Saturday 16 March 2013

Mohamed Bin Hamzah: dari Pentadbir ke Ahli Korporat


Oleh Zabidin Hj Ismail

Dato’ Mohamed bin Hamzah dilahirkan pada 28 Februari 1941 di Kampong Jalan Kachu, Tapah, Perak yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pekan Tapah. Dia dibesarkan oleh ibunya, Hajjah Kalsom binti Haji Abdul Jalil kerana ayahnya meninggal dunia ketika Mohamed berusia setahun. Manakala Hajjah Kalsom meninggal dunia pada bulan April 2010 ketika berumur 96 tahun. Di kampung tempat mereka tinggal, Hajjah Kalsom semasa hayatnya dikenali dengan panggilan mesra “uci kolosom” dalam loghat Rao pekat keranakeluarga arwah berasal dari Langgung, Rao, Pasaman, Sumatera Barat.

Mohamed mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Tapah (sekarang: Sekolah Kebangsaan Toh Tan Dewa Sakti) sehingga darjah lima. Kemudian dia terpilih melanjutkan pelajaran ke Government English School (GES) Tapah (sekarang: Sekolah Menengah Kebangsaan Buyung Adil) di Special Malay Class sehingga Tingkatan Lima. Mohamed seorang pelajar yang aktif dan berkarisma, justeru di GES dia memegang pelbagai jawatan termasuk Head Prefect – jawatan paling tinggi yang boleh disandang oleh seseorang murid cemerlang.

Grade Satu

            Pada tahun 1959, Mohamed menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan muncul dengan grade satu sekali gus terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh. Sekali lagi Mohamed mempamerkan kecemerlangan, lulus HigherSchool Certificate (HSC) dengan empat principle yang melayakkannya menyambung pelajaran di  UM pada tahun 1962. Tiga tahun kemudian Mohamed meraih ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dan terus menyertai Perkhidmatan Tadbir Am dan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) mulai tahun 1965 hingga 1991 dengan menjawat pelabagai jawatan penting, antaranya ialah Penolong Pegawai Daerah Hilir Perak dan Kinta (1965-1969), Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (1969-1970), Institut Tadbiran Awam (INTAN) Petaling Jaya (1970-1977).


            Semasa bertugas di INTAN, Mohamed terpilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pentadbiran perniagaan di bawah biasiswa Colombo Plan  di University of Edinburgh, United Kingdom selama dua tahun (1973-1975) dengan memperoleh Master in Business Administration. Setelah tamat belajar dia kembali bertugas di INTAN tetapi kemudiannyadipinjamkan ke Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA)sebagai Pengarah Bahagian Tenaga Manusia selama dua tahun (1978-1980).

Pulang Ke Lubuk

            Nasib Mohamed agak baik kerana selepas merantau sektika di  Pahang beliau dipanggil pulang ke negerinya dengan menjawat jawatan Pegawai Kemajuan Perak (sekarang: Pengarah Pembangunan Negeri) selama empat tahun (1980-1984) dan seterusnya sebagai Pengarah Tanah dan Galian Perak(1984-1989) sehinggalah dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) di Kementerian Pengangkutan Malaysia mulai tahun 1989 hingga 1991.


            Pada tahun 1991 Mohamed bersara pilihan ketika berusia 50 tahun kerana ditawarkan jawatan Ketua Pegawai Operasi (Chief Operating Officer) di Syarikat IGB Corporation Berhad, Ipoh iaitu salah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Malaysia. Pada tahun 1994 beliau berhenti dari IGB Corporation untuk memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Clearwater Sanctuary Golf Resort Batu Gajah dan Maraputra Sdn Bhd.

            Di samping terlibat sepenuh masa dalam bidang korporat di Ipoh, Dato’ Mohamed turut menyumbangkan tenaga dan fikiran dalam banyak agensi dan GLC Kerajaan Negeri dan Pusat dengan memegang jawatan Pengerusi Rubberex Corporation (M) Berhad), Clearwater Sanctuary Golf Resort,  Timbalan Pengerusi Port Klang dan Ahli Lembaga Pengarah bagi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perak, Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak, Yayasan Perak, Klang Container Terminal dan Pelabuhan Pulau Pinang.

Jawatan Sukarela

            Keaktifan  Dato’ Mohamed bukan hanya dalam bidang korporat tetapi melebar ke badan-badan sukarela dan bukan Kerajaan (NGO) dengan menjawat penting seperti Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Perak, Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Kinta, Presiden PersatuanMemanah  Negeri  Perak,  Pengerusi KoperasiMelayuPerkasa  Perak Berhad dan Naib Presiden JARO serta bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan kebajikan dan koperasi di negeri Perak.

            Dalam kesibukan menerajui badan-badan korporat dan sukarela, Dato’ Mohamed sempat juga memenuhi kegemaran masa lapangnya seperti bermain golf, berkebun dan memancing. Sebagai anak penoreh getah yang mengerti erti betapa peritnya kehidupan di kampung masa lampau yang tiada bekalan air terawat dan elektrik, Dato’ Mohamed amat bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dilimpah rahmat dan nikmat dengan kehidupan bahagia serta selesa di bumi bertuah, Malaysia tercinta ini.






2 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...