Saturday 16 February 2013

TUN ISMAIL MOHAMED ALI: Tokoh Pembangunan Ekonomi Bumiputera

oleh Zabidin Haji Ismail

Tun Ismail Mohamed  Ali merupakan Gabenor  Bank Negara paling lama  berkhidmat di Bank  Negara iaitu selama  18  tahun dari   tahun  1962 hingga 1980.  Sepanjang tempoh itu tanda-tangannya tertera di  atas wang kertas yang  dikeluarkan oleh  negara. Beliau merupakan anak watan  pertama yang memegang jawatan Gabenor  Bank  Negara  yang  sebelumnya diisi oleh ekspatriat dari  luar  negara.

Ismail Mohamed Ali dilahirkan pada 16  September 1918 di Kelang,  Selangor. Beliau merupakan  anak  sulung daripada sebuah keluarga  terhormat yang  antara lain adik-beradiknya termasuklah   Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali (isteri Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad), Ahmad Razali Mohd Ali (bekas  Menteri  Besar Selangor),  dan Muhammad Hashim Mohamed Ali (bekas  Panglima Angkatan  Tentera Malaysia). 



 Berasal dari ranah Rao, Sumatera Barat


Keluarga bapanya berasal dari Koto Rajo, Rao, Sumatera Barat. Selain di Rao, terdapat sebahagian besar keluarga bapanya menetap di Kg Paya Prupuk, Tanjung Pura, Langkat, 60 km dari Medan, Sumatera Utara. Penulis pernah menemui beberapa orang keluarga bapa Tun Ismail di Langkat yang berhijrah dari Koto Rajo. Kebanyakan penduduk Kg. Paya Prupuk terdiri dari orang Melayu berketurunan Rao. Gaya kehidupan mereka menyamai masyarakat Rao di Malaysia baik dari segi busana, makanan dan adat resam. Di kampung ini penulis menemui juga keluarga Almarhum Yusof Rawa[1].

Siti Ezaleila  Mustafa menyebutkan bahawa;

”Tun Ismail Ali dianggap tokoh menjadi lambang  bagi  kejayaan  ekonomi dan  kewangan  negara. Dengan menjadi Gabenor Bank  Negara (1962 hingga 1980), beliau terlibat secara  langsung dalam pembangunan  ekonomi negara yang  menyaksikan perubahan  daripada  negara Dunia  Ketiga yang  terkebelakang   menjadi  antara negara  yang  utama dalam  industri dan  ekonomi  Asia. Kehadirannya dalam pentadbiran ekonomi negara sering dikaitkan dengan  ketelusan kewangan, akauntabiliti, integriti dan pentadbiran yang baik.”[2]

Sebelum menjawat portfolio Gabenor Bank  Negara, Tun pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri  Selangor pada tahun 1948. Kemudian sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Ekonomi, Perbendaharaan, pegawai ekonomi di  Pulau Pinang dan Jabatan Perdagangan di  Kementerian Perdagangan dan  Industri. Di antara tahun 1957  hingga 1960, Tun dilantik sebagai  Menteri di  Kedutaan  Malaya di  Washington DC, Amerika Syarikat. Serentak dengan itu, Tun merupakan Pengarah  Eksekutif International Bank for Reconstruction  and Development di Amerika Syarikat.

Apabila kembali ke Malaya pada tahun  1960, Tun dilantik sebagai  Timbalan  Gabenor Bank  Negara sebelum dinaikkan  pangkat dua tahun  kemudian sebagai Gabenor Bank  Negara dan memegang jawatan  itu selama  18  tahun dari  tahun 1962 hingga  1980.

Selepas bersara daripada Bank Negara, Tun dilantik  menjadi Pengerusi   Permodalan Nasional  Berhad (PNB) dan apabila bersara daripada PNB, Tun dilantik pula sebagai  penasihat organisasi ekonomi bumiputera itu sehinggalah  Tun kembali ke  rahmatullah ketika berusia 80  tahun pada  6 Julai  1998. Tun meninggalkan nama  yang harum sebagai  pentadbir kewangan  negara  yang  terulung.

Kursi Tun Ismail di Universiti Malaya

Sebagai penghargaan negara atas sumbangan besarnya, Kursi Tun  Ismail Ali  dalam  ekonomi  kewangan telah diwujudkan di  Universiti Malaya. Kursi itu ditaja oleh Bank Negara yang  memperuntukkan RM12 juta  kepada universiti tersebut  dengan  tujuan  untuk  meningkatkan  kecemerlangan akademik dalam bidang  yang diceburi langsung oleh Tun  iaitu monetary  dan  ekonomi  kewangan.   

















[1]  Penulis berkunjung ke Kg Paya Prupuk, Tanjong Pura, Langkat pada tahun 2010
[2]  Lihat Tokoh  Pentadbiran. Bandar Baru Bangi: Medium Publications hlm. 24

2 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Tuan...
    Boleh ke Tuan kongsikan dgn sy dgn siapa Tuan berjumpa semasa lawatan ke Paya Perupok tu.Besar hati sy jika Tuan dpt beri sy no.contact yg dpt sy hubungi untuk dptkan maklumat lanjut berkaitan Teromba Rao Tanjung Pura yg sy jumpa dipublishkan oleh Jari Bersurek di blognya. Email sy farisnurita@yahoo.com. Terima kasih

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...