Thursday 2 June 2011

DATO’ HJ BUYONG ABDULLAH: Anak Melayu pertama menjadi Jurutera Elektrik

Oleh  Dzulkifli Buyong


Dato’ Hj. Buyong bin Abdullah Al Rawi dilahirkan di Kg. Gumut, Kalumpang pada 6 Oktober 1920. Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kalumpang pada zaman sebelum pemerintahan Jepun di Malaya. Kemudian ke Batu Road School, Kuala Lumpur sebelum ke Sekolah Maxwell dan akhir sekali di Victoria Institution.


Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di Technical College Kuala Lumpur, sambil bekerja di Jabatan Telekom sebagai Juruteknik. Pada 1949, beliau menerima biasiswa Queen’s Scholarship bagi mengikuti kursus kejuruteraan di Telecommunication College London. Beliau kembali ke Malaysia setelah menyempurnakan pelajarannya selama 3 tahun 8 bulan iaitu pada 1954.

Beliau bertugas di Jabatan Telekom Kuala Lumpur sebagai Assistant Controller dan pernah berkhidmat di Bukit Mertajam, Seremban, Kuantan dan Ipoh. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Controller Telekom dan Pengarah Telekom. Sebelum bersara, beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Telekom Malaysia dan antaranya telah melancarkan Stesen Satelit Telekom di Kuantan, Pahang untuk memudahkan perhubungan telefon Malaysia ke peringkat antarabangsa. Beliau merupakan anak Melayu pertama dilantik memegang jawatan tersebut. Sewaktu beliau menjadi Pengarah Perancangan Jabatan Telekom, beliau telah dianugerahkan bintang Johan Setia Mahkota oleh DYMM Sri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Beliau bersara sebagai Ketua Pengarah Telekom pada 1976.

Setelah bersara, beliau dianugerahkan oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abd. Aziz Shah dengan gelaran Dato’ Mangku Bumi Selangor yang membawa makna Dato’ Diraja Selangor. Beliau kembali ke Rahmatullah pada 10 Ogos 1987.

Dato’ Diraja Hj. Buyong adalah salah seorang cucu Panglima Kanan yang membuka Kalumpang. Beliau merupakan anak pertama Kalumpang yang menjadi Jurutera dan merupakan salah seorang penaung Persatuan Anak Kalumpang. Jasa beliau semasa hayatnya sentiasa menjadi kenangan kepada penduduk Kalumpang, kerana ramai anak Kalumpang diambil bekerja di Jabatan Telekom Malaysia.

Allahyarhan seorang peramah, mudah mesra, jujur, lemah lembut tutur bahasanya dan sangat dihormati adalah anak Melayu pertama berjaya sebagai Electrical Engineer pada zaman sebelum merdeka.


Dato’ Diraja Hj. Buyong meninggalkan seorang anak lelaki bernama Dzulkifli  (dengan isteri pertamanya Saadiah bte Mohd Amin- berpisah) dan tiga orang anak lagi iaitu Ezani Hamzah, Ahmad Zaini dan Aida Fitri (dengan isteri keduanya Datin Hjh Rahmah bte Hamzah).

2 comments:

  1. harap harap aku pun mau menjadi seperti dia.......(GOOD LUCK)PT3

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...