Wednesday 8 February 2012

HJ. ABD. HAMID AHMAD MELAKA AR-RAWI: Guru Agama dan Pengarang Kitab Kuning



Oleh 
Mohamad Fauzi Abdul Hamid



Hj. Abd. Hamid dilahirkan di Selama, Perak pada 1 Mac 1888. Ayahanda beliau bernama Ahmad Melaka Ar-Rawi. Allahyarham adalah cucu Dato' Kaya Andaman yang pernah memerintah daerah Sungai Renyah, Rao, Sumatera Barat.

Nindanya itu tergolong dalam keturunan “Maharaja Lela yang memancung tiada bertanya dan tiada terlarang daripada memakai pakaian kuning kebesaran Raja-raja Melayu.”

Pendidikan Hj Abd Hamid setakat sekolah Melayu di Telok Anson (kini Teluk Intan) dan Batu Gajah. Di Telok Anson beliau belajar bersama Raja Abdul Aziz iaitu putera Raja Musa yang pernah menjadi Raja Muda Perak. Setelah tamat sekolah Melayu, beliau dilantik sebagai guru dan pernah mengajar di sekitar antara tahun 1902-1911 dl beberapa buah sekolah termasuk sekolah Melayu Ipoh, Batu Gajah, Pusing, Kuala Dipang dan Tapah Road.  Sepanjang kerjaya sebagai pendidik, beliau juga pernah menjadi Guru Besar di sekolah Melayu Batu Gajah dan Telok Anson.

Semasa bertugas di Batu Gajah, beliau menyambung belajar  ilmu Islam  dan tatabahasa daripada Haji Muhammad b.Hj. Abd.Rahman iaitu Kadi Batu Gajah ketika itu. Pada bulan September 1911 beliau berhenti sebagai guru sekolah  kerana menumpu perhatian terhadap pengajaran ilmu agama dengan menjadi guru al-Quran dan agama.

Hj Abd Hamid memulakan kerjaya sebagai guru agama di Madrasah Alsiniah, Tanjung Madat, Madrasah  Al-Nuriyah  dan  Jone Landor Estate,  di Chenderiang, Perak atas permintaan Pengurus Estate tersebut bagi mengajar pekerja-pekerja ladang. Selain itu beliau juga mengajar di beberapa buah masjid sekitar.

Pada tahun 1917 beliau telah dilantik sebagai Guru Pelawat Quran Negeri Perak dan pernah bertugas di Batu Gajah, Taiping dan Kuala Kangsar. Atas kecemerlangannya menjalankan tugas, beliau telah mendapat wang kurnia daripada Sultan Perak iaitu Sultan Iskandar Shah.  Beliau telah menggunakan wang kurnia untuk menunaikan fadu haji di Makkah.

Sekembali dari tanah suci iaitu pada tahun 1927 beliau telah dilantik sebagai Kadi di Selama, Perak.Tahun  Tetapi pada tahun 1930 beliau telah berhenti menjadi Kadi atas sebab peribadi. Selama empat tahun sebagai Kadi di Selama. banyak madrasah telah didirikan dan ramai orang telah berguru dengannya.

Allahyarham bukan hanya dikenali sebagai guru agama di negeri Perak  tetapi melebar hingga negeri-negeri lain termasuklah  di Betawi, Bandung, Surabaya, Jeddah, Makkah, Taif, Mausan dan beberapa tempat lagi.

Di samping berdakwah dan mengajar agama, Hj Abdul Hamid banyak mengarang kitab yang pada zaman dahulu dikenali sebagai kitab kuning. Antara karya beliau yang dapat dikesan sebanyak lapan tajuk iaitu Kitab Shamsul Mudaras (ilmu tajwid),  Kitab Tahmid Al-Musalli, Kamus Al-Hamidiah, Farhatul Al-Mariah ( ilmu Tajwid), .Alhamdu Harfi Al-Fatihah (tafsir surah Al-Fatihah), Majmuk Al-Mani, Shamsul Almukatibi (ilmu Tajwid) dan .Al-Hidayah (ilmu Tauhid). Buku-buku ini tersimpan selamat di Perpustakaan Tun Seri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rujukan dan kajian.

Sesungguhnya Hj Abdul Hamid adalah seorang insan yang disegani  dalam kalangan masyarakat dan istana Perak kerana ketinggian ilmu agama serta sikap rendah diri serta tawaduknya  terhadap Allah SWT. Namun sebelum Negara mencapai kemerdekaan, beliau telah berpulang ke sisi Allah Azawajalla di Batu Gajah, Perak iaitu  pada 5 Jun 1957 setelah beberapa tahun menderita kerana sakit tua.

4 comments:

  1. salam... buku2 tulisan beliau masih wujud?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Menurut sdr Muhammad Fauzi bin Abdul Hamid, buku karya Allahyarham tersimpan selamat di UKM seperti yang dinyatakan di dalam artikel di atas. Terima kasih.

      Delete
  2. Allahyarham Abdul Aziz bin Ahmad Melaka J.P (Justice Of Peace) adalah abang kepada Allahyarham Hj. Abdul Hamid dan anak lelaki paling sulung kepada Allahyarham Ahmad Melaka. Pada zaman Allahyarham, untuk mendapat gelaran J.P. bukan mudah dan seorang J.P. juga mempunyai kuasa untuk hadir di Mahkamah bagi menggantikan Hakim yang bercuti.

    Allahyarham Abdul Aziz di lahirkan di Selama (Perak). Pada awal tahun2 1900'an, Abdul Aziz telah terpilih (dari rujukan Arkib Negara) untuk belajar di Malay College Kuala Kangsar dan antara rakan2 beliau termasuk seorang yang kemudiannya dilantik menjadi Yang DiPertuan Negeri Sembilan. Kita sedia maklum bahawa pada tahun2 itu cuma anak2 Raja sahaja yang dibenarkan oleh Inggeris untuk belajar di Malay College dan kehadiran Allahyarham layak belajar di sana masih menjadi satu tanda tanya. Beliau juga bebas keluar masuk Istana Sri Menanti. Ini melahirkan lagi satu tanda tanya apa hubungan Allahyarham dengan kerabat diRaja Negri Sembilan.

    Tidak banyak maklumat yang boleh di dapati tentang Allahyarham kerana anak cucu beliau sama ada memilih untuk berdiam diri atau merahsiakannya. Apa yang saya tahu, Allahyarham berkerja di "Forestry Department" (Perak,Pahang & Negri Sembilan) dan antara pegawai2 bawahan Allahyarham termasuklah pegawai2 Inggeris. Ini saya dapat tahu bila pernah terbaca surat Memorandum daripada nya kepada seorang pegawai Inggeris. Antara anak2 Allahyarham Ahmad Melaka, Abdul Aziz adalah yang paling terkaya kerana mempunyai banyak tanah2 kawasan bandar di Perak, Pahang & Negri Sembilan. Allahyarham mempunyai kereta sendiri, driver (Allahyarham Samsuddin - selepas kematian Abdul Aziz, telah berpindah ke Jelutong (Penang) & berkerja sebagai Kapten Ferry di sana), seorang cookie (Tukang Masak - Allahyarham Minhat: meninggal di Tanah Rancangan LBJ Sendaya, NS).

    Allahyarham Abdul Aziz juga terlibat dalam gerakkan menyatukan orang2 Melayu bersama2 Dato Oon Jaafar. Terlibat juga semasa penubuhan UMNO. Dari segi wang ringgit & kerjasama dari Istana serta para2 Undang NS. Allahyarham telah meninggal dunia pada tahun 1953 (Seremban).

    Kajian yang lebih mendalam perlu di buat dan semoga anak cucu keturunan beliau (terutama cicit beliau yg khabarnya mewarisi banyak manuscript2 sejarah orang2 Rawa & sejarah Malay Straits Settlement) akan tampil kehadapan memberi kerjasama menceritakan sejarah hidup Allahyarham. Terima kasih.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...