Friday 6 May 2011

DATO' DR AHMAD KAMAL ABDULLAH@ KEMALA: Sasterawan Negara Ke- 11


Oleh Arisel B.A


Kemala atau yang dikenali juga sebagai Akmal Jiwa merupakan nama pena kepada Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah. Beliau dilahirkan di sebuah kampung di Gombak, Selangor. Beliau merupakan anak ketiga daripada sepasang suami isteri, iaitu Abdullah bin Daud (meninggal pada tahun 1945) dengan Rukiyah binti Amir. Sebelum menikahi Rukiyah, Abdullah telah beristeri dengan seorang perempuan bernama Siti Hawa yang menetap di Rawang, Selangor. Daripada perkahwinan itu, mereka telah mendapat seorang puteri. Ahmad Kamal mempunyai empat orang adik beradik seibu sebapa. Abangnya yang sulung bernama Kamaruzzaman, meninggal semasa kecil. Selepas itu beliau mendapat seorang kakak perempuan bernama Narimah yang lahir pada tahun 1939. Pada 30Januari 1941lahir pula putera yang diberi nama Ahmad Kamal. Adik Kemala, Taufik meninggal semasa kecil.

Rao Minangkabau



Ahmad Kamal bin Abdullah lahir dalam keluarga terdidik pada masa itu. Ayahnya merupakan lulusan Junior Cambridge dari Malay College Kuala Kangsar, Perak, iaitu sebuah sekolah elit yang khusus didirikan oleh penjajah Inggeris untuk mendidik anak raja-raja dan elit baru Melayu. Datuknya Haji Daud bin Baginda Muda berasal dari Pariaman, Rao Minangkabau membawa diri ke Kolang dan terus menetap di Ketari, Bentong, Pahang dan menikahi Naimah iaitu anak perempuan kepada penghulu Setapak, bernama Khatib Koyan. Nama moyang Ahmad Kamal ini diabadikan pada nama sebatang Jalan di Kampung Baru, Kuala Lumpur iaitu Jalan Katib Koyan.


Rukiyah binti Amir (meninggal pada 15 Jun 1957), merupakan ibu yang penyayang dan sering bercerita serta membacakan syair-syair kepada si kecil Ahmad Kamal sebelum tidur. Kelembutan ibu dan dendangan syair serta cerita-cerita ini membekas dalam jiwa Ahmad Kamal. Lanjutan daripada itu, sejak Darjah 5 di Sekolah Melayu Kampung Batu, Kuala Lumpur lagi Ahmad Kamal sudah mula memupuk citarasa seninya dengan membaca buku yang terdapat di perpustakaan sekolah tersebut. Pada masa itu beliau sudah terdedah dengan Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hamlet dan bayak lagi karya yang terdapat dalam perpustakaan kecil di sekolah tersebut. Apabila dia berpindah ke Sekolah Melayu Prince’s Road, Jalan Raja Muda, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Maaruf Mahmud, Guru Besar sekolah tersebut yang terkenal sebagai pengarang sastera kanak-kanak, telah melantiknya menjadi Setiausaha Taman Bacaan iaitu perpustakaan sekolah tersebut. Apabila Ahmad Kamal mula berkeja di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1968 beliau bertugas dalam satu pejabat dengan Maaruf.


Pada tahun 1956, Ahmad Kamal terpilih menjadi guru Pelatih, mengajar di Sekolah Melayu Jeram, Kuala Selangor. Dia berulang alik setiap hari Sabtu menghadiri kelas Guru Pelatih di Sekolah Melayu Kampung Baru dan kemudian kelas itu berpindah pula ke Sekolah Melayu Tanjong Karang, Selangor berdekatan dengan tempat beliau bertugas. Pada tahun 1958 beliau terpilih melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak, dalam kelas A, iaitu kelas bagi guru pelatih yang terpandai yang mendapat markah tertinggi untuk memasuki maktab tersebut. Di sini dia terdidik dalam bidang akademik bagi membolehkan dia mengambil peperiksaan LCE Type, iaitu Sijil Rendah Pelajaran dalam Bahasa Melayu yang khas untuk pelajar –pelajar MPSI dan MWTC bagi membolehkan mereka mengikuti kursus Perguruan di maktab-maktab tersebut. Ketika ini MPSI sudah mula mengambil pelajar-pelajar daripada sekolah menengah Inggeris. Kelompok pelajar seangaktan dengan Kemala, dan kelompok pelajar setahun sebelumnya, terpakasa belajar lima tahun, tiga tahun untuk persediaan akademik dan dua tahun lagi untuk ilmu perguruan. Ahmad Kamal berjaya memperoleh sijil tersebut dan seterus mengikut kursus perguruan dan tamat pada tahun 1963 dengan dianugerahkna Sijil Perguruan Sekolah Rendah Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu dengan ditauliahkan mengajar dua bahasa, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.


Pendidikan akademik beliau berikutnya, bersifat autodidik, iaitu belajar sambil bekerja, melalui pos dan pengajian luar kampus. Dengan cara ini beliau berjaya memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (1963), Sijil Tinggi Persekolahan (1974), Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian (Universiti Sains Malaysia, 1980), Sarjana Sastera (Universiti Sains Malaysia,1985) dan Doktor Falsafah (Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000). Di celah-celah kesibukan kerja dan belajar sambil bekerja itu, beliau sempat pula berkursus BMP, di Makati, Filipina (1990) dan menyertai International Writing Program, Universiti Iowa, Iowa City, U.S.A. (1993), sebuah institusi akademik dan penulisan yang tersohor di dunia, di bawah pimpinan profesor dan penyair Amerika yang terkenal iaitu Dr. Paul Engle.

Mula menulis 1954


Ahmad Kamal bin Abdullah telah memulakan kerjaya penulisannya sejak tahun 1954 lagi, iaitu sejak di bangku sekolah Melayu. Sehingga kini, selama 57 tahun, dia terus menerus berkarya tanpa mengenal jemu. Bakatnya diserlahkan semasa beliau belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris. Sewaktu itu karya-karyanya telah menjengah di dada-dada akhbar dan majalah tanah air, antaranya Utusan Pamuda, Waktu, Hiburan, Mutiara, Mastika, Bulanan Malaya, Utusan Zaman, dan Berita Minggu. Beliau juga mementaskan dramanya berjudul “Lembayung Senja” di Dewan Suluh Budiman, di MPSI. Seterusnya, beliau tidak jemu-jemu menulis hatta apabila beliau ditukarkan mengajar di daerah pedalaman di Selangor pada masa itu, seperti di Sekolah Melayu Tiram Buruk, Tanjong Karang (1963-1967) dan di Sekolah Teluk Gong, Kelang (1968). Di situ beliau bergaul bersama petani dan mereka yang kelaparan tanah. Jerit derita, dan sumsum sengsara para petani dan para marhain Tanjong Karang dan Teluk Gong itu terungkap tajam dalam sajak-sajak yang sebahagiannya termuat dalam kumpulan puisinya Timbang Terima (1970).


Korpus karya Kemala terdiri daripada genre puisi, sedikit dalam genre cerpen, drama dan cerita kanak-kanak, tetapi banyak dalam penulisan esei dan buku ilmiah. Bakatnya merendang dan namanya menjulang, apbila beliau berkeja di Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 1968, bermula sebagai penolong penyunting, menjadi edior majalah-majalah sastera dan berbagai lagi, akhirnya bersara pada tahun 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.


Jumlah puisi yang dihasilkan Kemala banyak sekali, dan ini terbukti daripada kumpulan puisi perseorangannya yang sudah terbit yang berjumlah 10 buah dan sebuah lagi menunggu kelahirannya daripada penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Judul-judul puisi perseorangannya ialah Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktuskaktus (1976), A’yn (1983), Pelabuhan Putih(1989), Titir Zikir (1995), MIM (1999), Ziarah Tanah Kudup (2006), Syurga ke Sembilan (2009) danSumsum Bulan Rawan yang akan segera terbit. Puisinya juga termuat sekurang-kurangnya dalam 25 antologi. Kumpulan cerpennya yang telah terbit berjumlah 3 buah, cerpen dalam antologi sebanyak 8 buah. Kumpulan cerpen perseorangannya ialah Anasir (1983), Firuzia, Firuzia (1990) dan Laut Takjub 25 Cerpen Pilihan (2010). Dramanya sebanyak 4 buah iaitu Di Bumi Lain (1976), Malam Perhitongan(1966), Anna (1972) dan Kelonsong (1985). Buku kanak-kanak 2 buah iaitu Melor, Melur Si Bunga Melur (1974) dan Lani Anak Tani (1977). Jumlah kajian ilmiah dan esei yang dihasilkannya banyak sekali.


Sejak tahun-tahun 1960-an Kemala telah menjadikan “Kebenaran, kejujuran, keindahan, ketuhanan dan kemanusiaan” sebagai landasan falsafah penulisannya. Semua itu dimantapkannya apabila beliau menjadikan “Cinta” sebagai inti dalam koleksi puisi Meditasinya. Meditasi menyorot hakikat kehidupan yang tidak dapat dipisahkan daripada cinta. Cinta yang luas dan universal, yang semuanya berasal daripada cinta Ilahi meman sesuai dengan ajaran Islam seperti yang difahami Kemala, yang dalamnya manusia dilahirkan sebagai khalifah Allah di dunia yang fana.

Anugerah


Sepanjang lebih setengah abad berkarya, Ahmad Kamal Abdullah telah mendapat banyak anugerah dan penghargaan daripada dalam dan luar negara. Antaranya ialah Anugerah S.E.A Write Awards daripada Thailand (1986), Augerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002), Hadiah Sastera Malaysia (1972,1975,1976,1992/93,1995), dan Hadiah Sastera Perdana (1997, 1998/99). Pada tahun 1986, beliau dianugerahkan pingat AMN oleh Baginda Yang DiPertuan Agong dan pada 13 Mac 2001, DYMM Sultan Selangor menganugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dengan gelaran Dato’. Kini beliau bertugas sebagai Sarjana Tamu di Univeriti Putra Malaysia.


Di samping pengharagaan tersebut, dunia akademik turut memberi perhatian terhadap karya-karya beliau dengan mengkajinya secara mendalam. Setakat ini didapati 8 kajian yang terdiri daripada latihan ilmiah, desertasi dan tesis Ph.D telah menjadikan karya-karya Kemala sebagai bahan penelitian. Sejumlah 46 esei menanggapi karya beliau telah pula terhasil oleh berbagai kalangan, daripada para sarjana hinggalah kepada wartawan dan pengkagum keindahan seni sastera ciptaan beliau.


Sesungguhnya, karya-karya Kemala mempunyai mutu yang tinggi, dengan daya renung yang dalam, daya cipta yang menarik dan nilai estetik yang mengkagumkan. Tidak hairanlah karya-karyanya, terutama puisi, bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada genarasi baru, malah diminati oleh para sarjana dalam dan luar negara. Hal ini terbukti dengan jumlah hadiah, anugerah dan penghargaan yang diterimanya serta kajian-kajian dan tanggapan-tanggapan pencnita karya seninya seperti yang disebutkan di atas. Lebih jauh daripada itu, karya-karyanya, terutama puisi telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing seperti bahasa Inggeris, China, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatia.


Ahmad Kamal Abdullah juga terkenal sebagai peneroka bermacam jenis acara dan aktiviti yang dapat memberi kehidupan kepada sastera. Antaranya beliaulah tokoh yang bertanggungjawab mengasaskan tradisi baca puisi pada peringkat antarabangsa di Malaysia, iaitu Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur yang bermula pada tahun 1986. Dalam dunia pergerakan sastera, beliau telah mengasaskan penubuhan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia pada tahun 1993. Tidak kurang pula pentingnya, pada tahun 1989 beliau menjadi utusan Dewan Bahasa dan Pustaka ke Eropah menemui para profesor di sana dengan membawa idea bagi penubuhan Kursi Pengajian Melayu. Beberapa tahun kemudian, tertubuhlah Kursi Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Belanda.Tambahan daripada itu, beliau sendiri amat aktif membaca puisi, bukan sahaja dengan menjelajah ke pelosok tanah air, malah ke merata kota besar di dunia, termasuk Sydney,Canberra, Melbourne, Perth, Jakarta, Den Pasar, Seoul, Sturga, Hongkong, Tokyo, Koln, Paris, Santa Cruz, London, Iowa City, Sarajevo, Solo dan Bandung. Yang amat menonjol daripada tradisi baca puisi ini ialah gaya, sebutan dan rentak suara pembacaannya yang lunak yang menjadi ikutan dalam kalangan generasi muda. Bagitu pula, Kemala amat aktif membentangkan kertas kerja memasyhurkan sastera Melayu moden, terutama puisi, pada pelbagai seminar kebangsaan dan antarabangsa, di Malaysia dan di pusat-pusat pengajian Melayu di seluruh dunia.


Sumbangan Karya

Sumbangan Kemala terhadap dunia puisi dan sastera negara dapat diringkaskan seperti berikut:

1. 1. Penglibatan dalam pelbagai genre sastera.

 Puisi, drama, cerpen dan cerita kanak-kanak, esei dan kritikan serta terjemahan. Yang paling menonjol ialah puisi, walaupun yang lain-lain genre itu turut mendapat perhatian pembaca dan terjamin mutunya. Puisi: 25 antologi, 10 kumpulan; drama: 4; Cerpen: 8 antologi, 4 kumpulan; Cerita kanak-kanak: 3.
1. 2. Sejarah Sastera

 Tokoh utama dalam puisi kerohanian berunsur Islam dan tokoh penyair Melayu Islam selepas Amir Hamzah.
 Tokoh penting dalam penulisan puisi mulai periode 60-an, memperhalus pengucapan puisi Melayu moden di Malaysia sebagai penanda pemisahan dengan periode 50-han (bersama-sama dengan rakan-rakan seangkatannya)
1. 3. Pergerakan Sastera
 PENA- Ketua Satu (1983-1986)
 GAPENA- AJK (1970-1972),SetiaUsaha Satu Yang Pertama (1972-1975)
 Persatuan Kesusasteraan Bandingan, Pengasas dan Presiden (1993 hingga sekarang)
 Persatuan Suluh Budiman - Ahli
 Persatuan Penulis Selangor- Ahli
 World Muslim Writes League (Madinah)- Ahli
 Hadiah Sastera Malaysia (1983-1986)- Panel
 S.E.A Write Award bagi Malaysia (2000)- Panel Penilai Akhir
 Hadiah Sastera Berunsur Islam DBP(2003)- Ketua Panel
 IQ-International Sebuah Jurnal Kesusasteraan Bandingan, Philladephia, Amerika Syarikat (1993- )- Editorial advisory council for Asia
 Hadiah Sastera Perdana (2002-2003)- Ahli Panel
 DBP-AJK Istilah Puisi, Ensiklopedia Kebudayaan Melayu-Pakar Kesusasteraan Melayu
 Majlis Kebudayaan Negeri Selangor(1985-86)- AJK
 Sayembara Mengarang Puisi Darul- Iman bagi seluruh Nusantara(1996)- Panel Penilai
 Sayembara Menulis Puisi Berunsur Islam(1998)- Panel Penilai
 Menubuhkan Bahagian Kesusasteraan Bandingan Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka(1956)
 Pengucapan Puisi Dunia (1986)- Idea dan memperjuangkannya dan sekarang telah jadi tradisi dan berkembang Acara Baca Puisi.
 Pimbinaan Bangunan Teater- turut member idea pembentukan Panggung Negara (sekarang Istana Budaya)bersama-sama PENA (1973-)
 Pertemuan-pertemuan sasterawan dan Baca Puisi dan ceramah sastera seluruah dunia: Pertemuan Sasterawan Indonesia (1976)-Peserta, Puisi Asean (1978)-Peserta, Apresiasi Penyair Puncak Bali (1983) –Peserta,Ceramah di Hankuk Universiti,Seoul, Korea(1985)- Penceramah Tamu dan Baca Sajak, Struga Poetry Evening di Macedonia-
Baca Puisi dan simpusium-Peserta.
 Penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Eropah- 1989 Duta Sastera ke Eropah bagi pihak DBP menyampaikan idea dan misi dari DBP kepada tokoh-tokoh Pengajian Melayu di Eropah bagi penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Eropah.
1. 4. Pengembangan Ilmu Sastera.
 Mengkaji sastera dan menulis skripsi, khususnya dalam bidang puisi moden B.A, M.A., Ph.D

 Mengkaji sastera dan melahirkannya dalam tulisan-tulisan ilmiah dan membentangkannya dalam berbagai seminar dalam dan luar negeri serta menerbitkannya dalam penerbitan berkala dan dalam bentuk buku, sama ada secara individu mahupun secara bersama dengan pengarang lain. 15 Buku kajian.
 Karyanya menjadi bahan kajian dari peringkat B.A hinggalah Ph.D merentasi bukan sahaja bidang Pengajian Melayu, malah dalam bidang Islam. Dikaji oleh pelbagai sarjana, termasuk V.I. Braginsky, Jelani Harun, Nancy Nanny (USA), Maman S. Mahayana (Indonesia), Lalita Sinha, Arbak Othman, dan Mana Sikana..

 Setakat ini telah dua buah Ph.D, khusus menggunakan karya puisi Kemala, terakhir (2010)oleh Abdul Halim Ali dari USPSI.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...