One Wisma Putera, beliau telah menggariskan supaya diplomat perlu bijak, sentiasa membuat analisis, sentiasa tepat dan terkini dan perlu sentiasa berani.
Setelah meletak jawatan daripada kabinet pada Julai 1984, Allahyarham menumpukan perhatian pada bidang lain yang menyaksikan beliau menjawat jawatan penting dalam sektor swasta dan pertubuhan antarabangsa.
 Antaranya sebagai Pengerusi Paremba, Pengerusi Landmarks Holdings Bhd, Pengerusi Lembaga Penasihat Rolls-Royce Asia Tenggara, dan juga Pengerusi Westmont Bank Manila, Filipina, serta Pengerusi Intermega Energy NL, Australia.
 Dalam bidang politik tanah air, beliau pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahli Parlimen Kuala Lipis, Ketua Umno Bahagian Kuala Lipis, Ahli Jawatankuasa Veteran Umno, tetapi pernah tewas untuk jawatan Naib Presiden parti pada 1972 dan 1975.
Namun beliau memenangi jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan pada 1981.
Sumbangannya juga agak besar dalam beberapa bidang tertentu termasuk menjadi ahli pengasas dan presiden pertama Galeri Seni Negara pada 1959, Ahli Majlis Pengelola Universiti Malaya, Ahli Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Pengerusi Majlis Pengelola Institut Teknologi Mara, Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia dan ahli pengasas Malayan Forum, United Kingdom
Sumbangannya dalam bidang sukan juga amat besar melalui beberapa jawatan penting yang disandangnya termasuk Presiden Kehormat Seumur Hidup Kelab Penerbangan Diraja Selangor serta Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sejak 1962 hingga 1988, sehingga beliau diberikan Anugerah Tokoh Sukan pada tahun 2002.
 Kepakarannya dalam bidang perhubungan antarabangsa amat terserlah serta dihormati dan ini dapat dilihat melalui jawatan-jawatan yang disandang termasuk Pengerusi Persidangan Asia mengenai persoalan Palestin pada 1983, ahli Suruhanjaya Selatan dan juga Pengerusi Suruhanjaya yang ditubuhkan bagi membuat cadangan mengenai rombakan dan pengukuhan mekanisme Asean.
 Satu lagi penghormatan ialah terpilih sebagai ahli dalam pasukan eminent person Komanwel untuk Afrika Selatan bagi memberi sokongan kepada proses rundingan pelbagai parti pada 1981, ahli Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihanraya Umum Afrika Selatan, ahli Kumpulan Pemerhati Pilihanraya Sri Lanka, dan Pilihanraya Bosnia Herzegovina serta Pengerusi Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihanraya Bangladesh.
 Allahyarham yang pernah menjadi penasihat khas kepada Perdana Menteri mengenai hal ehwal luar serta pernah bertugas sebagai perunding World Bank Economic Development Institute.
 Allahyarham juga telah menerima beberapa anugerah kehormat kerajaan asing termasuk dari Singapura, Perancis, Republik of Korea, Iran, Filipina, Jepun, Tunisia, Thailand, Austria dan Korea Utara.
Allahyarham pernah menulis beberapa buah buku, antaranya Memoir Ghazali Shafie dalam Penubuhan Malaysia yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1998 merupakan sebuah buku yang wajib dibaca.
Beliau meninggal dunia di rumahnya, Subang Jaya pada 24 Januari 2010 jam 7.45 malam.

Rujukan:
Deva Mohd Ridzam: “40 tahun rekod khidmat cemerlang Ghazali Shafie”, Utusan Malaysia:  
         1 Februari 2010: 11


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...