Friday, 27 May 2011

TUANKU RAO: Ulama dan Pejuang Melayu

KETOKOHAN TUANKU RAO SEBAGAI SEORANG ULAMA DAN PEJUANG MELAYU[1]

Tuanku Rao adalah seorang ulama yang telah berjaya mengIslamkan keseluruhan orang-orang Rao dan kawasan sekitarnya. Beliau juga adalah seorang pejuang kemerdekaan yang syahid ditangan penjajah. Ketokohan Tuanku Rao telah terpahat di hati dan menjadi kebanggaan setiap orang Rao khasnya dan Melayu amnya. Atas jasa beliau Orang-orang Rao, Tapanuli dan kawasan sekitarnya sampai sekarang semuanya beragama Islam dan masih mengaji dengan menggunakan bahasa Rao. Kematiannya telah menyematkan perasaan anti penjajah di hati orang-orang Rao. Baik yang ada di Rao mahupun yang telah berhijrah ke Malaysia ketika itu. Kajian ini akan coba mengungkap sejarah ketokohan Tuanku Rao sebagai seorang Ulama dan seorang Pejuang dari bangsa Melayu.

Pendahuluan

Kajian ini terinspirasi semenjak keterlibatan penulis dalam team pengkaji Biografi dan Pemikiran Politik Ulama Melayu Silam di Asia Tenggara. Penulis telah melakukan kajian lapangan diberbagai tempat Asia Tenggara untuk melihat berbagai peninggalan dan melakukan temu bual di berbagai tempat. Kajian itu memakan masa dua tahun dan dibiayai oleh kerajaan Malaysia atas nama Universiti Malaya tempat penulis melanjutkan PhD saat ini. 

Ramai tokoh intelektual muslim (ulama) yang telah dicatatkan dalam berbagai media, dan kurang sekali bahan bacaan yang menulis tentang Tuanku Rao. Dua penulisan tentang Tuanku Rao yang ada, ditulis oleh orang Batak dan Tapanuli yang terlihat tidak memahami sama sekali adat, budaya, sosial, ekonomi dan bahasa orang Rao. Sehingga berlakulah pengalihan isu seperti nama kampong Koto Godang di Rao ditukar menjadi Huta Godang di Batak, nama Fakih gelaran Tuanku Rao (orang yang ahli dibidang agama terutama fikh) ditukar menjadi Pokki menurut loghat Batak dan sebagainya. Kajian ini lahir juga atas dorongan beberapa orang rakan penulis selepas penulis menjadi pembentang dalam seminar Melayu Rao Malaysia di Universiti Sultan Idris Tanjung Malim pada 25 Julai 2009 lalu.

Rao Sepintas Lalu

Rao yang dimaksudkan dalam tulisan ini adalah daerah rawa-rawa, dalam lingkaran bukit barisan meliputi berbagai-bagai daerah yang luas seperti Panti, Padang Gelugor, Langsat Kadap, Lubuk Layang, Kubu Sutan, Sungai Ronyah, Selayang, Muara Sipongi (disebut dengan Rao versi lama) yang terletak ditengah pulau Sumatera. Di sebelah Utara, Rao bersempadan dengan Sumatera Utara berbangsa Tapanuli, di sebelah Timur bersempadan dengan Riau Daratan berbangsa Melayu Riau, di Selatan, bersempadan bangsa Minangkabau, manakala di sebelah Barat, terbuka dengan Selat Mentawai yang secara geografi membentuk permukaan bumi di daratan pulau Sumatera.

Yang dimaksud dengan orang Melayu Rao dalam tulisan ini adalah; mereka yang berasal dari keturunan Rao, masih menggunakan bahasa Rao, dan masih ada mengamalkan adat resam dan budaya Rao. Budaya Rao yang paling terkenal ialah bojojak, botatah atau adat pantang tanah[2]. Budak-budak Rao tidak boleh menyentuh tanah sebelum di jalankan upacara bojojak ini. 

Bahasa dan budaya Rao berbeda dengan bahasa dan budaya Tapanuli, Minangkabau dan Riau daratan. Melayu Rao adalah sebuah tamadun yang tua, ini dibuktikan dengan terdapatnya berbagai bukti arkeologis barang purbakala yang berumur ribuan tahun di Rao. Seperti candi Tanjung Medan di Petok Panti, Candi Pancahan, Arca Dwarapala Padang Nunang, Prasasti Lubuk Layang dan Candi Bukit Rao yang ditemukan oleh Amran Datuk Jorajo

Cerita tentang Rao banyak terdapat dalam sejarah yang ditulis oleh orang Belanda. Ini kerana di Rao terdapat sebuah benteng Amorogen yang menyaksikan pertempuran sengit penjajah Belanda melawan penduduk pribumi yang dipimpin oleh Tuanku Rao. Rao dizaman silam adalah sebuah kota yang cukup besar, pusat perekonomian dengan terdapatnya tambang mas terbesar di Sumatera ketika itu. Di antaranya ialah yang ditulis oleh Letnan 1 Infanteri J.C. Boelhouwer yang diterbitkan kembali dalam bahasa Indonesia oleh Pemerintah Daerah Pasaman. Dalam buku tersebut penduduk pribumi Sumatera mereka panggil dengan istilah Melayu.

Semenjak kedatangan Belanda ke Rao yang berjaya mengalahkan pejuang Paderi yang dipimpin oleh Tuanku Imam Bonjol, Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai sampai sekarang Rao telah didatangi oleh orang Minangkabau. Tapanuli dan Jawa. Majoriti komuniti masyarakat suku kaum Rao terdapat di luar seperti Medan, Malaysia, Palembang dan sebagainya. Sementara di Rao sendiri telah didatangi oleh orang lain bukan suku kaum Rao untuk mengisi kekosongan yang terdapat di Rao.
Masyarakat suku kaum Melayu Rao (Rawa) telah berhijrah ke Malaya mulai abad ke lima lagi. Perkampungan Rao banyak terdapat di Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Kelantan. Nama-nama kampong mereka dibawa dari nama kampong yang terdapat di Rao sendiri. Dalam kehidupan keseharian mereka, suku kaum ini masih mempertahankan bahasa, adat istiadat, budaya dan hubungan kekerabatan dengan kampong asal nenek moyang mereka di Rao.
Faktor penghijrahan besar-besaran orang Rao, adalah disebabkan Rao ditakluk oleh Belanda pada tahun 1833. Faktor penghijrahan lainya adalah disebabkan meletusnya perang saudara antara Pemerintahan Revolusioner Republik Indonesia (PRRI) dengan tentera pusat di Sumatera Barat pada 15 Februari 1958, dan Rao adalah kubu terakhir PRRI ketika itu. Pemberontakan parti komunis Indonesia pada tahun 1966 juga diperkirakan mempengaruhi penghijrahan. 

Sejarah Tuanku Rao Yang Kabur

Nama dan tanggal lahir serta asal usul Tuanku Rao banyak menimbulkan kontraversi. Terdapat dua buku yang berjudul tentang Tuanku Rao yang ditulis oleh bukan orang Rao. Satu buku ditulis oleh orang Batak Insinyur (engineering) Mangaradja Onggang Parlindungan (MOP) yang berjudul “Pongkinagolngolan Sinambela Gelar Tuanku Rao. Teror Agama Islam Mazhab Hambali Di Tanah Batak” dan satu lagi ditulis oleh orang Tapanuli Basyiral Hamidy Harahap yang berjudul “Greget Tuanku Rao”.
Mengutip kata Profesor Dr Mustika Zed seorang pakar sejarah Indonesia mengatakan bahawa kedua buku tersebut hanya membahaskan Tuanku Rao dalam sub bab buku mereka. Pembahasan mereka lebih banyak mengarah kepada yang lain, bukan tentang Tuanku Rao. Menurut Hamka, buku itu sepertinya ingin mengangkat suku kaum tertentu dan bermaksud menjatuhkan suku kaum dan agama lain. Objektifiti buku juga dipertanyakan disaat kedua penulis sepertinya hanya bermaksud menaikkan nama dan imeg kaumnya, bukan membahas tentang Tuanku Rao. Buku tersebut sebenarnya tidak layak diberi judul Tuanku Rao, kerana pembahasan yang terlalu sedikit dan tidak mewakili Tajuk. Buku ini juga ditulis oleh mereka yang tidak tahu sosial, ekonomi, budaya dan politik orang Rao.
Buku MOP ini telah diseminarkan di Padang pada 23-26 Julai 1969 dengan menghadirkan MOP sendiri dan banyak pakar sejarah. Mengutip kata Hamka bahawa waktu seminar itu MOP tidak berkutik dan tidak mampu mempertahankan kebenaran apa yang dia tuliskan. Berbagai pertanyaan dan kritikan tidak dapat ditangkis (dijawab) MOP, ketika itu.
Profesor Dr Hamka sebagai seorang ulama dan juga ahli dibidang falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik Islam serta Barat secara khusus mengkritik buku tersebut dengan menulis sebuah buku berjudul “Tuanku Rao Antara Fakta dan Khayal” setebal 363 halaman.
Dalam buku tersebut Hamka menuliskan bahawa 80% karangan MOP itu adalah tidak benar dan kalau boleh dikatakan dusta. Antara kalimat Hamka dalam menanggapi buku itu ialah “bodoh berlagak pintar” (h.23), Dongeng (h.37), sangat diragukan bahkan tertolak sama sekali (h. 50), tak faham bahasa Arab h. (59 & 75), Hayalan (h. 63) kahayalan sam suparlin, kebodohan penulisnya (h. 76), banyak dongeng seperti cerita 1001 malam (h. 100), cerita baru dan lain dari yang ditulis oleh para pakar sejarah lainnya dan metodenya yang salah (h.106), tukang kaba (tukang dongeng dizaman melayu kuno) (h.108), dan diakhiri dengan kata-kata HOTA GODANG (dusta besar dalam bahasa minang) (h.268).
Menurut penulis kata-kata itu tidak akan keluar dari seorang cendekiawan intelektual muslim dan tokoh besar umat Islam seperti Hamka kalau tidak karena kesalahan yang dilakukan oleh MOP itu teramat besar dan fatal. Mungkin sahaja kerasnya kalimat Hamka itu didasari oleh ayat “asshidda`u alal al kuffar ruhama`u bainahum”
Buku MOP paling itu banyak menimbulkan kontraversi dan perdebatan diberbagai seminar mahupun media lainnya. Ini karena berisi data-datanya fiktif dan tidak betul, kaedah keilmuannya salah dan hasil penulisannya juga salah dan bertentangan dengan yang lainnya. Kebohongan itu terlihat disaat kita mempertanyakan bagaimana dan darimana dia mendapatkan data tersebut disaat dia tidak faham bahasa Arab, tidak melakukan kajian lapangan dan sedikit sekali memahami hal ehwal Islam. MOP juga bukan seorang ahli sejarah dan penulis yang baik, kerana itu adalah satu-satunya buku beliau. Dimasa itu juga jarang sekali ditemukan buku Arab yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Buku tersebut terkesan terdapat unsur fitnah dan adu domba serta disinyalir dibuat dengan tujuan-tujuan tertentu oleh agama lain. Dikatakan bahawa saat ini buku MOP tersebut menjadi bahan bacaan wajib bagi para pendeta (rabi kristian) di Sumatera Utara kerana ianya banyak menceritakan fitnah tentang kelemahan dan kezaliman dakwah Islam.
Ada beberapa sebab logik yang menyebabkan berlakunya berbagai kekeliruan dan kekaburan tentang sejarah Tuanku Rao, iaitu:
1. Kerana kemuliaan, kebesaran dan jasa-jasa yang telah ditaburkan oleh Tuanku Rao demi kepentingan agama Islam dan bangsa yang berjuang melawan penjajah Belanda. Orang-orang yang berjasa seperti Tuanku Rao adalah bukan pahlawan milik suku Rao, Minang, Mandailing, Aceh dan Melayu Riau saja tetapi adalah pahlawan milik seluruh etnik bangsa Melayu. Kerana Tuanku Rao adalah seorang Tokoh besar yang menjadi idola, kebanggaan dan ramai peminat ketika itu. Dan juga kerana setiap orang dan suku kaum mengharapkan lahirnya manusia seperti dia.
2. Lahirnya berbagai andaian yang mengatakan bahawa beliau adalah orang Batak, Tapanuli, Aceh ataupun Riau daratan dan sebagainya adalah hal yang biasa. Ini kerana setiap tokoh biasa berada dan berjuang serta berdakwah dalam waktu yang sangat lama di suatu tempat, mengingat susahnya transportasi ketika itu. Tuanku Tambusai umpamanya diberi marga harahap oleh orang Tapanuli kerana lamanya beliau berjuang dan berdakwah disana sehingga masyarakat setempat sudah sehati dengannya.
3. Sejarah Tuanku Rao tidak dicatat dalam media oleh orang Rao. Akan tetapi ia menjadi legenda dan memori dikalangan masyarakat Rao. Legenda ini dapat kita telusuri pada masyarakat Rao yang sudah tua. Ini terutama dalam masyarakat suluk atau tharikat yang ada saat ini. Ada juga yang menyimpan sejarah Rao sebagai rahasia, agar tidak menjadi fitnah ke anak cucu kerana hebatnya perang saudara yang disebabkan adu domba Belanda di Rao dahulu.
4. Dalam komuniti masyarakat Rao, nama sebenar seseorang agak susah dikenali, kerana setiap orang biasanya memiliki beberapa nama. Orang biasa dipanggil dengan panggilan biasa (laghob) dan gelaran sahaja. Disaat orang pulang dari menunaikan haji di makkah, biasa nama mereka akan bertukar kepada nama Islami atau sekurang-kurangnya ditambah Haji Muhammad dipangkal namanya.
5. Budaya tulis menulis waktu itu yang belum seperti sekarang. Faktor kurangnya budaya tulis menulis saat itu dapat dimengerti mengingat keadaan Rao yang saat itu tahun 1800-an masih berbentuk sebuah perkampungan melayu yang kuno. Kesibukan tokoh dalam berdakwah dan ditambah lagi melawan agenda penjajah membuat tenaga mereka terkuras habis dan tidak sempat menulis lagi.
6. Meninggal beberapa tahun setelah Rao ditaklukkan. Mengingat ahli sejarah Indonesia masih berkiblat dan menjadikan tulisan dan cacatan orang Belanda yang berada di Den Hag sebagai sumber primer mereka, maka menurut pandangan mereka mengatakan bahawa kurang jelasnya sejarah Tuanku Rao kerana kematian Tuanku Rao berlaku beberapa tahun selepas Rao ditaklukkan Belanda. Ianya dikatakan penyebab kurang menarik minat para penulis Belanda ketika itu. Beberapa daerah Indonesia saat ini, ada yang dijajah selama 350 tahun, akan tetapi beberapa daerah lainnya ada yang beberapa tahun sahaja dan ada juga yang tidak pernah dijajah Belanda sama sekali. Rao sendiri ditaklukkan Belanda selama lebih kurang 126 tahun iaitu bermula tahun 1883.
7. Tuanku Rao menurut beberapa cacatan sejarah Berjaya Membunuh Sisingamangaraja X dengan berbagai mitos cara pembunuhan dan kematiannya. Sisingamangaraja adalah raja dan tokoh tanah Batak yang ketika itu diagungkan seperti Dewa. Dikabarkan bahawa Sisingangaraja kebal berbagai macam senjata tajam dan dia tidak akan mati selagi badannya menyentuh bumi. Akhirnya diwaktu badan Sisingamangaraja melambung ke udara Tuanku Rao mengambil kesempatan itu untuk menebas kepalanya dan disambut agar tidak jatuh ke bumi atau agar ia tidak hidup kembali. Sebagai pemimpin yang didewakan dengan symbol lidah berbulu, tentu sahaja orang Batak sakit hati. Dan untuk membalas sakit hati dan memuaskan hati orang Batak inilah orang mereka membuat cerita bahawa yang membunuh Raja atau Dewa mereka itu bukanlah orang lain, tetapi kemenakan dari Sisingamangaraja sendiri. Maka dengan ini terobat jualah hati generasi orang Batak. Nama Batak itu sendiri menurut Tokoh Rao yang penulis wawancarai terdiri dari kata BOATAK. Ini berlaku diwaktu Tuanku Rao mengirim intelligent ke Tanah Batak sebelum berlakunya penyerangan. Kata intelligent itu untuk apa kita takut, padahal mereka itu tidak ada apa-apanya rumah mereka pun boatak (bersusun). Dari situlah timbulnya nama Batak menurut versi orang Rao yang juga saudara kandung seniman dan juga sejarawan tersohor Indonesia Asrul Sani.
8. Dalam sejarah yang dicatatkan oleh M. Rajab dalam bukunya perang Paderi mengatakan bahawa Tuanku Rao yang juga menantu yang dipertua Rao (Raja Rao) mengambil alih kekuasaan dari mertuanya itu dengan cara berunding. Ini kerana Tuanku Rao melihat bahawa yang dipertua Rao tidak mampu lagi memimpin Rao kerana faktor usianya yang sudah sangat tua. Ini juga kerana faktor ketidak mampuan yang dipertua Rao untuk melawan penjajah dan selalu tunduk mengikut telunjuk dan kehendak penjajah ketika itu. Pertikaian kaum adat dengan kaum agama sebenarnya berlaku di seluruh Sumatera Barat. Ini dikatakan yang menyebabkan terbunuh dan larinya keluarga raja Pagaruyung ke negeri Sembilan kerana tidak mau menghilangkan adat budaya Minangkabau yang bertentangan dengan ajaran Islam. Kaum paderi yang dipimpin oleh ulama bermaksud ingin membersihkan orang Sumatera dari ajaran tahayul, animisma, bid`ah, khurafat dan adat resam yang tidak sesuai serta bertentangan dengan ajaran Islam. Sementara pihak kaum adat mahu adat itu terus dipertahankan. Konflik kaum adat dengan kaum agama ini yang dikatakan membuat orang takut menuliskan sejarah Tuanku Rao. Dikatakan ketika itu, siapa sahaja yang menulis atau menganggungkan setelah kematian Tuanku Rao akan dibunuh oleh petinggi adat ketika itu. Ada kemungkinan karya tulis Tuanku Rao dihilangkan oleh Belanda atau pun kaum adat yang anti dengannya
Beberapa tokoh masyarakat Rao yang penulis temubual juga mendapati indikasi pembohongan dan khayalan MOP dalam bukunya tentang Tuanku Rao. Seperti kalimat MOP Huta Godang sebenarnya Koto Godang kerana di Rao terdapat kampong lama Koto Godang yang sudah ditinggalkan. Pokki yang dimaksudkan MOP adalah hasil penipuan sejarah. Ini kerana di Rao sampai sekarang terdapat istilah Pokiah dalam bahasa Rao yang bermaksud Fakih atau orang yang ahli dalam bidang agama Islam.
Tuanku Rao adalah orang Rao asli yang berdasarkan pada bukti sejarah tentang Bagindo Suman yang merupakan kemenakan kandung beliau sendiri. Wawancara yang penulis lakukan terhadap cicit Bagindo Usman mendapati bahwa mereka adalah orang Rao asli, bukan orang Tapanuli. Beberapa peninggalan Bagindo Suman masih terdapat di Rao Padang Metinggi hingga saat ini. Barang peninggalan itu berupa kuburan yang berukuran besar melebihi ukuran manusia sekarang ini, jubah, besi payung, tongkat dan pedang beliau. Cicit Bagindo Suman sampai saat (2009) ini masih hidup.
Hasil kajian yang penulis lakukan, menemukan bahawa sampai saat ini daerah-daerah disekitar Rao umat Islamnya masih mengaji menggunakan bahasa Rao. Hal itu dapat dilihat dalam masyarakat Tapanuli, Batak, minangkabau, Riau daratan, dan pesisiran pantai. Pengaruh ini tentu sahaja membawa kita kepada kesimpulan bahawa Tuanku Rao yang berasal dari Rao dan anak jati Rao, kerana menggunakan bahasa dan adat resam orang Rao.
Tuanku Rao, Bagindo Usman serta keturunannya sampai sekarang tidak memiliki marga sebagaimana identity masyarakat Tapanuli dan Batak. Marga atau suku kaum adalah sesuatu yang penting dalam masyarakat mereka. Di ujung nama mereka biasanya akan dicantumkan Siregar, Lubis, Nasution, Simanjuntak dan sebagainya dan ini tidak terdapat dalam keluarga Tuanku Rao, Bagindo Usman mahupun anak cicitnya hingga saat ini.
Mengutip Prof Taufik Abdullah mengatakan bahawa objektif MOP dalam menulis buku tersebut sangat dipertanyakan. Dalam bukunya beliau mengangkat Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai sebagai tokoh yang berani berasal dari tanah batak, dan merendahkan Tuanku Imam Bonjol sebagai seorang yang pengecut. Padahal sejarah jelas mengenal bahawa kedua tokoh tersebut tidak memiliki marga sebagaimana semestinya orang Tapanuli dan orang Batak yang wajib memiliki marga.
Dakwaan MOP yang mengatakan bahawa Tuanku Rao adalah orang Batak atau Basyiral Hamidy yang mendakwa beliau orang Tapanuli juga dibantah dengan berbagai bukti saintifik lainnya. Sepintas pernyataan mereka ini Nampak benar kerana ramainya orang Tapanuli yang berada di Rao saat ini. Akan tetapi mereka lupa, kerana pada hakikatnya orang Tapanuli adalah pendatang dan yang di datangkan ke Rao selepas kemerdekaan. Sejarah mencatatkan bahawa berlakunya penghijrahan orang Tapanuli ke Rao berlaku selepas kemerdekaan. Ini kerana pemerintah Indonesia melihat tidak dimanfaatkannya tanah dan perkebunan getah, sawah padi dan sebagainya yang ditinggalkan oleh Belanda. Orang Rao sendiri ketika itu ramai yang berhijrah ke luar seperti Malaysia.
Sampai sekarang sensitifiti orang Rao terhadap Batak masih berlaku. Orang Batak dalam persepsi masyarakat Rao terkesan kurang baik. Ini juga berlaku disebagian besar wilayah Indonesia, walaupun sebenarnya saat ini sudah ramai orang Batak yang masuk Islam dan berpendidikan tinggi. Mereka diidentikkan sebagai tidak Islam, makan babi, makan orang, dan berbagai penilaian negative lainnya. Bagaimana mungkin mereka dapat menerima orang Batak sebagai pemimpin dan menantu mereka padahal komuniti ini dipandang negative dan rendah oleh masyarakat Rao. Sampai saat ini tidak ada masyarakat Rao yang mau menerima masyarakat Batak dalam komuniti mereka apalagi mengangkatnya sebagai menantu sangat jauh sekali.
Biografi Tuanku Rao
Tuanku Rao lahir di Padang Mentinggi sekitar 2 km dari pekan Rao. Ayahnya seorang pedagang kerbau bernama Ibrahim berasal dari Sei Ronyah, Rao. Ibunya bernama Siti Aminah berasal dari Air Bangis. Beberapa kajian ilmiyah yang dilakukan oleh anak-anak Rao mendapati bahawa nama sebenar tuanku diwaktu kecil adalah Syamsu Taberi. Tuanku Rao memiliki 2 orang saudara perempuan dan seorang saudara lelaki. Kakak perempuan Tuanku Rao memiliki seorang anak yang bernama Bagindo Suman yang sekaligus sebagai panglima perang beliau. Ibunya memiliki seorang saudara lelaki bernama Nahkoda Langkok seorang saudagar kaya yang di dalam sejarah disebut menghianati anak kemenakannya sendiri iaitu Tuanku Rao. Nama atau gelaran Tuanku Rao menurut persepsi Naskah Tuanku Imam Bonjol ialah Fakih Saleh, menurut penulis Fakih Saleh bukanlah nama, tetapi gelaran kesarjanaan kepada seseorang yang ahli dibidang agama Islam ketika itu. Fakih (Pokiah) berarti ahli figh dan Saleh orang yang soleh, atau bisa juga disebut Ulama menurut pendapat penulis.
Wan Mohd. Shagir mensinyalir nama sebenar ‘Tuanku Rao’ kemungkinan ialah Syeikh Muhammad Murid Rawa. Kisah anaknya, Syeikh Muhammad Shalih Rawa dijumpai sebuah karyanya judul Fath al-Mubin. Ada kemungkinan nama ini beliau perolehi setelah kembali dari menunaikan ibadah haji dan menuntut ilmu di Makah.
Gelar Tuanku adalah gelaran tertinggi dalam komuniti masyarakat Rao dan sekitarnya. Kerana ia menjadi pemimpin dan anutan masyarakat, baik dalam masalah dunia mahupun masalah agama mereka. Tuanku tidak tunduk kepada Raja, kerana raja hanyalah mengepalai bidang adat (symbol) sahaja. Tuanku duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan raja. Perbedaannya, gelaran Raja diwarisi turun temurun, sementara Tuanku adalah gelaran yang diperoleh dari pengakuan dan pengangkatan masyarakat yang terpilih. Penulis mengibaratkan Tuanku seperti gelaran Khalifah yang mendapat pengakuan dari masyarakat luas, yang dipilih dengan jalan syura`. Disamping itu Tuanku terkenal dengan berbagai macam mitos keramat, seperti Wali Songo di Pulau Jawa.
Perjuangan Tuanku Rao bersama kaum Paderi lainnya yang sangat heroik itu, sangat jelas ketika merebut Benteng Amerongen (sampai sekarang sisa benteng tersebut masih terlihat dengan jelas). Benteng Amerongen didirikan tidak terlepas dari penunjukkan akan kekuatan dan kekuasaan, serta basis pertahanan Belanda untuk membendung perlawanan kaum Paderi di daerah Rao. Diceritakan, ketika tentara Belanda yang menduduki Bonjol, Lubuk Sikaping, Lundar, Tambangan dan daerah lainnya yang sebelumnya diduduki oleh kaum Paderi. Namun benteng pertahanan Belanda tersebut, masih bisa bertahan dan inilah satu satunya basis pertahanan Belanda yang mereka miliki. Namun, dengan sikap heroik yang kuat akhirnya bulan November 1833 benteng tersebut dapat direbut oleh kaum Paderi dan berhasil memukul mundur pasukan Belanda dan pergi ke Natal.
Tuanku Rao dan kawan-kawannya menghadapi berbagai macam penghianatan dari orang Rao sendiri, dari Nahkoda Langkap, dari orang Batak, dari Raja Gadombang dari Tapanuli, dari Tuanku Natal, dari Temenggung Keroredjo pasukan Sentot Alibasa dan sebagainya. Sentot Alibasa akhirnya berpaling membela Tuanku Rao cs setelah dia sedar bahawa orang yang dia perangi itu adalah seagama dan seide dengannya
Pendidikan awal Tuanku Rao peroleh di Rao sendiri sebagai pusatnya ilmu pengetahuan ketika itu. Selanjutnya Tuanku Rao melanjutkan pendidikannya ke Aceh dan menurut Hamka ada kemungkinan beliau memperdalam ilmu ke-Islamannya ke Makah ketika itu. Pengaruh Aceh di Rao masih ada sampai sekarang, seperti Munesah sebutan orang Rao bagi masjid atau surau mereka.
Sejarah mencatatkan bahawa penyebab kematian Tuanku Rao adalah kerana penghianatan yang dilakukan oleh pamannya sendiri yang bernama Nahkoda Langkok. Keberadaan kaum Paderi yang anti penjajah bagi seorang saudagar kaya yang bernama Nahkoda langkok sangat mengganggu bisnesnya dengan Belanda. Atas bujukan Belanda, Nahkoda Langkok ternyata tega mengkhianati anak kemenakannya itu. Hamka menyatakan bahawa kematian Tuanku Rao sebagai syahid kerana melawan penjajah Belanda yang ditembak peluru penjajah secara bertubi-tubi di Air Bangis, tepatnya 29 Januari 1833 Allahu yarham menemui ajalnya. Diakhir hayatnya beliau masih memegang sebilah keris sebagai simbol perlawanan dan pantang menyerah. Innalillah wa inna ilaihi rojiun.
Legenda Tuanku Rao
Beberapa legenda mungkin juga mitos Tuanku Rao masih dapat kita ikuti saat ini dalam komuniti masyarakat tua, terutamanya bagi mereka yang mengikuti suluk atau pengajian tarikat. Di antara legenda itu ialah;
1. Ka`bah terbakar. Diwaktu Tuanku Rao dicukur rambutnya di Rao dia menjerit dengan mengatakan ka`bah terbakar. Seorang yang kembali dari menunaikan haji mengatakan bahawa ada seorang yang kepalanya bercukur sebelah, membawa air memadamkan api di Makah.
2. Bagindo Usman jadi peluru. Bagindo Usman adalah kemenakan kandung Tuanku Rao. Dalam masyarakat Rao yang dipengaruhi oleh budaya Minang menganggap kemenakan sangat dekat dengan mamak nya. Dalam mitos yang diwarisi turun temurun bahwa Bagindo Usman dijadikan peluru yang dimasukan kedalam meriam. Bagindo Usman terbang sambil memegang pedang dan menebasi kepala askar Belanda ketika itu.
3. Kebal. Dalam mitos mashur diketahui bahawa kematian Tuanku Rao adalah disebabkan penghianatan orang Rao sendiri yang memberi tahu dimana kelemahan dan bagaimana cara membunuh Tuanku Rao. Sementara Bagindo Usman dibunuh setelah penghianat memberi tahu bahawa Bagindo Usman hanya boleh dibunuh dengan benang tujuh cento (warna)
4. Gosong. Gosong Tuanku Rao menurut penulis bukanlah mitos, tetapi reality. Iaitu dengan ditemukannya gosong tersebut oleh beberapa individu.
Bukti Yang Jelas
Walaupun data-data tarikh dan angka-angka tentang Tuanku Rao banyak diperdebatkan oleh ahli sejarah, namun bukti keberadaan Tuanku sangat jelas terlihat hingga saat ini. Kesan keberadaan dan kewujudan Tuanku Rao dapat dilihat dari dua peran besar yang beliau mainkan iaitu;
Fase Pertama: Perjuangan dakwah Islamiyah kepada masyarakat Rao dan daerah tetangga mulai 1800 sampai 1823 dan Fase Kedua: Perjuangan melawan Penjajahan Belanda mulai 1822 hingga 1833.
Sebagai Ulama
Rao dikabarkan pernah menjadi pusat penyebaran ilmu ke Islaman yang melahirkan tokoh besar Indonesia seperti Syeikh Ahmad Khatib al-minangkabawi, Agus Salim dan sebagainya. Penulis melihat bahwa daerah-daerah yang selama ini dikenal sebagai penghasil para ulama akan dihancurkan secara sistematik. Lihat sahaja Aceh dengan perang saudara yang berpanjangan, Barus yang selama ini penghasil ulama sekarang mayoritas masyarakatnya tidak beragama Islam lagi, Fathani dengan kekacauan dan perang saudara, Minangkabau dengan kerusakan moral dan hipotesis ini juga mungkin berlaku di Rao.
Tuanku Rao adalah seorang Ulama dan reformis Islam yang ingin melihat Islam secara kaffah. Bersama rakan seperjuangnnya mereka berusaha menghilangkan ajaran animism, khurafat, tahayul dan bida`ah yang menjadi peninggalan budaya agama budha dan hindu sebelumnya.
Sampai saat ini belum ditemukan bukti terdapatnya Tulisan atau karya Tuanku Rao. Sejauh penelitian yang penulis lakukan hanya menemukan sebuah naskah al-Qur`an tulisan tangan asli yang ditulis oleh Isteri Tuanku Imam Bonjol. Namun sejarah mengenal bahawa Tuanku Rao dikenal dengan seorang individu yang tidak pernah mengenal kompromi terhadap penjajah. Sikap ini membuat penjajah anti dan memusuhinya. Tidak tertutup kemungkinan berlakunya pembakaran atau pemusnahan terhadap karya Tulis Tuanku Rao ketika itu. Keulamaan Tuanku Rao pernah dicatatkan oleh Muhammad Shagir dalam sebuah artikel beliau. Bukti lain bahawa beliau adalah seorang ulama adalah pengakuan sejarah bahawa beliau memiliki peranan yang besar dalam mengislamkan masyarakat Rao dan sekitarnya. Ini termasuk masyarakat di Tapanuli, Batak, Bagian dari minang kabau, Riau daratan dan pesisiran pantai. Terdapatnya komuniti masyarakat Rao di tempat yang disebutkan sebelum ini juga menjadi bukti kesan pengaruh Tuanku Rao di tempat tersebut.
Sejarah juga ada mencatatkan bahawa Tuanku Rao adalah kakak seperguruan (kemungkinan juga sebagai guru berdasarkan peringkat umur Tuanku Rao yang lebih tua) Tuanku Tambusai semasa belajar agama di Rao yang sama-sama mendapat gelaran Fakih. Beliau juga yang menasehati agar Tuanku Tambusai melanjutkan pelajarannya ke Makah setelah menamatkan pelajaran dengan Tuanku Rao dan Tuanku Imam Bonjol. Dakwah Islamiyah dan perjuangan Tuanku Rao merentasi suku bangsa di Sumatera seperti Rao, Minangkabau, Tapanuli, Batak dan Melayu Riau
Sebagai pejuang
Walaupun perjuangan Tuanku Rao berakhir dengan kematiannya ditangan penjajah. Namun beliau mewariskan spirit anti penjajah kepada orang Rao dan kepada para pengagumnya ketika itu. Kematiannya sebagai syahid memberi inspirasi dalam menanamkan semangat anti penjajah pada generasi selepasnya. Seorang adik kelasnya yang bernama Tuanku Tambusai terkenal dengan keberaniannya dan ditakuti oleh askar Belanda dan askar upahan ketika itu seperti ketakutan pada harimau. Di Malaysia juga dikenal nama besar Mat Kilau adalah seorang pejuang yang berani dan gigih melawan penjajah juga dikatakan sebagai keturunan Rao.
Kemudian, sampai di Di zaman pemerintahan Soekarno pun orang Rao ramai yang terlibat menjadi PRRI. Gerakan ini dikenal dengan gerakan protes melawan pemerintah Soekarno yang zalim dan tidak adil ketika itu. Soekarno hanya membelanjakan kekayaan Negara untuk pusat sahaja, padahal daerah adalah penghasil terbanyak kekayaan negara. Gerakan ini juga diikuti oleh seorang tokoh yang sekarang sudah diangkat menjadi pahlawan Nasional Indonesia iaitu Muhammad Natsir. Seorang putra Rao pengawal peribadi M. Natsir masih hidup hingga sekarang di Rao, dengan bekas tembakan dilehernya masih dapat terlihat dengan jelas hingga kini. Sifat perlawanan ini sepertinya menjadi karakter orang Rao yang diwarisi dari nenek moyang tokoh idola mereka Tuanku Rao sebagai symbol perlawanan terhadap kezaliman dan ketidak adilan ketika itu.
Bagindo Suman
Sejarah Bagindo Suman / Usman agak lebih jelas daripada sejarah Tuanku Rao. Beliau adalah kemenakan kandung Tuanku Rao dan sekaligus sebagai panglima perang beliau yang sangat gagah dan berani. Salah satu genre sastera yang dikenal hingga saat ini adalah Ratok Bagindo Sumen. Ratok bagindo Sumen itu adalah tangisan ibunya yang menceritakan tentang sejarah anaknya dari kecil, menjadi pejuang hingga kematiannya digantung Belanda. Kematian itu disebabkan oleh pengkhianatan orang Rao yang menceritakan kepada Belanda tentang bagaimana cara membunuh beliau. Konon katanya Bagindo Suman tidak bisa dibunuh, sakti dan keramat dan hanya bisa dibunuh apabila digantung dengan benang tujuh conto (warna)
Berbagai peninggalan sejarah beliau berupa jubah besar, tongkat, rangka payung dari besi, pedang, kuburan yang melebihi sais ukuran manusia biasa, saat ini masih dapat dijumpai di Padang Metinggi Rao yang dijaga oleh keturunan beliau. Hanya sahaja pokok kayu tempat menggantung almarhum baru sahaja tumbang pada tahun 2006 lalu.
Analisa dan Kesimpulan
Tuanku Rao adalah orang Rao Padang Metinggi yang syahid di Air Bangis setelah terperangkap dalam peperangan dan berjaya ditawan, oleh Penjajah diangkut ke kapal Belanda tahun 1833 dan kemungkinan dibuang ke laut dan menjadi gosong.
Tuanku Rao adalah seorang Ulama berdasarkan latar belakang pendidikannya di Rao, Aceh dan Makah dan juga berdasarkan gelar keagamaan Fakih Saleh atau Syeikh Muhammad, nama yang kemungkinan beliau peroleh setelah kembalinya dari Makah. Ke-Ulamaan beliau dapat dilihat dari keberhasilan beliau mengIslamkan masyarakat Rao, Tapanuli dan Batak.
Para Ulama yang berjuang dengan gigih dan keimanan yang kuat lah sebenarnya yang harus diberi penghargaan sebagai pendiri bangsa Indonesia sesungguhnya. Sebab ulama adalah pemimpin masyarakat yang ikut serta langsung dalam menggerakan perlawananan terhadap setiap bentuk penjajahan. Perjuangan ulama merentasi aliran kesukuan dan kelompok.
Ulama terlibat langsung dalam perjuangan kemerdekaan, menjadi pemimpin dan ikutan umat dalam perjuangan menegakkan Islam dan kebebasan dari penjajahan. Selepas kemerdekaan negara-negara umat Islam dikuasai oleh para pemimpin yang sekuler dan bahkan anti Islam. Islam dan umat Islam selalu disalahkan atas setiap kelemahan negara Islam seperti korupsi, Kolusi, Nepotisma, ketidak profesionalan, gejala sosial dan jenayah dan sebagainya. padahhal negara umat Islam tidak ditadbir secara Islamic dan oleh orang yang beriman.
Ulama silam telah mewakafkan harta, badan dan nyawanya untuk melawan penjajah agar memperoleh kemerdekaan dari tangan penjajah. Mereka menjadi penggerak yang bertindak langsung sebagai pejuang melawan penjajah, dan bukan hanya duduk dirumah memberi arahan sahaja.
Kedudukan ulama dizaman silam sangat terhormat dan mulia serta menjadi anutan dan kebanggaan oleh masyarakatnya. Ini kerana ulama adalah orang yang sesuai antara perkataan dengan perbuatannya. Selepas merdeka Negara dikuasai oleh orang-orang sekuler yang sebahagiannya tidak pernah bangkit berperang melawan penjajah. Posisi ulama dipinggirkan dengan berbagai macam propaganda seperti NII, Terorisme, Islam garis keras dan sebagainya. Ini kerana kekuatan umat Islam akan menjadi ancaman bagi kekuasaan mereka kalau tidak diatasi.
Umat Islam yang teramai didunia terdapat di Indonesia, umat Islam memiliki kekuatan politik yang dahsat. Akan tetapi Islam dan Umat Islam di Indonesia selalu berhasil dilemahkan mulai zaman Soekarno dengan pembubaran Masyumi, Zaman Soeharto yang memaksa asas tunggal, hinggalah dizaman reformasi yang memberi prediket teroris kepada umat Islam. Sampai saat ini kedudukan Islam dan Ulama di RI masih saja terpinggir akibat penjajahan Barat yang beragama Kristen begitu lama.


[1] Disampaikan oleh Afriadi Sanusi Dalam Simposium International Warisan dan Tamadun Islam di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 28-29 Disember 2009
[2] Sebelum acara botatah dimulai terlebih dahulu pihak keluarga mempersiapkan bahan-bahan untuk botatah, yakni sirih, nasi kunyit, minyak manis, sodah, upiah, bunga tujuh warna, dan lain lain. Kemudian anak yang akan ditatah disirami dengan beras warna kuning. Beras tersebut disirami ke kepala anak sebanyak 3 (tiga) kali. Ini menandakan adanya pelimpahan rezki bagi anak tersebut nantinya. Langkah selanjutnya, menjalankan anak diatas bunga sebanyak tiga kali, anak diajarkan cara berjalan dengan baik. Kemudian, memandikan anak dengan melulurkan minyak wangi keseluruh badannya merupakan rangkaian pelaksanaan terakhir. Anak dimandikan bersama dengan orang tua perempuan anak dan tukang tatah. Setelah acara botatah tersebut dilaksanakan, anak baru bisa menginjak tanah setelah dua hari kemudian.

3 comments:

  1. Sekarang Di Rao sudah di buat tugu pahlawan tuanku rao.

    ReplyDelete
    Replies
    1. JIKA ANDA BUTUH ANGKA RITUAL 2D 3D 4D DI JAMIN 100% JEBOL 7X PUTARAN BERTURUT TURUT BILA BERMINAT HUB KI JAYA DI NMR (_085-321-606-847) JIKA INGIN MENGUBAH NASIB THA,SK ROO,MX SOBAT ATAU [⌣»̶•̵̭̌✽̤̈•̵̭̌☀̤̈>>KLIK*DISINI<<☀̤̣̈̇•̵̭̌✽̤̈•̵̭̌«̶⌣]

      Delete
  2. Kapan kapan saya akan ambil foto nya

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...