Friday, 15 July 2011

Pawang Ana Tokoh Penglipur Lara Negara


Oleh Zabidin Hj Ismail

                                                                                     Pengenalan

Pawang Ana adalah tokoh penglipur lara tersohor dalam sejarah kesusasteraan Melayu tradisional tanah air kerana kelima-lima cerita lipur lara tuturanya diletakkan ke dalam Karya Agung oleh Yayasan Karyawan. Ini melambangkan bahawa Pawang Ana adalah tokoh penting dalam sejarah sastera lisan negara ini tetapi riwayat hidupnya amat kurang dibicarakan oleh sarjana mahupun pengkritik sastera.

Kajian yang dilakukan mendapati bahawa tidak ada sebuah pun buku ditulis mengenai diri Pawang Ana baik daripada sumber Melayu (Malaysia) mahupun Barat (England dan Belanda). Ada banyak alasan kenapa tokoh ini kurang diperkatakan berbanding dengan cerita-cerita tuturannya.

Pertama; Pawang Ana sendiri tidak mahu dikenali. Nama Pawang Ana itu pun bukan nama asal melainkan nama samaran. Sudah menjadi tabiat perantau dari seberang yang lari daripada cengkaman Belanda; kemudian tiba di Tanah Melayu mereka berdepan pula dengan Inggeris – sekutu Belanda – mahu tidak mahu mereka terpaksa menukar imej, watak, etnik dan nama kerana bimbang termasuk dalam perangkap penjajah sebab mereka datang ke Tanah Melayu untuk menyelamatkan diri dari buruan Belanda.

Kedua; Inggeris sendiri bersifat bias terhadap pribumi dengan kurang menonjolkan kehebatan orang tempatan dalam catatan penulisan lantaran itu riwayat hidup Pawang Ana tidak dicatat sepenuhnya.

Ketiga; banyak manuskrip lama ataupun catatan sejarah yang tinggi nilainya telah dibawa oleh penjajah ke negara meraka. Malahan terdapat pula beberapa buah kapal yang penuh dengan muatan khazanah Tanah Melayu dilarikan ke Eropah dikatakan tenggelam seperti Floor De Lama dan the Fame terbakar semasa dalam pelayaran.

Ketiga-tiga faktor yang dinyatakan tadi telah menyebabkan biografi Pawang Ana sukar untuk ditulis semula secara tepat dan lengkap. Walau bagaimanapun, catatan atau nota Richard Olof Winstedt, seorang Pegawai Inggeris yang pernah berkhidmat di Perak sedikt sebanyak dapat membantu menelusuri riwayat hidup tokoh ini. Winstedt meskipun tidak menulis secara lengkap mengenai Pawang Ana tetapi catatan ringkasnya dapat membantu di samping sumber primer yang dikutip menerusi kaji lapangan.

Siapa Pawang Ana?

Arwah berasal dari Rao, Sumatera Barat dan berhijrah ke Kampong Pulai, Gopeng , Perak apabila Rao tewas dalam peperangan menentang Belanda. Adalah dipercayai Pawang Ana datang ke Tanah Melayu mengikut gelombang penghijrahan beramai-ramai orang-orang Rao ke Perak setelah tamat Perang Paderi (1816-1833) . 

Perang Paderi pada peringkat awal adalah gerakan dakwah oleh golongan pendakwah Sumatera Barat yang mendapat pendidikan dari Timur Tengah ( Mesir, Makkah dan Madinah) dan apabila kembali ke kampong halaman bertindak memerangi segala amalan yang bercanggah dengan Islam seperti berlaga ayam dan adat resam yang bertentangan dengan syarak yang masih diamalkan oleh sebilang besar orang Melayu terutama di Minangkabau, Sumatera Barat.

Kemudian, apabila Belanda menyerang Sumatera, Perang Paderi bertukar menjadi perang menentang Belanda. Tetapi pengamal-pengamal adat dan mereka yang tidak sehaluan dengan golongan pendakwah itu, telah memihak dan bergabung pula dengan Belanda lalu menentang pribumi dan pendakwah.

Ini menyebabkan Belanda berjaya menguasai Sumatera Barat termasuk Minangkabau dan Rao. Ketewasan orang Sumatera Barat ditangan Belanda bukan kerana Belanda kuat tetapi pengkhianatan yang berlaku dalam kalangan mereka. Ini menyebabkan pahlawan-pahlawan Perang Paderi seperti Tuanku Rao dan Imam Bonjol berjaya ditangkap Belanda atas bantuan pribumi.

Tuanku Rao diseksa di dalam sebuah kapal Belanda berhari-hari dan kemudian mayanya dibuang ke laut berdekatan Air Bangis manakala Imam Bonjol dibuang daerah ke pulau Menado dan meninggal dunia di situ. Manakala Tuanku Tembusai sempat melarikan diri ke Negeri Sembilan dan meninggal di Rasah, Seremban.

Akibat ketewasan perang dan tidak mahu dikristiankan oleh Belanda, mereka beramai-ramai meninggalkan kampung halaman; berbulan-bulan melintasi hutan belantara dari Rao ke Medan, kemudian ke pesisir Selat Melaka lalu menyeberangi selat untuk ke Tanah Melayu. Sebilangan besar mereka mendarat di Kelang, Pulau Pinang dan Kedah.

Dalam arus pertama kedatangan beramai-ramai orang Rao ke Perak pada sekitar 1850-an lokasi awal yang mereka temui ialah Gopeng (ketika temui kawasan ini belum lagi bernama Gopeng sebaliknya dikenali sebagai Kg. Rao. Pekan Gopeng sekarang dahulunya dipanggil Kg. Rao).

Dukun dan Pendekar Perang

Pawang Ana bukan sahaja dikenali sebagai penglipur lara tetapi juga dukun yang handal. Justeru itu, penulis sejarah, Zakaria Hitam pernah menyebut bahawa Pawang Ana adalah seorang bomoh;

“Seorang pawang yang bernama Ana, menjadi terkenal hari ini kerana ceritanya....
(Tradisi penulisan manuskrip Melayu. 1997: Perpustakaan Negara Malaysia).

Kenyataan Zakaria disokong oleh Siti Hawa Hj. Salleh dlm Malay Literature of the 19th Century yang berbunyi begini:

“......the publication of the folklores told by the shaman, Pawang Ana in Temoh....

Chuan Siu Li dalam Ikhtisar sejarah kesusasteraan Melayu baru, 1830-1945 juga menyebut Pawang Ana sebagai pawang yang telah menuturkan sastera rakyat. Katanya:

“...Winstedt ada seoran Penghulu di Perak, Raja Haji Yahya bin Haji Muhammad Ali namanya, yang dapat menuliskan sastera rakyat atau cerita lisan itu datang dari mulut seorang pawang, Pawang Ana namanya.
(1996)

Di samping sebagai bomoh atau dukun, Pawang Ana juga digambarkan sebagai pendekar atau hulubalang. Ini dapat dijelaskan melalui petikan daripada beberapa buah buku. Umpamanya, buku Proceedings of the British Academy: Volume 65:1981 menyebut bahawa Pawang Ana;...this old Sumatran warrior recited Awang Sulong and other Malay folktales while Winstedt took them down. 

Mohd Taib Osman juga mencatatkan bahawa Pawang Ana merupakan pendekar atau hulubalang di dalam tesisnya bertajuk Malay folk beliefs: an integration of disparate elements, Indiana University, 1967.

Unsur kependekaran memang ada dalam diri Pawang Ana. Sebagai contoh kesanggupannya mencari mayat JWW Birch di Pasir Salak. R.O Winstedt dalam bukunya; Start from aliff: count from one: an autobiographical memoire (1969) telah menerangkan sedikit mengenai Pawang Ana yang menjumpai mayat Birch di sungai Perak berdekatan Pasir Salak. Winstedt menyebut:
It was at Tapah that I began to collect Malay folktales from Pawang Ana, a Malay who had recovered the body of Mr Birch, the first Resident of Perak, from the river after his murder.

Kenyataan R.O Winstedt ini turut disokong oleh Clifford Edmud Bosworth dalam buku berjudul A Century of British orientalists 1902-2001 (British Academy: 2001) yang menyatakan begini:

It was he who was responsible for introducing to Winstedt Pawang Ana, who had recovered the body of Perak’s first British Residen, JWW Birch, after he had been murdered by Malays in 1875....

Peranan Pawang Ana pertama kali muncul di persada sejarah Perak bermula pada tahun 1875 setelah berlaku pembunuhan Residen British yang pertama di Perak, JWW Birch di Pasir Salak. Kehandalannya terbukti apabila dia menjumpai mayat JWW Birch. 

Setelah tiga hari dan tiga malam British bersusah payah mencari mayat Birch kerana telah dihanyutkan air sungai Perak ke hilir. Barangkali kegagalan Inggeris menjumpai mayat tersebut telah mendorong mereka meminta bantuan daripada Pawang Ana dan berjaya menjumpai itu kira-kira 183 meter dari tempat kejadian. 

Kemudian, mayat itu ditanam di Teluk Memali yang juga dikenali sebagai Bandar Baru iaitu pusat pentadbiran British di kawasan Hilir Perak. Walau bagaimana pun, selepas itu, keluarga mendiang JWW Birch dari England datang ke Teluk Memali dan membawa mayat tersebut ke negara mereka.

Berpindah ke Temoh

Pawang Ana dipercayai pindah ke Temoh kerana Gopeng pernah dilanda penyakit taun atau Malaria. Apabila Kampong Batu Masjid, Temoh dibuka oleh Lebai Tenggam bersama beberapa orang pengikutnya, Hj Baduwakil,Hj Sirat, Hj Ismail Jambi, Hj Salleh dan Hj Mohd Yasin dengan cara meneroka, menebas-tebang hutan belantara – nama Pawang Ana muncul kembali setelah 20 tahun “lenyap” sesudah dia menyumpai mayat JWW Birch.

Kg, Batu Masjid dibuka pada tahun 1895. Menurut Abdul Salam Hj Ismail (anak saudara Lebai Tenggam) Pawang Ana adalah orang yang menamakan kawasan baru yang diterokai itu sebagai Batu Masjid. 

Sejarah lisan menyebut tanah asal Batu Masjid ialah terletak di suatu kawasan yang bersempadan Tanah Seribu dengan Keramat Tin. Ia berada pada latitude 4.13” N dan longitute 101.200” E dan ditemui oleh Lebai Tenggam dan pengikutnya kerana kawasan itu tanah pamah tetapi anehnya terdapat sebuah bukit batu yang menyerupai masjid tersergam di tengah-tengah hutan belantara. 

Ketika ditemui bukit batu ini kelihatan calar dan retak di sana-sini. Di celah-celah keretakan itu pula hidup segar pepohon yang akarnya berjuntai. Pokok-pokok ini pula tempat kera-kera hutan bergayut dan berlompatan ke sana ke mari dengan riangnya. Kelihatan saiznya sebesar banglo dan di kakinya pula terdapat sebuah gua yang boleh dimasuki tetapi agak gelap dan mengerunkan.

Berasaskan apa yang dinampak dan ilmu pengetahuan yang dimilikinya, Pawang Ana lantas menamakan kawasan tersebut sebagai Batu Masjid dan kemudiannya kawasan sekitar diterangi dan dijadikan kebun serta penempatan; lama kelamaan termasyurlah ia sebagai Kampong Batu Masjid. Mengikut cerita orang tua-tua, ada seorang penduduk kampung berkenaan dilahirkan di kawasan itu dan digelar orang Pak Batu walhal nama sebenarnya Mat Yet dan sudah berpuluh tahun meninggal dunia. Rasionalnya gelaran itu diberikan sedemikian rupa kerana masyarakat setempat ingin mengingatkan kampung asal mereka kerana beberapa tahun selepas pembukaan Batu Masjid, kawasannya telah melebar dan tapak asalnya secara perlahan-lahan ditinggalkan begitu sahaja.

Kawasan asal Batu Masjid ini kini boleh dikunjungi melalui jalan estet dari halaman rumah Hassan Tenang di Tanah Seribu atau melalui Kg Jawa menghala ke Banir. Ketika jumpai di kawasan ini mempunyai dua anak sungai yang dikenali sebagai Sungai Satu dan Sungai Dua. Kedua-dua sungai ini datangnya dari Sungai Cheroh dari Bukit Temoh berdekatan Tapah yang menurun ke Sungai Durian di Kg Batu Tiga sebelum menjalar ke Batu Masjid. Kedua-dua sungai itu bercantum di Kg Terendam seterusnya mengalir ke Sungai Chenderiang di Kuala Banir. Sungai Chenderiang pula menjalar ke Bukit Pekan, Kampar seterusnya memasuki Sungai Kinta.
(Zabidin Hj Ismail, 2007:25-26)

Ketika Pawang Ana menamakan Batu Masjid usianya dianggarkan sekitar 55 ke 60 tahun. Menurut cerita lisan, Pawang Ana menetap di Temoh sebagai orang kampung yang dhaif lagi miskin dan menjadi rujukan apabila masyarakat setempat menghadapi masalah kesihatan. R.O Winstedt dalam bukunya; Malayan Memories (1916) menggambarkan kehdidupan Pawang Ana seperti berikut:

“Adventure had gone out of his life; his home was poor; his clothes cotton, and his wife old and ugly.

Kehidupan Pawang Ana digambarkan sebagai penduduk kampung yang lazimnya demikian rupa semasa zaman mereka. Zaman abad ke-19 di mana-manapun di Tanah Melayu penduduknya miskin kecuali Inggeris dan orientalis Barat.

Penutur cerita lisan

Pada 29 Oktober 1907, R.O. Winstedt dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah, Tapah . Dia meminati cerita lisan Melayu yang dituturkan di kampung-kampung. Di Temoh kegiatan tuturan cerita lisan ini didominasi oleh Pawang Ana dan menantunya Mir Hassan. 

Misalnya pada tahun 1886, Raja Idris (kemudian menjadi Sultan Perak) telah membawa Mir Hassan ke Singapura untuk menyelesaikan cerita lipur lara berjudul Hikayat Seri Rama atas permintaan William E Maxwell. (W.E Maxwell semasa bekerja di Larut telah memulakan catatan cerita-cerita Mir Hassan).

Selanjutnya, Penghulu Chenderiang, Raja Haji Yahya bin Muhammad Ali adalah orang bertanggung jawab memperkenalkan R.O Winstedt kepada Pawang Ana dan Mir Hassan. Penglibatan R.O Winstedt dan dibantu oleh Raja Haji Yahya merakam serta menulis cerita-cerita tuturan Pawang Ana, suatu usaha yang tidak ternilai dalam sejarah bangsa kita.

Menurut John Bastin dan R. Roolvink, setiap Sabtu petang mereka berkumpul di Rumah Rehat Temoh hingga petang Ahad . 

Winstedt formed friendship with two remarkable Malays who provided him with a mine of information about Malay lore. ...Beginning on Saturday afternoon and ending on Sunday evenings, this old Sumatran warrior recited Awang Sulong and other Malay folk-tales while Winstedt took them down.

Di mana Rumah Rehat Temoh? Penulis puas mencari tapak rumah rehat ini tetapi tidak terjumpa malahan penduduk Temoh sendiri pun “tercenggang” bila pula Temoh ada rumah rehat. Bagaimanapun, penulis membuat kesimpulan bahawa rumah rehat yang dikatak oleh R.O Winstedt itu bukanlah rest house seperti sekarang tetapi merupakan rumah kediaman Inggeris.

Apabila R.O menyebut di pinggir rumah rehat itu terdapat sebuah tasik yang tenang airnya dan berkilau apabila disinari cahaya bulan ketika Pawang Ana bercerita kepada Winstedt dan Raja Haji Yahya. Gambaran ini, penulis terangkan kepada ibu, Hjh Habshah Hj Ismail (kini berusia 74 tahun) dia lantas teringat bukit SMTD (Straits Malayan Tin Dreging) Temoh berhampiran Kg, Batu Masjid.

Menurut Habshah di bukit SMTD suatu ketika dahulu memang terdapat beberapa buah rumah Inggeris yang berpagar dan dijaga oleh anjing garang. Penduduk kampung berdekatan dilarang menghampiri kawasan itu. Rest House yang dikatakan R.O Winstedt barangkali rumah SMTD. Kalau benar lokasi yang dimaksudkan, sayang sekali kawasan dan rumah sudah lenyap akibat aktiviti perlombongan bijih.

Sungguhpun begitu, jelas kepada kita bahawa lokasi penceritaan Pawang Ana kepada R.O Winstedt dijalankan di Temoh yang menurut Winstedt dalam bukunya Start from alif: count from one: an autobiographical memoire (1969) menyebut:

“One Sunday I was listening to Pawang Ana and transcribing his version of Jack and the Beanstalk, when an American tourist dashed up the steps, followed at a respectful distance by three......Not far from Temoh was mining village of.....”

Cerita tuturan Pawang Ana

1. Hikayat Awang Sulong Merah Muda, suntingan A.J. Sturrock, terbitan Singapura pada tahun 1908 dan versi lain dalam Journal Strait Branch Royal Asiatic Society (JSBRAS), 1909, hlm. 31-95.

2. Hikayat Malim Deman, suntingan A.J. Sturrock, diterbitkan di Singapura, pada tahun 1908. Edisi kedua tahun 1954 dan ketiga tahun 1960.

3. Hikayat Anggun Che Tunggal, diterbitkan di Singapura, tahun 1914 dan edisi kedua tahun 1960.

4. Hikayat Raja Muda, diterbitkan di Singapura, tahun 1914 dan edisi kedua tahun 1960.

5. Hikayat Malim Dewa diterbitkan di Singapura, tahun 1908.

Pawang Ana ketika menuturkan cerita-cerita lipur lara dipercayai menggunakan dialek Rao kerana terdapat istilah atau perkataan Rao yang masih tertulis dalam buku yang terbitkan. Beberapa kutipan dapat dijadikan contoh;

Perkataan bahasa Rao dalam Cerita Lipur Lara Pawang Ana

Hikayat Malim Deman ( Telutuk;  enayang; kopok; peroman;kalih;melongoh; merendang      jagung      (mengoreng); Korinchi; berketimpong; berkukok; bercerancang
Hikayat Anggun Cik Tunggal: (Teja (cahaya di kaki langit); meneluntang; ceropong; melulurnya; merambas; diolekkan)


Kebanyakan syair dan gurindam yang terdapat dalam cerita lipur lara tuturan Pawang Ana itu mempunyai unsur-unsur bahasa Rao walaupun telah disunting oleh R.O Winstedt dan AJ Strurrock serta diubah-suai oleh Raja Haji Yahya mengikut bahasa persuratan Melayu. Tetapi pengubah-suaian tersebut telah menghilangkan keaslian cerita dan menimbulkan kritikan daripada sarjana kesusasteraan Melayu seperti Dr Siti Hawa Hj Salleh yang berpendapat begini:

The biggest mistake by Winstedt in the publication of the folklores told by the shaman, Pawang Ana in Temoh, Perak was to “correct” or change the style of story telling of Pawang Ana to the style of written language...”
(Malay Literature of the 19th Century: 83)

Kesimpulan

Pawang Ana telah berjasa kepada negara, seharusnya dia menerima penghormatan yang sepatutnya daripada Kerajaan atau mana-mana pihak supaya jasanya dapat dikenang oleh genarasi mendatang. Sekurang-kurangnya SMK Chenderiang yang terletak kira 2km dari pekan Temoh bolehlah dinamakan SMK Pawang Ana – suatu penghormatan kepada Seniman Rakyat yang kian dilupakan!

Rujukan

Bastin J., and Roolvink, R., Malayan and Indonesian Studies:Essay presented to Sir Richard Winstedt on his Eighty birthday. Singapore

Clifford Edmund Boswort, 2001. A Century of British Orientalists 1902-2001. London: British Academy

Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan, 2000. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

Perak Government Gazzette, No. 41, Taiping (keluaran 29 November 1907) Jilid. XX, 

Proceedings of the British Academy: Volume 65, 1981: London: British Academy

R.O. Winstedt, 1916, Malayan Memories, Singapore: Kelly and Walsh Ltd.

R.O Winstedt, 1969, Start From Alif Count From One: An Autobiographical Memoire, Kuala Lumpur: Oxford University Press

Zabidin Hj Ismail, 2007. Batu Masjid Permata Kami Setelah Seratus Tahun Berlalu. Temoh: PIBG SK Batu Masjid

3 comments:

  1. Terima kasih, maklumat terpapar di sini sungguh berguna.

    ReplyDelete
  2. Sangat berguna untuk rujukan pengkaji sejarah negara...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...