Monday 5 September 2011

DATO' SERI MOHAMED KHALIL HAJI HUSSEIN: Yang DiPertua Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO)



 oleh Zabidin Haji Ismail

Dato’ Seri Mohamed Khalil bin Haji Hussein telah dilahirkan di Kampung Pulai, Gopeng, Perak pada 28 Jun, 1932. Beliau telah mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Gopeng (1938- 1941), Sekolah Jepun, Gopeng (1942 -1944), Government English School, Gopeng, (September, 1945-1948) dan Sekolah Anderson, Ipoh (1949- 1954). Kemudian beliau memasuki Universiti Malaya di Singapura  pada bulan Oktober, 1954 sehingga memperolehi  ijazah B.A. pada tahun 1957 dan ijazah B.A. (Honours)  pada tahun 1958. 

Setelah tamat belajar di universiti, beliau memasuki perkhidmatan kerajaan sebagai pegawai Malayan Civil Service (sekarang Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik ) dalam bulan Julai 1958. Jawatan pertama beliau ialah  sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri, Malaysia,  Kuala Lumpur. Beliau berkhidmat di situ sehingga. tahun 1959. Perkhidmatan beliau seterusnya ialah  sebagai Penolong Setiausaha, Kementerian Pelajaran (1959), Penolong Pegawai Daerah, Ipoh (1959-1960), Penolong Pegawai Daerah,  Parit (1960 -1961), Setiausaha Kerja, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Sempadan di Alor Star (1961-1963), dan Setiausaha Kerja,  Majlis Pertahanan Negara   di Kementerian Pertahanan (1963-1965).


Semasa berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja, Majlis Pertahanan Negara  beliau telah dihantar  menghadiri kursus pentadbiran tinggi di Carleton University, Ottawa, Canada dalam tahun 1965. Sekembalinya daripada menghadiri kursus tersebut beliau telah ditugaskan sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Urusetia  di Kementerian Pertahanan juga (1965-1967).
Beliau kemudiannya ditugaskan sebagai   Setiausaha Rendah, Urusetia dan Pentadbiran, di Kementerian yang sama juga (1967-1969). Semasa  berkhidmat  sebagai Setiausaha Rendah tersebut beliau telah dipilih untuk mengikuti kursus  pertahanan bagi pegawai-pegawai  kanan tentera dan awam dari United Kingdom, negara-negara Komanwel dan Amerika Syarikat di Imperial Defence College, London  selama setahun dalam  tahun 1968.


Ketua Pengarah Imigresen


Pada bulan Disember, 1969 beliau telah  dilantik sebagai Controller-General of Immigration Malaysia (sekarang Ketua Pengarah Imigresen). Beliau berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Imigresen sehingga  tahun 1976 apabila beliau ditukarkan untuk memegang  jawatan Ketua Setiausaha , Kementerian Kerjaraya dan Kemudahan Awam . 


Selaku Ketua Setiausaha beliau juga telah dilantik sebagai ahli Lembaga, Lembaga Letrik Negara (1976-1979) dan Pengerusi, Lembaga Perlesenan Pengangkutan Jalan (1976-1978).  

            Pada awal bulan Ogos 1979 beliau telah ditukarkan ke negeri Perak untuk memegang  jawatan Setiuasaha Kerajaan Perak. Sebagai Setiausaha Kerajaan Perak beliau juga adalah ahli ex-officio, Exco Negeri Perak. Beliau telah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Perak sehingga bulan Disember 1983  apabila beliau ditukarkan ke Kementerian Pertanian untuk memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha 1 , Kementerian Pertanian. Beliau kemudian telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian itu.


Bersara wajib

                                                                                                           
Pada tanggal 28 Jun 1987 beliau bersara daripada perkhidmatan kerajaan apabila mencapai umur 55 tahun. 

Dato’ Seri Mohamed Khalil juga melibatkan diri dalam beberapa buah badan sukarela. Antara lain,  sebagai Timbalan Presiden, Persatuan Kebajikan Anak-Anak Melayu Perak, di Selangor  (1974-1976), President , Old Andersonians’ Club (1981 -1983), President, Perak Amateur Athletic Association (1980-1983), President, Anderson School  Old Boys’ Association (ASOBA)   (2000-2007) dan Timbalan Presiden, Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (2000-2009).

Sekarang beliau memegang pelbagai jawatan dalam badan-badan sukarela  iaitu Timbalan Presiden, Persatuan Pesara Kerajaan Malayia, Timbalan Presiden, Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia, Ahli Lembaga  Pemegang  Amanah   Yayasan Kebajikan Negara dan Yang Dipertua, Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO).

Beliau memiliki 5 orang anak dan 6 orang cucu dan isteri,  Datin Seri Nurul’ainiah binti Ahmad Tajudin.

            Sebagai mengenang jasa beliau dalam perkhidmatan Kerajaan dan badan-badan sukarela, Kerajaan telah menganugerahkan  bintang Kesatria Mangku Negara    (K.M.N.)  dalam tahun 1966 dan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak  (S.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato’ Seri pada bulan September 1981.

1 comment:

  1. Terbaik! Kami ada mencipta lagu Harimau Malaya, berkisar tentang susur galur Rao yang berhijrah ke Tanah Melayu, budaya pemakaian kuno kebaya. Sila rujuk www.marionexxes.com untuk lebih info. Terima kasih.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...