Friday 6 May 2011

TAN SRI RAFIDAH AZIZ: anak jati Rao yang berjaya


oleh Zabidin Hj Ismail

Tan Sri Rafidah Aziz telah dilahirkan pada 4 November 1943 di Selama Perak. Anak jati Rao ini adalah cicit kepada pembuka Pekan Selama iaitu Abdul Karim bin Raja Aman Shah[1].
         Tiga tahun selepas dilahirkan beliau dan keluarganya berpindah ke Selangor, kemudian menerima pendidikan di Sekolah Melayu Kampung Baru (1948-1950), Sekolah Convent Bukit Nanas (1951 - 1953 dan 1956 - 1958), Sekolah Zainab, Kota Bharu Kelantan (1953 - 1956), Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus Johor Bharu (1959 - 1960) dan di Victoria Institution, Kuala Lumpur (1961 - 1962). 

           Selepas itu, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam bidang ekonomi dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1966 dan Ijazah Sarjana pada tahun 1970. 

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Tan Sri Mohamed Basir Ahmad dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. 

Tan Sri Rafidah Aziz adalah tokoh wanita unggul yang terkenal sebagai perintis kepada perkembangan dan kemajuan negara dalam perdagangan antarabangsa di era globalisasi. 

Masa lapang beliau sering diisi dengan aktiviti membaca, menghias rumah, melakukan aktiviti kerja-tangan, mendengar muzik ataupun bermain golf dan squash. 



Beliau mula bertugas sebagai tutor di Universiti Malaya dari tahun 1966 – 1970 dan kemudian dilantik sebagai Penolong Pensyarah dari tahun 1970 – 1973 dan seterusnya Pensyarah dari tahun 1973 – 1976. Pada tahun 1975 dan 1976, beliau bertugas sebagai  Pengerusi Bahagian Pembangunan Desa di Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya di samping  Ahli Senat  universiti tersebut. 

Di arena politik tanah air,  beliau pernah menjadi Ketua Wanita UMNO Malaysia (1984-1996) dan (1999-2008) di samping memegang beberapa jawatan penting iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia dan Pengerusi Wanita Barisan Nasional. Beliau juga pernah menjawat jawatan-jawatan penting seperti Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Awam (1976), Timbalan Menteri Kewangan (1977-1980) dan Menteri Perusahaan Awam (1980-1987).



Tan Sri Rafidah juga pernah dilantik sebagai Senator Dewan Negara (1974) sekaligus menjadi tulang belakang dalam membangunkan dasar dan hala tuju beberapa agensi kerajaan persekutuan seperti MARA (1973-1976), RISDA (1973-1976), Majlis Pelindung dan Penasihat Pengguna (1973-1976), Lembaga Perancang Keluarga (1973-1976), Majlis Penasihat dan Perunding Belia Kebangsaan serta Pengerusi Lembaga Kolej Tunku Khursiah. 

Peranan yang beliau mainkan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sejak tahun 1987 telah menjadikan ekonomi Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur-pelabur asing di samping meningkatkan ekonomi negara menerusi aktiviti perdagangan luar. 



Tan Sri Rafidah pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat pada pilihanraya umum 1978 setelah memenangi kawasan Parlimen Selayang, Kuala Lumpur.  Selepas itu beliau telah berpindah ke kawasan Parlimen Kuala Kangsar pada pilihan raya umum berikutnya dan terus mendapat kepercayaan rakyat untuk mewakili kawasan berkenaan selama enam penggal berturut-turut sehinggalah ke hari ini. 

Walaupun sentiasa sibuk dengan tugas Wakil Rakyat, beliau tidak lupa meluangkan masa dalam aktiviti sosial berbentuk akademik dan ekonomi dengan menjadi Penasihat, Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS), serta penaung berbagai organisasi seperti PENIAGAWATI, NAWEM, IABC, USAHANITA, AOTS serta Gabungan Kontraktor Wanita Malaysia. 

Rujukan:

Biografi Tokoh Wanita Malaysia (2004). Petaling Jaya: Pertubuhan Tindakan wanita Islam (PERTIWI)
 Hj Fuaddin Hj Kamarudin, Naib Yang Dipertua 3 Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO)















[1] Salah seorang anak Abdul Karim iaitu Mohamad Kahar mempunyai anak perempuan bernama Rahimah adalah bonda kandung Tan Sri Rafidah Aziz.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...