Friday, 27 May 2011

MAT KILAU: Pahlawan Rao yang terbilang




Sejarah Mat Kilau anak Imam Rasu anak Tok Shahrom Rao, Temau, Raub, Pahang

PAHLAWAN terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan.

Anak kelahiran Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut itu adalah anak kepada orang besar Pahang, Imam Rasu yang turut dikenali sebagai Tok Gajah . Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik. Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Dato' Bahaman .

Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah. Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum.

Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu. Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tok ku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan (Foto Tok Janggut)

Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu. Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu.

KEMUNCULAN MAT KILAU

• Alkisah, maka pada tanggal 27 hb. Disember 1969, Mat Din telah dibawa oleh anak-anak cucunya ke Masjid Kampung Pulau Tawardan pada hari Jumaat itu juga, orang ramai sungguh terkejut apabila mengetahui orang tua yang bernama Mat Din itu adalah Mat Kilau bekas Pahlawan Melayu Pahang yang cukup terkenal menentang penjajahan Inggeris dulu.

• Susulan daripada itu, atas perkenan Sultan Pahang sebuahJawatankuas Penyiasat telah ditubuhkan yang diketuai oleh Dato' Abdul Aziz Ahmad telah menjalankan tugas untuk menyiasat perkara tersebut iaiutu pada 6 hb. Ogos 1970. Hasil siasatan yang dibuat , maka Menteri Besar Pahang ketika itu, Tan Sri Haji Yahya Mohd Sethtelah mengisytiharkan kesahihan Mat Din adalah sebenarnya Mat Kilau , yang pada ketika itu telah berusia 123 tahun.

• Beliau dilahirkan di Kg.Kendondong Pulau Tawar, pada usia 12 tahunbeliau telah dihantar oleh bapanya Imam Rasu ke Trengganu untuk belajar sekolah pondok. Sesudah tamat belajar, Mat Kilau kembali ke Pulau Tawar dan Sultan Pahang berkenan menganugerahi daerah Budu untuk ditadbir oleh beliau..

• Apabila Dato' Bahaman menentang penjajahan Inggeris pada tahun1891, Mat Kilau telah membantu dan menyebelahinya. Beberapa tahun kemudian Mat Kilau terpaksa meninggalkan Pahang kerana serangan bertubi-tubi dari pihak Inggeris dan tali barut mereka yang telah mengkhianati pahlawan-pahlawan Melayu Pahang .

LATAR BELAKANG MAT KILAU

• Imam Rasu atau Tok Gajah adalah ayah kepada Mat Kilau
• Ibu Mat Kilau adalah Teh Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut, Burau.
• Mat Kilau dilahirkan sekitar tahun 1865/1866 di Kg. Kendondong, Pulau Tawar, Jerantut Pahang.
• Mat Kilau dijaga dan dipelihara seperti kanak-kanak lain di kampung.

ZAMAN KANAK-KANAK

• Mat Kilau diserah mengaji Quran dengan beberapa kanak-kanak lain.Mat Kilau mengaji dengan tekun hinggakan dia pandai membaca Quran dengan berbagai lagu.

• Apabila tamat Quran Mat Kilau belajar berzanji dan diikuti denganberdikir Maulud.Setelah pandai berzanji dan berdikir Maulud,barulah Mat Kilau belajar berdikir rebana yang lebih terkenal sebagai 'Dikir Pahang'.

• Oleh kerana suaranya merdu,maka jadilah Mat Kilau sebagai seorangpendikir yang terkenal di Pulau Tawar.

HOBI MAT KILAU

• Semasa kecil Mat Kilau suka bermain gasing.Oleh itu kerana Mat Kilau pandai main gasing,maka dialah yang dijadikan jurumudi,iaitu orang yang memangkah terakhir.Apabila ada perlawanan main gasing seperti melawan pasukan Pedah di sebelah Hulu Atau Burau di sebelah Hilir, Mat Kilau dijadikan Ketua pasukan Kampung Masjid.

• Setelah remaja,Mat Kilau mengambil bahagian di dalam permainan orang-orang dewasa iaitu berlaga buah keras.Disebabkan dia seorang pemuda yang kuat kudrat,maka Mat Kilau dijadikan orang tukang hencang.

• Mengikut apa yang diketahui Mat Kilau tidak pernah menghencang tidak pecah. Dia jadi lebih terkenal sebagai penghencang buah keras apabila Sultan Ahmad (Sultan Pahang ketika itu ) sampai dan bersemayam di Pulau Tawar .

• Mat Kilau juga gemar pergi berburu. Apabila 'peran tua' (ketua berburu) tidak berburu.Mat Kilau dijadikan peran.Akhirnya Mat kilau dijadikan Tok Peran.

• Sebagai pemburu Mat Kilau telah memperolehi banyak pengetahuan bersangkut paut dengan hutan.

PERKAHWINAN MAT KILAU

• Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong, Pulau Tawar.

• Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak.

ILMU YANG DIPELAJARI

• Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan.
• Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain,bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang.
• Tentang ilmu batin pula Mat Kilau banyak menuntut ilmu kepahlawanan hinggakan boleh menghilangkan diri.
• Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah.
• Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osmanyang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum dia berpindah ke Pekan sebagai Mufti Negeri Pahang.

SIKAP PERIBADI MAT KILAU
• Mat Kilau mempunyai sifat-sifat pemimpin,maka beliau telah menjadi seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati.
• Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang.Pada bula Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford (Residen British di Pahang) telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan anak Tok Gajah iaitu Mat Kilau itu sendiri. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau.
• Mat Kilau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat terutamanya bagi penduduk setempat.
• Mat Kilau juga merupakan seorang yang amat disegani.Ini bukan kerana dia adalah seorang anak orang yang berpangkat tetapi keranakejujurannya.
• Mat Kilau adalah seorang yang tegas mak dia bukan sahaja disegani bahkan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya.Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim,Mat Kelubi,Mat Ali (khatib), Awang (Imam) dan Mat Tahir.Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.

KEMATIAN MISTERI MAT KILAU

• Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura.
The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka,iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tanang pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895".
• The Free Press pula memberitahu bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya.Luka-lika itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah".
• Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober,1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa oarang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat (Jusoh Rimau) ,Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.

KEMUNCULAN MAT KILAU
• Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang.
• Semejak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.
• Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.
• Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar.
• Pada hari Jumaat 26 Disember 1969,Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat.
• Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.
• Pengistiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatan Kuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970.
• Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau.Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis 6 hb.Ogos 1970 Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang.
• Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat,Mat Kialu meninggal dunia kerana keuzuran.
• Usianya ketika itu dipercayai berusia 123 tahun.Beliau tidak sempat menceritakan kisah-kisah perjuangannya kepada kita dengan lebih lanjut.

MASJID KAMPUNG PULAU TAWAR

• Masjid inilah yang telah merakamkan detik sejarah penuh suka dan duka masih wujud hingga ke hari ini di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Usianya hampir 200 tahun. Terletak kira-kira 30 minit dari bandar Jerantut. Suasana kehidupan tradisional masyarakat Melayu yang bermastautin di pesisiran Sungai Pahang masih tebal. Malah degup sejarah serta nostalgia abad ke-18 dan 19 seolah-olah baru sahaja berlalu. Masjid lama itu terletak berdekatan tebing Sungai Pahang yang jernih airnya.
• Kewujudan masjid lama di situ berkaitan sejarah kepahlawanan MelayuTok Gajah, Mat Kilau dan pengikutnya kerana di situlah tercetusnya kebangkitan semangat nasionalisme menentang penjajah Inggeris di Pahang.
• Namun begitu masjid lama itu lebih sinonim berperanan sebagai pusat pengembangan ilmu serta syiar Islam bermula dari kurun ke-18 hingga awal tahun 1970-an. Perkembangan institusi pengajian pondok di Pulau Tawar berhubung rapat dengan masjid lama itu.
• Di situlah markas tempat berkumpulnya tokoh ulama terkenal yang berasal dari Sumatera seperti Allahyarham-Allahyarham Imam Malim, Imam Ahmad, Imam Haji Abd Rahim, Imam Daud dan Imam Yahya. Masjid lama itu berperanan menyebarkan dakwah Islamiah.
• Malahan banyak pelajar dari seluruh Jerantut, Kelantan dan Terengganu datang belajar di situ pada kurun ke-18. Menurut keterangan orang-orang tua Cucu , tapak asal pembinaan masjid lama itu dilakukan olehImam Perang Rasu (Tok Gajah), Mat Kilau serta orang-orang Melayu Pulau Tawar pada awal tahun 1880-an.
• Masjid lama itu kemudiannya dibangunkan dengan wajah baru pada tahun 1923 tetap mengekalkan perspektif seni bina tradisional yang menggunakan kayu dan pelupuh dari hutan tempatan.
• Dalam buku Sejarah Pahang ada menceritakan pembesar British, Hugh Clifford, pernah mendarat di tebing berdekatan masjid itu untuk mengadakan perundingan dengan Mat Kilau dan Tok Gajah serta penduduk Pulau Tawar supaya jangan mencampuri urusan pentadbiran Inggeris di Pahang.
• Setelah mengalami kerosakan teruk diancam banjir besar tahun berikutnya, masjid lama itu mengalami sekali lagi perubahan dengan binaan simen di bahagian bawah serta lantainya supaya kelihatan lebih teguh. Walaupun berhadapan dengan arus putaran masa, kubah dan mimbar masjid berkenaan masih lagi dalam bentuk binaan asal iaitu mempunyai ciri-ciri pengaruh seni bina Minangkabau.
• Yang lebih unik, sehingga ke hari ini, sebatang tongkat yang dibuat daripada kayu teras berusia hampir sama dengan pembinaan masjid asal masih tersimpan rapi dan digunakan oleh khatib sewaktu membaca khutbah. Sebuah beduk kayu yang juga berusia hampir dua abad hilang dari masjid berkenaan dipercayai dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab beberapa tahun lepas.
• Di masjid lama Pulau Tawar itulah berlaku sejarah pengistiharan diri Pahlawan Melayu Pahang Mat Kilau pada 26 Disember 1969setelah menghilangkan diri buat sekian lama. Sebelum mengisytiharkan dirinya pada hari Jumaat, Mat Kilau pernah beberapa kali singgah di masjid itu menyamar sebagai peniaga dan orang luar.
• Sehingga pertengahan tahun 1995 tinggallah masjid lama tersebut digigit sepi malah diselimuti dengan semak samun setelah penduduk di situ menggunakan masjid baru. Namun masjid lama itu sering didatangi oleh ahli sejarawan tempatan, siswa universiti, pelajar sekolah serta orang perseorangan untuk merakamkan sejarah dan melihat seni bina di luar dan dalamnya.

JEJAK MAT KILAU

Laluan pahlawan Melayu kini destinasi unik buat pencinta keindahan flora dan fauna. Jejak Mat Kilau, laluan yang digunakan pahlawan Melayu terbilang, Mat Kilau ketika menentang penjajah kini dijadikan laluan untuk peminat aktiviti lasak dan pencinta alam bagi melihat keindahan flora dan fauna sepanjang jejak yang ditinggalkan.

Dipercayai ada tiga laluan utama digunakan Mat Kilau yang setiap satu menghubungkan Pahang dengan Terengganu, Kelantan dan Perak bagi mendapat dan meraih sokongan penduduk di kawasan berkenaan untuk menentang penjajah Inggeris.

Bagaimanapun, daripada tiga laluan itu hanya dua laluan sering digunakan pencinta alam dan penggemar aktiviti sukan lasak ketika ini iaitu laluan Pahang ke Perak dan laluan Pahang ke Terengganu.

Mat Kilau bersama-sama tokoh pejuang seperti Datuk Bahaman, Tok Janggut dan Tok Gajah yang juga ayahnya memiliki kelebihan menguasai ilmu hutan dan ia menjadi kekuatan mereka untuk mengelak daripada ditangkap pemerintah British.

Di Terengganu, Mat Kilau turut meninggalkan kubu yang digunakan menentang penjajah yang diketuai Residen Inggeris, Hugh Clifford di Padang Jerangau Jerangau, Kampung Pasir Raja, Dungun.

Laluan antara Pahang dan Terengganu agak berbukit bukau serta laluan sungai yang perlu diharungi hampir 60 peratus daripada keseluruhan perjalanan melalui laluan itu. Antaranya, mengharungi Bukit Lata ****** dan Bukit Gelugor ke puncak Gunung Main Angin (1,460 meter) yang agak memenatkan sebelum menyusur turun dan melalui semula laluan sungai untuk ke Kampung Bantalmenggunakan rakit.

Laluan ketiga membabitkan laluan dari Ulu Tembeling di Pahang ke Hulu Terengganu (kini sebahagiannya sudah menjadi Tasik Kenyir) dan ke Hulu Kelantan (Gua Musang). Bagaimanapun, laluan ini kurang dikenali kerana hampir sebahagian daripada laluan utama sudah ditenggelami air Tasik Kenyir berikutan kerja membina empangan yang jalankan.

Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Mohd Yusoff Abdullah, berkata laluan yang digunakan Mat Kilau sebenarnya laluan biasa penduduk pedalaman ketiga-tiga negeri terbabit yang digunakan untuk mencari hasil hutan terutama damar dan kayu gaharu.

Katanya, daripada tiga laluan yang ada, laluan Pahang (Kampung Bantal) ke Terengganu (Kampung Pasir Raja) adalah yang paling popular kerana ia menghubungkan persaudaraan antara dua negeri yang masih kekal dan terus digunakan hingga ke hari ini.

LALUAN JEJAK MAT KILAU

Ada tiga laluan digunakan, bagaimanapun hanya dua masih digunakan dengan meluas baik oleh peminat sukan lasak, pencinta alam dan ahli sejarah.

1. Laluan Pahang ke Perak bermula di Lata Lembik, Kampung Ulu Sungai, Raubhingga ke Batu Hidang, Pos Bersih, Ulu Slim, Perak. Laluan ini sejauh 34 kilometer dan mengambil masa antara dua ke tiga hari untuk dihabiskan (jika bermalam)

2. Laluan Pahang ke Terengganu bermula di Kampung Pasir Raja, Dungun keKampung Bantal, Hulu Tembeling yang lazimnya mengambil masa antara tiga hingga lima hari untuk dihabiskan.

Antara laluan paling sukar kerana terpaksa mudik ke hulu dan melalui laluan sungai.

Laluan ini sering digunakan penduduk antara kedua-dua negeri kerana mereka mempunyai talian persaudaraan dan menjadi antara laluan yang paling popular di kalangan pelancong atau peminat aktiviti lasak.

Laluan ini sebenarnya digunakan penduduk setempat untuk mencari hasil hutan terutama damar dan kayu gaharu.

3. Laluan Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula dari Sungai Tembeling (Taman Negara Pahang) hingga ke Sungai Pertang (Hulu Kelantan/Hulu Terengganu) yang sebahagiannya kini sudah tenggelam kerana pembinaan empangan di Tasik Kenyir.

KRONOLOGI PEMBERONTAKAN MAT KILAU

Mac 1892 - Tok Gajah bertemu dan bersatu dengan Mat Kilau di Kampung Budu, Raub untuk menyerang tentera Hugh Clifford di Kuala Lipis.

9 April 1892 - Mat Kilau tidak sempat berperang dengan Inggeris dan beliau dibawa Haji Muhammad Nur ke Bukit Bentang bertemu Datuk Maharaja Perba Jelai

Mei 1892 - Inggeris mara ke Kampung Budu tempat Mat Kilau berkampung dan selepas mengetahuinya beliau melarikan diri ke hutan dan bersatu dengan Datuk Bahaman di Kampung Hulu Cempaka bagi meneruskan perjuangan menentang Inggeris

13 Julai 1892 - Pasukan Pengakap daripada pasukan Walker dan Clifford berkhemah di Lechau dekat Kampung Budu diserang kumpulan Mat Kilau dan Datuk Bahaman berhampiran Batu Berapit. Mereka kemudiannya berundur meninggalkan kawasan itu. Mat Kilau dan pengikutnya bersatu dengan Tok Gajah di Pasir Atas (tepi Sungai Tembeling)

22 Ogos 1892 - Mat Kilau dan adiknya Awang Nong membawa pasukannya menyerang Inggeris di Kuala Atuk (tepi Sungai Tembeling) yang diketuai R W Duff dan Panglima Garang Yusoh. Dua pengakap Inggeris terbunuh. Mat Kilau dan Awang Nong berundur membawa pengikut mereka ke Kuala Tembeling.

Oktober 1892 - Keadaan Pahang agak tenang, Sultan Ahmad mengikut nasihat Sultan Abu Bakar (Johor) dan Inggeris mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai rakyat Pahang yang dicop penderhaka kecuali Datuk Bahaman dan Tok Gajah.

Tok Gajah bersama anaknya Mat Kilau dan Awang Nong membawa pengikutnya berundur ke hulu Sungai Tembeling dan menyeberangi sempadan Pahang dan Kelantan hingga sampai di Kuala Tenggeling di Hulu Lebir, Hulu Kelantan

Akhir 1892 - Orang Melayu Pahang di bawah pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau yang menentang Inggeris di Pahang diusir keluar ke Hulu Kelantan

Mei 1894 - Tok Gajah, Datuk Bahaman dan Mat Kilau berpindah dari Hulu Kelantan ke Kuala Terengganu dan tinggal di Kampung Seberang Engku Ngah. Ketika di Kampung Seberang Engku Ngah, Tok Gajah, Datuk Bahaman, Mat Kilau selalu berulang alik ke Kampung Paloh dan berjumpa Tok Engku Sayyid yang dianggap keramat


Pertengahan 1894 - mereka kembali ke Hulu Kelantan

Jun 1894 - Tok Gajah, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Mat Kelubi dari Hulu Kelantan membawa 100 pengikut pergi ke Hulu Pahang menghilir Sungai Tembeling

14 Jun 1894 - mereka menyerang Inggeris di Kuala Tembeling. Tok Gajah, Datuk Bahaman dan Mat Kilau ke Pulau Tawar berjumpa Panglima Garang Yusoh dan Maharaja Perba Jelai.

Kembali ke Sungai Tembeling mendirikan kubu di Jeram Ampai (berhampiran Kuala Tembeling)

Tok Gajah, Datuk Bahaman dan Mat Kilau serta pengikut menghilir Sungai Kelantan sampai ke Kemuning (berhampiran Tanah Merah)

6 Jun 1895 - Hugh Clifford sampai di Pasir Nering, Kuala Berang kerana percaya Mat Kilau bersembunyi di sana

Oktober 1895 - Mat Kilau ditangkap askar Siam dan membawanya ke Kota Bharu, Kelantan. Dalam perjalanan ke sana Mat Kilau dipercayai melawan dan askar Siam dikatakan memukul kepala Mat Kilau hingga tidak sedarkan diri dan dianggap mati.

'Mayat' Mat Kilau diserahkan kepada Sultan Kelantan dan dia didapati masih hidup. Sultan Kelantan kemudian menyuruh Mat Kilau melarikan diri dan upacara gimik mengebumikan Mat Kilau dilakukan di Bunut Payung dekat Kota Bharu menggunakan batang pisang

MAT KILAU SEMPAT LAUNG MERDEKA

Daripada ramai pahlawan Melayu Pahang yang bangkit menentang penjajahan Inggeris pada 1880-an, hanya seorang daripada mereka yang sempat menyaksikan sendiri detik kemerdekaan negara.

Dia ialah Mat Kilau, anak kepada pembesar Imam Perang Rasu (Tok Gajah),yang bangkit menentang kedatangan Inggeris ke Pahang pada sekitar 1880-an dan 1890-an. Lebih daripada itu, Mat Kilau juga berpeluang melaungkan ungkapan keramat "Merdeka!" pada 31 Ogos 1957, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh rakan-rakan perjuangan seangkatan dengannya seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah, Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut atau yang lebih awal seperti Datuk Maharaja Lela dan Dol Said.

Namun, pada hari berkenaan tiada seorangpun daripada puluhan ribu manusia yang berkumpul di Padang Masjid Negeri di Kuantan mengetahui bahawa orang tua yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun di kalangan mereka adalah Mat Kilau.

12 TAHUN ISYTIHAR DIRI

Anak angkat Mat KIlau yang kemudian menjadi menantunya, Abu Bakar Awang, 80, berkata sebelum mengisytiharkan dirinya yang sebenar, Mat Kilau sentiasa berdalih setiap kali ditanya tentang asal-usul dirinya -- mungkin kerana khuatir beliau belum lagi diampunkan oleh sultan. Semasa kebangkitan itu, Pahang berada di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muazam Shah.

"Beliau juga mengambil masa hampir 12 tahun selepas merdeka sebelum tampil mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau kerana khuatir sultan belum mengampunkan dirinya yang dianggap sebagai penderhaka," katanya.

Salah seorang anak Mat Kilau, Aminah, 80, yang ditemui di rumahnya di Kampung Batu 5,Jalan Gambang Kuantan mengesahkan bahawa sebelum perisytiharan tentang identitiya, beliau dan anak-anak lain tidak pernah menyangka bahawa manusia yang bergelar Mat Siam itu adalah pahlawan yang digeruni Inggeris.

Aminah adalah antara empat daripada lima orang anak Mat Kilau yang masih hidup dan tinggal di sekitar Kuantan. Yang lain ialah Sabariah, Abdul Rahman, Salamah dan Razali, manakala anak bongsunya, Zaleha, yang berkahwin dengan Abu Bakar meninggal dunia pada 1978.

Meneruskan ceritanya, Abu Bakar berkata beliau adalah antara orang yang paling gembira apabila mengingat kembali keghairahan luar biasa Mat Kilau menunggu saat-saat perisytiharan kemerdekaan.

"Hari itu (31 Ogos 1957) awal-awal pagi lagi dia sudah bangun dan lepas sembahyang subuh dia terus bersiap untuk ke bandar Kuantan apabila mendapat tahu upacara sambutan juga akan diadakan di peringkat negeri, selain daripada Stadium Merdeka di Kuala Lumpur.

"Saya agak hairan melihat dia beria-ia benar hendak ke Padang Masjid Negeri. Walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, saya lihat dia begitu bersemangat sekali untuk turut menyambut hari bersejarah itu," katanya.

GURU SILAT

Abu Bakar yang kini menjadi guru utama Seni Silat Tapak Setia Suci, seni yang diwarisi daripada bapa mertuanya itu, berkata beliau masih ingat pada hari berkenaan Mat Kilau memakai kemeja-T leher bulat warna putih, kot warna kelabu, berseluar panjang dan bersamping serta lengkap berkasut, manakala kepalanya pula berlilit kain cindai.

"Saya sendiri tidak tahu di mana beliau perolehi semua itu dan apakah maksud tersirat di sebalik melilit kain cindai di kepala," katanya.

Menurut tradisi, kain cindai iaitu sejenis kain sutera nipis untuk lilitan kepala atau bengkung yang digunakan oleh pahlawan-pahlawan Melayu ketika turun ke gelanggang untuk berhadapan dengan musuh.

Meneruskan ceritanya tentang detik-detik pagi keramat itu, Abu Bakar berkata gelagat bapa mertuanya yang ternyata amat bersemangat itu menyebabkan isteri Mat Kilau,Ajrah Bakar menganggapnya sebagai "buang tabiat".

Selesai bersiap-siap, Abu Bakar dan Mat Kilau keluar rumah dan sama-sama menunggu bas percuma yang disediakan pihak berkuasa sempena sambutan itu.

Walaupun bas berkenaan penuh sesak hingga memaksa ramai yang berdiri dan berhimpit-himpit, Mat Kilau tetap nekad dan seolah-olah tidak sabar untuk ke padang berkenaan.

"Bila sampai di padang kami sama-sama menunggu detik laungan Merdeka. Sempat juga tengok orang berarak... kereta berhias pun ada dan dia (Mat Kilau) hari itu kelihatan cukup seronok," katanya.

Apabila laungan merdeka kedengaran, Mat Kilau turut serta melaungkan merdeka.

CUBA BERI BAYANGAN

Malah ketika berada di padang itu, Mat Kilau ada cuba memberi bayangan kepada Abu Bakar tentang siapa dirinya sebenar dengan berkata: "Tengok, siapa sangka aku juga sempat melihat (negara) merdeka".

Abu Bakar yang tinggal bersama Mat Kilau sejak berusia 18 tahun berkata walaupun tidak berupaya untuk pergi ke Stadium Merdeka di mana perisytiharan kemerdekaan peringkat kebangsaan diadakan, bapa mertuanya tetap berpuas hati kerana dapat turut melaungkan "Merdeka!" di padang Kuantan itu.

Bagi Abu Bakar, laungan itu adalah manifestasi sebenar kegembiraan seorang pahlawan yang terpaksa menjalani liku-liku kehidupan penuh keperitan semata-mata kerana bangkit mempertahankan maruah bangsa dan agama serta kedaulatan tanahairnya.

Beliau juga berharap agar sesetengah teks sejarah disemak atau ditulis semula kerana masih ada kalangan yang terus menganggap Mat Kilau sebagai seorang penderhaka raja.

"Pihak Inggeris yang melabelkan Mat Kilau serta rakan-rakannya termasuk Datuk Bahaman sebagai pemberontak dan penderhaka, semata-mata untuk mengabui mata rakyat agar perjuangan mereka ketika itu tidak mendapat sokongan," kata Abu Bakar yang juga Ketua Kampung Batu 5.

Cucu Mat Kilau, Alhamadi Abu Bakar, 40, berkata datuknya tidak meninggalkan apa-apa harta pusaka kecuali semangat perjuangan dan keberanian untuk diwarisi generasi sekarang dan akan datang agar negara tidak kembali dijajah

DEMIKIANLAH ADANYA KISAH MAT KILAU

Al-Fatihah untuk Allahyarham Datuk Cucu ( Aki Md. Yunus B. Teh ) dan Nenek (Wan Sipah Bte Teh ) Ayahanda Cucu ( Jamaluddin Bin Md. Yunus) semuanya di kebumikan di Tanah perkuburan Islam Felda Sg.Tekam Getah, Jerantut dan Bonda Cucu (Kamsiah Bte Jamil) yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kenanga Jengka 7, Pahang. AMIN YA RAB BAL ALAMIN 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...