Friday 6 May 2011

TUN (DR) AHMAD SARJI ABDUL HAMID: tokoh Melayu terbilang

oleh Zabidin Hj Ismail


Tun Dr Ahmad Sarji Abdul Hamid dilahirkan pada 16 September 1938 di Kampung Batu Tiga, Jalan Temoh,Tapah, Perak. Menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Pasir Puteh, Ipoh (1946) kemudian ke Sekolah Melayu Kg. Batu Tiga, Tapah dan Sekolah Melayu, Tapah (1947-1949). Seterusnya beliau belajar di Government English School, Tapah (1949-1955), Anderson School, Ipoh (1956-1957) sebelum ke Universiti Malaya pada tahun 1957 hingga 1960 dan memperolehi Ijazah B.A (hons). Beliau menyambung pelajaran di Institute of Social Studies, The Hague Netherlands (1966-1967) dengan memperolehi Diploma in Public Administration with credit sebelum ke Universiti Harvard, Amerika Syarikat pada tahun 1970-1971 serta berjaya meraih ijazah Master in Public Administration.

Pada tahun 1994 Tun dianugerahkan Ijazah Kehormat Doctor of Science (Management) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) atas sumbangannya dalam lapangan pentadbiran dan pengurusan awam. Kemudian pada tahun 1995, The Nottingham- Trent University, United Kingdom pula menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doctor of Business Administration kerana mengiktiraf jasa-jasa beliau mempereratkan hubungan antara perkhidmatan awam dan sektor swasta menerusi Pensyarikatan Malaysia dan peranannya di dalam Malaysia Business Council.

Pada tahun 2000 Universiti Malaysia Sarawak turut menganuagerahkan Ijazah Kehormat Doctor of Letters kepada beliau kerana sumbangannya dalam penubuhan awal universiti tersebut di samping mengiktiraf usaha-usaha beliau memperkembangkan khazanah seni Negara.

Enam tahun kemudian (2006), Tun dianugerahkan pula Ijazah Kehormat Doctor in Management daripada Universiti Islam Antarabangsa kerana menghargai sumbangan beliau dalam sektor awam dan korporat di Negara ini.

Kerjaya Tun di dalam perkhidmatan awam bermula pada 10 Januari 1961 sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah Klang, Selangor sehinggalah menjawat jawatan tertinggi dalam perkhidmatan Kerajaan iaitu Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga September 1996. 

Semasa di bawah pimpinan beliaulah reformasi pentadbiran awam telah terakam dalam sejarah negara melalui langkah-langkah strategiknya yang meliputi penggubalan dan pelaksanaan pekeliling-pekeliling kemajuan pentadbiran awam. Peminat buku dan seni ini juga bertanggungjawab memperkenalkan Skim Saraan Baru (SSB) kepada kakitangan awam pada 1 Januari 1992. Pelaksanaan SSB telah membawa perubahan struktur yang drastik dalam perkhidmatan awam serta pelbagai kemudahan yang berkait dengan struktur gaji, elaun dan kemudahan-kemudahan lain (Siti Ezaleila Mustafa, 2009: 50).

Sumbangan Tun dalam bidang pentadbiran ketara dengan penglibatannya kini sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) semenjak tahun 1992; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dari tahun 1996, Pengerusi SPPK dari tahun 1997; Pengerusi Petaling Garden Berhad mulai tahun 1999; Pengerusi Northport Corporation dari tahun 2000; Timbalan Pengerusi Sime Darby Bhd., dari bulan Oktober 2007; Pro-Canselor Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) sejak tahun 2003 dan Profesor Adjung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mulai 2007 di samping menyandang hampir 20 jawatan di pelbagai entiti korporat, badan-badan sukan, warisan dan sebagainya.

Kesibukannya berbakti kepada bangsa dan negara tidak menghalang beliau untuk menghasilkan buku tentang pentadbiran dan perkhidmatan awam mahupun bidang kesenian. Beliau mempunyai semangat membaca dan menyelidik yang luar biasa sehingga terhasil pelbagai jenis buku.

Di antara buku yang dihasilkannya termasuklah Towards a World Class Malaysian Civil Service (INTAN, 1996), Circulars on Administrative Reforms in The Civil Service of Malaysia 1991-1996 (MAMPU, 1996), Civil Service Reforms: Towards Malaysia’s Vision 2020 (Pelanduk Publications, 1996), Perkhidmatan Awam Menuju Era Baru (INTAN, 1996) dan Arah-arah Strategik Perkhidmatan Awam di Malaysia (INTAN, 1995).

Beliau merupakan penggemar dan peminat setia lagu dan filem Seniman Agung P.Ramlee sehingga berhasil menulis sejumlah besar buku tentang seniman terbilang ini. Di antara buku yang dihasilkannya berkaitan dengan Seniman Agung P.Ramlee ialah Air Mata di Kuala Lumpur (1996), Gelora (1995), Irama Lagu P.Ramlee: Lagu-lagu Filem 1948-1960 (1994) dan Erti Yang Sakti (1999). Beliau juga menghasilkan autobiografi kisah hidupnya sendiri terbitan MPH.

Atas keterlibatan dalam sektor awam, korporat, bidang pendidikan, warisan budaya, lapangan sukan dan bidang keagamaan, Tun telah menerima pelbagai anugerah seperti Director of the Year (1999) daripada Malaysian Institute of Directos, Tokoh Maal Hijrah 1420/1999 oleh Kerajaan, Anugerah Kepimpinan Sukan 2006 oleh Majlis Sukan Malaysia, Tokoh Melayu Terbilang (2008) daripada UMNO Malaysia, Brand Personality Award (2008) oleh Asia Pacific Brands Foundation, Anugerah Khas (2008) daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Anugerah Tokoh Sukan UKM (2009) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sesungguhnya Tun merupakan anak kandung Rao yang cemerlang lagi gemilang.


__________
Rujukan:
Tun (Dr) Ahmad Sarji Abdul Hamid

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...